‘House of Kambing’, makan kambing sambil layan unta

‘House of Kambing’, makan kambing sambil layan unta

Bagi memastikan daging kambing segar dan tidak berbau hamis, hanya kambing muda yang berusia setahun ke bawah disembelih.

Free Malaysia Today
Pelbagai menu makanan berasaskan kambing menjadi pilihan pelanggan di House of Kambing.

Meskipun jarum jam baharu menunjukkan pukul 11 pagi, halaman restoran “House of Kambing” sudah dipenuhi dengan deretan kereta sehingga ada pengunjung yang terpaksa meletakkan kereta di bahu jalan.

Di pintu masuk bangunan kayu 2 tingkat ini, kelihatan ratusan orang beratur panjang. Masing-masing sabar menanti giliran untuk menikmati keenakan daging kambing segar, hidangan popular restoran berkenaan biarpun hari sudah semakin panas terik.

Free Malaysia Today
Pengunjung sanggup meletak kereta di sepanjang bahu jalan dan beratur panjang untuk menikmati makanan di sini.

Restoran yang terletak bersebelahan dengan sebuah ladang berkeluasan 3 hektar itu adalah milik Dr Mohmad Mustafa, 64, bekas Timbalan Pengarah Promosi Teknologi dan Pusat Pembangunan MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia).

“Saya tak sangka konsep agro pelancongan iaitu restoran dalam ladang yang diperkenalkan Julai tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan selepas tular dalam media sosial,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama di restorannya baru-baru ini.

Melihatkan semakin ramai pengunjung, Mohmad yang juga dikenali dengan nama “Dr Matvet” menjadi tidak senang duduk dan banyak kali terpaksa menghentikan sementara temuramah bersama Bernama untuk melihat keadaan pelanggan restoran.

“Boleh tunggu sekejap? Orang dah semakin ramai, jadi saya hendak bawa unta yang ada di tengah ladang ke kawasan restoran untuk menghiburkan pengunjung sementara mereka dapat tempat duduk.

“Sebelum tu, saya kena ambil daun buluh atau daun Kelo. Unta suka daun-daun itu, “ kata lelaki yang berkelulusan perubatan veterinar dari University of Edinburgh, Scotland kepada penulis sebelum beredar.

Free Malaysia Today
Unta, Minah dan Jamal menarik perhatian pengunjung yang mendekati pagar ladang untuk memberi makan, memegang dan bergambar dengan haiwan padang pasir ini.

Aksi Mohmad memanggil nama unta peliharaannya, Minah dan Jamal, berjaya menarik perhatian pengunjung yang mula mendekati pagar ladang untuk turut serta memberi makan, memegang dan bergambar dengan haiwan padang pasir ini.

Unta berkenaan jenis berbonggol dan diimport dari Australia. Terdapat juga 50 ekor kambing pelbagai jenis baka yang diternak di ladang itu untuk tujuan pembiakan dan tarikan kepada pengunjung ketika menikmati makanan di restoran berkenaan.

Unik kerana lokasi dan konsep

Terletak di dalam kawasan Taman Ekspo Malaysia Serdang (MAEPS), House Of Kambing menjadi begitu popular kerana menampilkan konsep yang dianggap unik dan setakat ini sukar dijumpai di tempat lain khususnya di Kuala Lumpur.

Ini kerana, hasil kreativiti pemiliknya yang menggabungkan restoran dalam ladang ternakan kambing miliknya berjaya menambat perhatian ramai yang sentiasa inginkan kelainan.

Menjanjikan pengalaman baru buat peminat daging kambing, apa yang menarik ialah mereka bukan sahaja dapat menikmati keenakan daging kambing segar bahkan dapat menyaksikan pemandangan indah ladang dan haiwan yang diternak.

Free Malaysia Today
Restoran ini terkenal dalam penyediaan hidangan berasaskan kambing khususnya daging panggang.

“Restoran ini terkenal dalam penyediaan hidangan berasaskan kambing khususnya daging panggang. Bilangan pengunjung boleh mencecah sehingga 1,000 orang sehari pada hari minggu.

“Pada hari biasa bilangan pelanggan antara 500 hingga 600 orang. Untuk itu, kami memperuntukkan 100kg daging sehari iaitu dalam 5 hingga 6 ekor kambing,“ katanya.

Beliau berkata bagi memastikan daging kambing segar dan tidak berbau hamis, hanya kambing muda yang berusia setahun ke bawah disembelih selain teknik penyembelihannya juga amat dititikberatkan.

