
Menjamah makanan pada lewat malam sambil menonton televisyen atau bermain permainan video, menonton bola sepak, melepak bersama rakan dan sebagainya sebelum tidur ada nikmat tersendiri. Lazimnya, sukar untuk menolak “pelawaan” seumpama ini, apatah lagi selepas hari yang memenatkan.
Namun apakah kesannya kepada tubuh dan kesihatan?
Walaupun kita semua sedar ia bukan satu amalan yang sihat kerana pengambilan makanan lewat malam sebelum tidur boleh meningkatkan pelbagai risiko penyakit, ia masih menjadi sebahagian daripada gaya hidup sama ada secara disedar atau tidak.
Secara semula jadi, tubuh mendambakan makanan tinggi gula, tinggi lemak dan garam ketika kita menikmati makanan pada lewat malam, misalnya burger, nasi lemak, piza, nasi, roti canai, teh tarik dan sebagainya. Tetapi apabila memilih untuk membaringkan tubuh dan tidur sebelum makanan tersebut tidak sempat dihadam, bermulalah segala masalah kesihatan.
Mari kita lihat 5 sebab mengelak makan lewat malam, ketika menghampiri waktu tidur dan hasil kajian pakar penyelidik serta nutrisi, Jenna Hope.
1. Menambah berat badan
Umum tahu, kita perlukan sedikit masa untuk membakar kalori tambahan selepas makan namun apabila kita memilih untuk tidur, proses berkenaan gagal dilakukan. Pakar nutrisi, Jenna Hope berkata, terdapat hubungan yang signifikan antara makan larut malam dan peratusan lemak badan yang lebih tinggi. “Ini menyebabkan lebihan kalori tersimpan untuk jangka masa panjang yang mengakibatkan perubahan hormonal.”
2. Gangguan tidur
Makan atau minum minuman berkafein seperti teh dan kopi sebelum tidur juga boleh memberi kesan negatif kepada kualiti dan kuantiti waktu tidur. Jenna Hope menekankan hubungan antara makanan manis dan kafein sebelum tidur serta gangguan tidur khususnya tidur REM (Rapid Eye Movement) yang merupakan tahap tidur paling mendalam. Dia juga mencatat, pengambilan alkohol pada malam hari yang turut menganggu kualiti tidur dan meningkatkan tidur pada hari berikutnya.
3. Gangguan respon hormon
Salah satu kesan samping yang paling membimbangkan daripada perbuatan makan lewat malam dan tidur ialah gangguan hormon yang menyebabkan ketidakupayaan tubuh dalam tidak merespon kepada penyakit. Ramai pakar nutrien memberi amaran, makan lewat malam menyebabkan kelemahan fungsi insulin yang mengagihkan glukosa dari darah. Untuk tempoh masa lama, makan lewat malam juga menyebabkan peningkatan risiko diabetes.
4. Meningkatnya rasa lapar di hari berikutnya
Menurut Jenna Hope, makan dalam kuantiti besar pada lewat malam sebelum tidur bukan bererti kita akan makan sedikit pada hari berikutnya. Malah, apa yang berlaku adalah sebaliknya. “Makan lewat malam meningkatkan jumlah makanan pada hari berikutnya, ini kerana insulin yang sepatutnya memberi respon terganggu dan kawalan gula yang lemah membuat kita berasa lapar,” katanya.
5. Meningkatkan hormon kortisol
Kajian mendedahkan kewujudan hubungan antara perbuatan makan lewat malam dan kadar hormon kortisol atau hormon stress yang lebih tinggi. Selain membahayakan kesihatan, kadar kortisol yang tinggi dalam tubuh menjadi faktor risiko bagi peningkatan lemak perut. “Kajian menunjukkan, semakin tinggi tekanan, semakin besar kemungkinan waktu makan malam lebih lama daripada sebelumnya,” ujar Jenna Hope. Bagi menghentikan tabiat ini pakar nutrisi menyarankan pengambilan gizi seimbang pada waktu makan malam, dengan fokus pada protein supaya kita kenyang lebih lama. Selain itu, tekanan boleh dihilangkan dengan cara berjalan-jalan atau menonton filem untuk memberi diri masa bersantai atau mandi.