
Industri perkhidmatan makanan tidak dinafikan menjadi antara pilihan ramai dalam usaha meningkatkan status ekonomi ketika berhadapan kenaikan kos sara hidup.
Rata-rata memilih untuk bergelar usahawan secara kecil-kecilan termasuklah berniaga secara dalam talian dengan menawarkan pelbagai jenis produk makanan.
Melihat kepada senario serta respon positif masyarakat, GiatMara di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menawarkan pelbagai kursus dalam bidang yang juga dikenali sebagai seni kulinari.
Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Jamal Nasir Othman berkata sehingga kini sebanyak 34 buah pusat latihan agensi itu yang menawarkan kursus dalam bidang masakan, kek dan pastri dibuka di seluruh negara.
“Meskipun boleh dikategorikan sebagai antara bidang kemahiran baharu namun berlaku perubahan dari segi trend permintaan anak muda serta belia yang berminat terutama dalam bidang perhotelan dan industri makanan.
“Kita menerima permintaan tinggi kerana kos untuk mengikuti latihan dalam bidang chef sebenarnya besar selain ia lebih banyak ditawarkan di kolej-kolej swasta. Sehingga kini GiatMara melahirkan hampir 11,000 orang dalam pelbagai bidang seperti masakan, pramu saji, kek dan pastri sejak diperkenalkan sekitar tahun 2001,” katanya.
Aspek keusahawanan
Jamal Nasir ditemui ketika menjadi panel pada majlis pelancaran produk Shinsegea Mamee Foodservices oleh syarikat Shinsegae Mamee Sdn Bhd (Shinsegae Mamee) di sini, baru-baru ini.
Produk berkonsepkan segera itu bertujuan membantu mereka yang terlibat dalam industri perkhidmatan makanan untuk menjimatkan masa dan kos selain pada masa sama mengekalkan kualiti rasa serta keaslian hidangan.
Beliau pada masa sama berkata lebih banyak pusat latihan khusus dalam bidang itu akan diwujudkan dalam usaha membantu mengembangkan industri berkenaan.
Kebanyakannya dibangunkan di kawasan luar bandar contohnya di Kubang Kerian, Nilam Puri, Larut dan Jerlun selain beberapa cawangan lagi akan ditubuhkan di Ipoh Timur dan Parit Buntar.
“Kita mahu beri peluang kepada anak muda luar bandar untuk mendapat latihan di tempat mereka sendiri tanpa perlu berhijrah. Ia juga selaras dengan agenda transformasi, ‘Membandarkan Luar Bandar’ oleh Menteri KKLW Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri di samping mengekalkan belia di kawasan luar bandar.

“Selain latihan yang merangkumi penyediaaan makanan, membuat pastri atau kek dan aktiviti dapur lain, aspek keusahawanan turut diterapkan kepada pelatih untuk membimbing mereka bergelar usahawan sekaligus menjana pendapatan sebaik tamat latihan,” katanya sambil menambah seramai 424 usahawan bidang itu dilahirkan GiatMara.
Mengambil contoh program Rintis Niaga, beliau berkata terdapat bantuan serta peruntukan yang disediakan untuk lepasan GiatMara memperluaskan perniagaan mereka.
“Melalui program Rintis Niaga, sebagai contoh pelatih yang membuat kuih tradisional, kek dan pastri dari rumah berjaya menjana pendapatan walaupun belum tamat kursus di GiatMara. Mereka juga aktif menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui bimbingan dan kaunseling yang diberikan,” katanya sambil menambah antara matlamat Mara adalah melahirkan usahawan berjaya dalam kalangan bumiputera.
Bukan sekadar memasak
Mengenai kerjasama GiatMara dengan Shinsegae Mamee beliau berkata selaras dengan keperluan dan perubahan trend semasa, produk syarikat itu dilihat mampu membantu ketika sesi kursus dan latihan.
“Walaupun kita memberi asas latihan menggunakan bahan-bahan asal (mentah dan asli) tetapi kita juga perlu melihat kepada situasi semasa yang melibatkan sikap, budaya dan selera terutama faktor perlu cepat, ringkas dan mudah dalam menyediakan makanan. Selain menggunakan produk dalam sesi latihan, pelatih juga mungkin boleh menjadi ejen jualan untuk produk berkenaan.
