
Bukan sahaja terpaksa meredah perjalanan lebih 100km sehari, mereka juga berdepan dengan kata-kata cacian dan kesat selain sikap kurang sopan sesetengah pengguna lebuh raya khususnya apabila bantuan yang diminta lambat tiba.
Ini adalah sebahagian daripada diari kehidupan anggota “peronda jaket hijau”, pasukan peronda Anih Berhad, pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).
Untuk LPT1, terdapat 32 peronda ini yang bertugas mengawasi lebuh raya sepanjang 174 kilometer itu sementara untuk Lebuhraya KLK pula seramai 16 peronda.
Pasukan peronda LPT1 ditubuhkan pada September 2004 seiring dengan pembukaan lebuh raya berkenaan yang kos pembinaannya sekitar RM1.31 bilion.
Di sebalik tekanan pekerjaan, “wira-wira yang tidak didendang ini” terus cekal bertugas dengan penuh bersemangat demi memberi khidmat terbaik kepada pengguna lebuh raya berkenaan.
Lali dengan selok belok meronda
Bagi Shahrizad Mahmood, 47, yang sudah 15 tahun bertugas sebagai peronda Anih Berhad, perjalanan membuat rondaan di LPT1 secara puratanya memakan masa antara 2 ke 4 jam.
Keadaan itu menjadikan beliau sudah arif dengan kedudukan simpang, selekoh, sungai malah papan tanda, sekaligus memudahkan beliau untuk ‘meneka kedudukan mereka yang memerlukan bantuan’.
“Untuk pengetahuan semua, kami hanya dibenarkan memandu pada kelajuan antara 60 hingga 80 km/jam melainkan dalam situasi kecemasan. Lama kelamaan kami boleh menghafal kiri kanan jalan kerana itu sahaja pemandangan yang ada,” katanya secara berjenaka.
Bagaimanapun, beliau boleh dikatakan sudah lali dengan 1001 macam kerenah pengguna yang kadangkala tidak memahami prosedur dan cabaran yang terpaksa ditempuh anggota pasukan itu.
“Ada pengguna tidak tahu kami tidak boleh sewenang-wenangnya membuka laluan tengah lebuh raya, melainkan jika berlaku situasi kecemasan yang teruk. Bagaimanapun saya berlapang dada dan menganggap pengguna demikian tidak tahu tugas kami dan lumrah dalam tugasan.
“Dalam masa yang sama ada juga pengguna yang memahami, malah berkongsi gambar kami di Facebook sebagai tanda penghargaan sehingga saya pula yang segan bila ada yang menegur. Kami tidaklah mengharapkan balasan tapi berasa dihargai jika ada yang memberi ucapan terima kasih jika kami datang membantu,” katanya sambil tersenyum ketika diwawancara Bernama, baru-baru ini.
Shahrizad bertugas selama 10 tahun sebagai peronda di KLK sebelum ditukarkan ke LPT1 pada 2012.
Tugas pasukan peronda
Dengan 32 anggota, peronda jaket hijau ini dibahagikan kepada 6 pasukan, bertugas secara syif iaitu pagi, petang dan malam untuk melakukan tugas rondaan 24 jam sehari.
Menurut Shahrizad, kawasan rondaan pula dipecahkan kepada 3 seksyen iaitu Genting Sempah yang meliput Tol Gombak hingga Tol Karak, Temerloh (Tol Karak ke Tol Maran) dan Kuantan (Tol Maran sehingga ke Tol Jabor).
Anggota peronda yang bertugas akan menghantar laporan kepada pusat kawalan trafik (TCC) di Kuantan jika berlaku kemalangan, kerosakan pada pagar pemisah lebuh raya selain aduan dan maklumat berkaitan masalah di kawasan rehat dan rawat (R&R).
“Kami juga berperanan sebagai pasukan awal untuk membuang serpihan tayar kenderaan yang pecah, kayu atau bangkai haiwan di atas lebuh raya yang boleh membahayakan nyawa pengguna.
“Selain itu, kami juga akan membantu pengguna yang berdepan situasi kecemasan seperti tayar pancit, kehabisan petrol atau tangki air kering. Sebab itu sebelum memulakan rondaan, saya pastikan kenderaan mempunyai tong air kerana itu antara masalah paling kerap berlaku,” katanya.
Kutip anggota badan mangsa kemalangan
Sebagai peronda yang boleh dikira “otai”, sudah pasti Shahrizad tidak dapat lari daripada pelbagai pengalaman termasuk yang mengerikan ketika menjalankan tugas.
Satu daripadanya ialah yang melibatkan kemalangan ngeri. Malah beliau mengakui pernah “demam seminggu” lamanya selepas terpaksa mengutip beberapa anggota badan mangsa kemalangan di lebuh raya semasa mula-mula bertugas.
