
Perut seorang wanita Australia membesar 5 kali ganda selepas memakan mi Jepun dan ia tidak cerna hampir 2 minggu.
Pesakit yang enggan dikenali berusia 61 tahun itu mengadu sakit perut dan muntah selama 10 hari ketika ditempatkan di jabatan kecemasan Cabrini Health di tenggara Melbourne.
Dia mendakwa mengalami gejala itu selepas makan seluruh paket mi Jepun dengan perut kosong.
Menurut Pengarah Kesihatan Cabrini, Dr Michael Ben-Meir, perut mangsa penuh dengan mi yang tidak dicerna yang menyebabkan ia tersumbat.
Jenama mi yang tidak didedahkan itu dibeli dari pasar raya tempatan di Melbourne.
Dr Ben-Meir memberi amaran, walaupun mi itu selamat dimakan, namun ia berpotensi membawa masalah risiko kesihatan jika tidak dimasak dengan baik.
“Mi ini seperti selulosa, ia tidak diurai sebaliknya tersumbat dalam perutnya,” kata Dr Ben-Meir kepada Stonnington, petik Daily Mail.
“Perutnya semakin membesar, sekitar 5 hingga 7 kali ganda lebih besar daripada yang sepatutnya. Perut kita tak sepatutnya menjadi begitu.”
Mi yang dibuat daripada tanaman berasaskan akar seperti kentang baru-baru ini popular selepas didakwa sesuai untuk mereka yang mengamalkan diet atau bercadang menurunkan berat badan.
Ini kerana mi itu dikatakan mempunyai kadar karbohidrat hampir “0” dan sebahagian besarnya terdiri daripada serat makanan.
Jabatan Kesihatan sedang mengkaji semula kes tersebut dan memutuskan ia kelihatan sebagai “kejadian terpencil”.