
Pasti ramai yang tertanya-tanya dan teringin untuk tahu apa yang ada dalam rumah atau lebih tepat, “mahligai” milik jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri?
Setelah menyiar “trailer” rakaman pandangan luar mahligai dalam laman sosialnya, Aliff terbuka berkongsi apa yang ada di dalam rumahnya menerusi program jelajah media ke kediamannya dikenali Aliff Syukri Palace.
Sidang media dan beberapa video disiar dalam Facebook Aliff Syukri Terlajak Laris.
Berlokasi di Kota Damansara, Aliff mengakui teruja untuk memiliki rumah bak istana selepas melawat Istana Pahang 8 tahun lalu.
Dalam kunjungan semasa menerima darjah kebesaran membawa gelaran Datuk, Aliff sudahpun memasang hajat untuk memiliki rumah mewah bak istana itu.
Dan pada usia ke 31, hasrat itu menjadi kenyataan dan ia turut diikuti dengan sambutan ulang tahun hari kelahirannya yang disambut meriah bertemakan Bollywood di rumah agam itu.

Bagaimanapun, Aliff akui, tujuan dia menunjukkan rumah tersebut bukan kerana riak sebaliknya menjadi inspirasi untuk orang lain.
“Saya sedar saya hanya orang biasa dan bermula daripada situ saya menyimpan azam dan berusaha untuk mencapai impian ini. Alhamdulillah akhirnya tahun 2018, impian saya ini berjaya direalisasikan dan ia adalah hasil kerja keras saya sendiri,” katanya kepada sebuah portal dalam talian.
Aliff Syukri Palace yang berkeluasan 40,000 kaki persegi mengadaptasi konsep Royal Modern Classic memiliki 30 bilik tidur termasuk surau, gim dan bilik kebal dan ruang bawah tanah di bawah jagaan 12 orang pengawal.
Beliau yang enggan mendedahkan nilai rumah tersebut bagaimanapun berkongsi perabot-perabot di kediamannya didatangkan khas dari Itali, Sepanyol, London dan Jakarta, hasil kerja pereka hiasan dan jenama terkemuka.
“Demi Allah saya bukan nak riak. Apa yang saya kongsi ini adalah hasil usaha sepanjang melalui kepayahan hidup, dari tiada apa-apa sehingga tercapai ini semua,” katanya.
Aliff juga berharap orang ramai tidak mengecamnya kerana niatnya hanya untuk berkongsi.
Selain seringkali menjadi mangsa kecaman kerana menunjuk-nunjuk kemewahan, terbaru beliau dikutuk kerana menyambut rumah baru dengan majlis tari-menari Bollywood dan bukan acara keagamaan seperti bacaan Yassin.
https://www.facebook.com/DatoAliffSyukriKamarzaman/videos/1647375152046488/
https://www.facebook.com/DatoAliffSyukriKamarzaman/videos/1649695658481104/
https://www.facebook.com/DatoAliffSyukriKamarzaman/videos/1649667378483932/