Bagaimanapun, kejadian yang paling meninggalkan kesan kepadanya ialah kemalangan ngeri yang melibatkan bas yang membawa rombongan belia dari Baling, Kedah.
Bas berkenaan terbalik di Kilometer 36, Lebuhraya KLK pada pukul 7.50 malam, 29 Okt, 2010 yang menyebabkan 7 maut, 17 cedera parah dan 22 cedera ringan.
Menurut Shahrizad, beliau sedang membuat rondaan apabila menerima maklumat ada bas terbalik di Lebuhraya KLK. Bagaimanapun rondaan yang dibuat dari laluan Genting Sempah sehingga Tol Gombak sebelum berpatah balik tidak menemui sebarang kesan kemalangan.
“Apabila hampir sampai ke Genting Sempah baharu kami ternampak seorang remaja berjalan dalam keadaan berlumuran darah. Dia masih dalam keadaan terkejut, namun dapat menunjukkan lokasi kemalangan yang rupanya berada di laluan sebelum masuk ke lebuh raya.
“Saya kaku sebaik sahaja tiba ke lokasi kemalangan …. ada mayat tercampak keluar dan ada yang tersepit. Majoriti mangsa remaja belasan tahun. Mereka panik, meraung dan menjerit meminta tolong. Saya juga perlu menenangkan diri sebelum dapat membantu mereka,” katanya.
Berdepan pelbagai risiko
Sementara itu bagi Mohd Ridzuan Zainal Abidin, 30, antara petugas peronda yang baharu berkhidmat dengan Anih Berhad, tugas sebagai peronda lebuh raya sememangnya mencabar, bukan sahaja kerana terdedah dengan panas terik setiap hari malah berdepan risiko dilanggar kenderaan.
Beliau berkata nyawa peronda lebuh raya tidak ubah seperti “telur di hujung tanduk”, pada bila-bila masa sahaja boleh dilanggar oleh kenderaan yang dipandu laju 110km/jam sekiranya cuai semasa menjalankan tugas-tugas membantu pengguna di lebuh raya.
“Kalau hari biasa tak rasa sangat cabarannya tapi kalau masa cuti sekolah kenderaan sangat banyak. Untuk tugasan mengutip semula kon di tepi lebuh raya ini pun sudah cukup bahaya apatah lagi melintas di tengah lebuh raya.
“Kadang-kadang ada segelintir penunggang motosikal membuka halangan di tengah lebuh raya untuk memudahkan mereka membuat pusingan U dan kami perlu tutup semula pagar (contra flow) ini dan ia bukan tugas mudah.
“Kenderaan di lebuh raya pula biasanya dipandu laju lebih 100 kilometer sejam, kadang-kadang lebih daripada itu… tak boleh agak jarak kenderaan semasa melintas, ia sangat bahaya buat kami,” katanya yang baru 4 tahun berkhidmat sebagai peronda LPT1.
Laksana tugas ikut prosedur
Sementara itu Pengurus Operasi Plaza Tol Temerloh Jafirusny Jamaludin mengakui ramai pengguna lebuh raya tidak tahu iaitu apabila berlaku kes kemalangan peronda lebuh raya tidak boleh membuat keputusan sendiri untuk menghantar mangsa kemalangan ke hospital.
Jelasnya, apabila tiba di lokasi kemalangan, peronda perlu menghantar laporan ke TCC yang kemudian akan memaklumkan kepada ibu pejabat polis daerah (IPD) dan menghubungi pasukan paramedik.
“Walaupun mangsa sudah meninggal dunia, pasukan kami tidak boleh mengambil tindakan sendiri sebaliknya perlu menunggu pengesahan pegawai perubatan untuk mengesahkan kematian mangsa.
“Manakala prosedur utama dalam kemalangan melibatkan kecederaan ialah menunggu ketibaan ambulans supaya tiada kecederaan yang lebih parah berlaku jika mangsa dialihkan,” katanya.
Jafirusny menambah pasukan yang berada di kawasan kemalangan akan cuba untuk menenangkan mangsa, selain menutup sementara laluan terlibat dan memberi amaran serta mengawal lalu lintas supaya pengguna lain berhati-hati semasa melaluinya.
“Pasukan kami sedaya upaya membantu memudahkan urusan pengguna dan mahu memastikan perjalanan mereka lancar. Bagaimanapun, untuk menjayakannya, kami memerlukan kerjasama semua pihak.
“Kami bukan sengaja mahu tiba lewat di kawasan kemalangan atau sebagainya. Jika itu berlaku, kami mohon pengguna dapat memahami prosedur dan laluan panjang yang perlu ditempuhi peronda sebelum tiba ke destinasi terlibat,” katanya.