“Kita melihat potensi yang amat besar apabila menjalin kerjasama dengan Shinsegae Mamee kerana ia syarikat tempatan yang mempunyai jaringan antarabangsa. Ianya juga umpama platform untuk usahawan kecil melebar sayap di mana GiatMara berperanan sebagai ‘orang tengah’ kepada Shinsegae Mamee dan pelatih.
Turut berkongsi pengalaman dan menjadi panel pada majlis itu ialah pemilik Restoran Mahbub di Bangsar, Omar Farook Ali Seeni Abdul Khadeer yang berpendapat kemahiran memasak semata-mata tidak mencukupi untuk seseorang bergelar pengusaha makanan.
Ujarnya, restoran mamak sebagai contoh akan mengalami kesukaran mendapat pelanggan sekiranya mengambil masa yang lama untuk menyediakan makanan walaupun mempunyai menu yang sedap.
“Keluarga saya (bermula dari datuk dan ayah) mengalami beberapa siri kegagalan sebelum membuka restoran.
“Ayah pernah bekerja sebagai pencuci pinggan dan kemudian berniaga cendol secara kecil-kecilan menggunakan basikal roda 3… kami mengambil masa lebih 40 tahun untuk berjaya seperti hari ini,” katanya.
Menekankan kemahiran mengurus masa, kos, menu dan strategi pemasaran antara yang perlu diberi perhatian, Omar yang juga Jawatankuasa (Hal Ehwal Majlis Tempatan) Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berkata faktor ‘resepi standard’ turut mempengaruhi ‘jatuh bangun’ sesebuah restoran.
“Pengusaha restoran perlu memenuhi kehendak pelanggan dari aspek rasa. Mereka perlu ada prosedur operasi standard (SOP) dari segi rasa dan resepi agar makanan yang dihasilkan sentiasa sama dan tidak berubah-ubah sekaligus menjejaskan kedatangan pelanggan ke restoran kerana rasa yang tidak konsisten.
“Mereka juga perlu cekap dalam menghidangkan makanan. Contohnya, waktu sarapan pagi dan makan tengah hari adalah ‘waktu genting’ kerana pelanggan mempunyai waktu terhad dan semuanya perlu cepat,” katanya sambil menambah penggunaan bahan dan resepi standard yang ringkas dan mudah amat penting dan membantu melancarkan operasi sesebuah restoran.
Bantu B40 kembangkan perniagaan
Mengenai produk Shinsegae Mamee Foodservice Ketua Pegawai Operasi syarikat itu Felix Pang Hee Zhong berkata ia bertujuan membantu usahawan makanan kecil-kecilan untuk menjadi lebih cepat dan cekap dalam mengendalikan perniagaan mereka.
Beliau berkata produk segera itu juga diharap dapat membantu mengembangkan perniagaan khususnya golongan B40 yang terdiri daripada golongan kolar biru, graduan menganggur, suri rumah dan pesara dengan pendapatan purata isi rumah RM3,000 sebulan.
“Sebagai antara pengeluar makanan halal terbesar di Malaysia sejak 47 yang lepas, Mamee melihat banyak potensi dalam perniagaan mikro seperti gerai makanan, katering dan ‘food truck’. Perniagaan ini, jika diuruskan dengan baik, mampu membawa seseorang pengusaha dari B40 ke tahap lebih baik.
“Penghasilan produk segera ini adalah ‘strategi’ perniagaan kerana dengan adanya bahan yang ringkas, mudah, berkualiti dan masih mengekalkan ketulenan rasa, ia amat membantu pengusaha makanan menjalankan operasi premis mereka,” katanya sambil menambah Bajet 2018 turut memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan mikro.
Selain tidak mengandungi perasa dan bahan pengawet tiruan, produk segera syarikat Shinsegae Mamee Sdn Bhd seperti rempah ratus, serbuk limau, stok ayam, kentang lenyek dan ‘demi glaze’; turut diolah dari bahan-bahan segar yang berkualiti, yang secara langsung membawa ‘tiket’ halal dan jenama Malaysia khususnya ke Korea Selatan, Asia Tenggara dan seterusnya seluruh dunia.
Ia juga dirumus oleh Chef Eksekutif Shinsegae Mamee Chef Faizul Hazly Ghazali yang juga anak Malaysia pertama yang memasak untuk dapur halal temasya Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018, baru-baru ini.