3 jam bersiap untuk 200 ‘selfie’ sehari

3 jam bersiap untuk 200 ‘selfie’ sehari

Jika selfie mencapai kurang 600 'likes', dia tidak dapat duduk senang dan akan memadamkan gambar selfie tersebut.

Free Malaysia Today
Gambar Instagram.

Seorang lelaki 22 tahun yang terkenal kerana ketagihan selfie mengakui merakam 200 gambar selfie setiap hari.

Junaid Ahmed, dari Essex, England memiliki 57,200 pengikut di laman Instagram berkata jika selfie mencapai kurang 600 ”likes”, dia tidak dapat duduk senang dan akan memadamkan gambar selfie tersebut.

Ada yang menyatakan Junaid sekadar bangun pagi, selfie sepanjang hari dan tidur untuk hari seterusnya dan meneruskan rutin sama setiap hari.

Tetapi lelaki itu menyangkal dengan berkata setiap kali sebelum berselfie, dia membelanjakan lebih 3 jam bersiap.

“Beberapa tahun dahulu, saya kelihatan biasa-biasa sahaja. Tak pernah kelihatan seperti ini, tetapi dengan obsesi terhadap media sosial… saya memperbaiki diri saya sekarang.”

“Gigi saya diputihkan, dagu, pipi, rahang dan bibir disuntik, botox di bawah mata dan di kepala saya, selain itu saya ada buat tatoo dan sedutan lemak,” katanya bangga.

Banyak kajian menunjukkan obsesi dengan selfie adalah satu gejala kesihatan mental dipanggil selfitis.

Menurut penyelidik di Universiti Nottingham dan Sekolah Pengurusan Thiagarajar di India, keinginan berterusan untuk berselfie dan memuat naiknya dalam media sosial lebih daripada 6 kali sehari dipanggil selfitis kronik.

Selfie berlebihan juga membosankan pengikut. Ada yang menyerang Junaid dengan pelbagai komen negatif dan memudaratkan tetapi Junaid tidak kisah dengan semua itu.

“Saya sedar media sosial boleh jadi negatif, tetapi saya tidak terlalu serius.

“Apa yang muncul di media sosial bukan perkara sebenar,” katanya.

“Media sosial menyeronokkan apabila digunakan dengan cara betul, sebaliknya jangan biarkan kehidupan kita terpengaruh semata-mata kerana kita bercita-cita menjadi orang lain di Instagram… itu tidak berbaloi,” ujar Junaid.

Selain Junaid, seorang lelaki muda berusia 23 tahun, Danny Bowman juga dilapor pernah mempunyai obsesi sama.

Dia memuat naik gambar dirinya di media sosial sejak remaja kerana mahu kelihatan cantik di laman sosial.

Danny akan merakam gambar dan menyunting berkali-kali untuk menyempurnakan kekurangan kemudian baru dimuatnaik.

“Saya menghabiskan 10 jam di hadapan cermin dalam sehari, mengambil gambar-gambar ini, setiap hari. Ia bermula sewaktu saya 15 tahun,” katanya.

Pada usia ke-16, Danny pernah cuba membunuh diri.

Dia dibawa ke pemulihan dan didiagnosis dengan gangguan dismorfik badan, sejenis masalah mental kronik disebabkan gejala tidak dapat berhenti memikirkan kecacatan pada penampilannya diri.

Danny percaya media sosial memainkan peranan besar.

“Foto-foto yang saya muat naik di Instagram bukan lagi gambar selfie tetapi gambar ketika saya bersama seseorang atau ketika saya sedang bercakap.

“Foto-foto itu lebih memuaskan kepada saya daripada gambar selfie yang mana secara tidak langsung membuatkan saya mengemis supaya ia disukai orang.”

Pengajarannya, berpada-padalah jika terjebak amalan berselfie. Jangan keterlaluan dan jangan ketagih atau terlalu memberi perhatian kepada “likes” dan “komen”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.