Mereka yang datang ke House Of Kambing yang mempunyai 10 pekerja ini turut berpeluang mencuba sendiri memerah susu kambing, melihat proses pembuatan makanan ternakan serta banyak lagi aktiviti lain tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Bagi Mohmad, konsep agro pelancongan yang diperkenalkan ini bukanlah hanya sebagai tarikan semata-mata tetapi mempunyai matlamat yang sangat besar iaitu menarik minat generasi muda untuk menjadikan penternakan sebagai kerjaya mereka.

Konsep agro-pelancongan

Mohmad yang bersara pada 2014 mula mengusahakan ladangnya pada 2016 sebelum timbul minat untuk membuka restoran berkonsepkan agro pelancongan pada 2017.

“Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu mereka datang ke sini sekadar menikmati daging kambing tetapi juga buka minda mengenai dunia penternakan. Bidang ini sebenarnya mampu menjana pendapatan lumayan bagi mereka yang menceburinya,” katanya.

Berkhidmat selama 34 tahun dengan Mardi, Mohmad mempunyai banyak pengalaman serta pengetahuan mengenai dunia penternakan ruminan khususnya yang berkaitan dengan kambing dan biri-biri.

Malah, kemahiran dan kepakarannya dalam penternakan haiwan berkenaan juga membawa bapa kepada 5 orang anak ini ke Afrika Barat dan Afrika Selatan. Mohmad berkhidmat selama 4 tahun sebagai Atase Pertanian di bawah projek Kedutaan Malaysia di Mali (Afrika Barat) dan di Kedutaan Malaysia di Malawi (Afrika Selatan) bagi membangunkan usahawan di sana.

“Ketika berkhidmat dengan Mardi di bahagian pembangunan usahawan selama 11 tahun, saya pernah dihantar ke Afrika Barat pada tahun 1987 hingga 1990 untuk program Kerjasama Teknikal Malaysia-Mali dan Afrika Selatan pada 2000 hingga 2004 untuk program Kerjasama Teknikal Malaysia-Malawi.

“Saya ditugaskan membantu petani di sana untuk program membasmi kemiskinan serta memastikan program keselamatan makanan berjalan lancar.

“Saya turut menjalankan penyelidikan ketika berada di sana dan mengambil peluang membawa balik bahan genetik berfaedah seperti kambing Boer dan biri-biri Dorper ke Malaysia bagi meningkatkan industri penternakan negara,” katanya.

Biarpun sudah bersara, minat anak kelahiran Kuala Terengganu ini dalam membangunkan usahawan dan menarik golongan muda untuk melibatkan diri dalam dunia penternakan tidak pernah ada titik noktahnya.

Menerusi House Of Kambing, beliau menjadikannya sebagai tapak projek menurunkan ilmu yang ada termasuklah bekerjasama dengan Mardi sebagai tenaga pengajar untuk Program Agropreneur Muda.

Sektor yang banyak peluang

“Selain fokus orang muda, saya turut mengadakan kursus penternakan buat mereka yang sudah bersara dan boleh dikatakan 90% anak murid dalam kalangan yang langsung tidak ada pengetahuan penternakan.

“Terdapat 10 modul pembelajaran yang akan diajar meliputi jenis kambing yang sesuai untuk diternak, pembiakan, proses tanaman rumput untuk penyediaan makanannya, penyakit, pengurusan dan pemasaran.

“Mereka juga akan dilatih serta didedahkan dengan modul pakej teknologi sama seperti di MARDI. Boleh dikatakan, apa yang saya ajar kepada usahawan ketika berkhidmat dalam MARDI, itulah yang dilakukan sekarang.

“Cuma, kali ini saya terapkan konsep agro pelancongan dalam modul kursus dan mereka akan memperoleh sijil yang dikeluarkan MARDI sebaik habis kursus di sini,” katanya sambil menambah 4 daripada 5 anaknya turut terlibat dalam bidang penternakan.

Menurut Mohmad, konsep agro pelancongan amat ditekankan kerana ia berpotensi besar menambahkan pendapatan petani, penternak selain meningkatkan peluang pekerjaan untuk penduduk luar bandar seperti penawaran inap desa.

Malah, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) juga melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi menyemarakkan industri ini menerusi khidmat nasihat, promosi, latihan keusahawan yang dijalankan oleh agensi di bawah MOA mahupun kerjasama dengan swasta.

“Bidang penternakan, pertanian tidak lagi sekadar menjamin kelangsungan pembekalan sumber makanan negara bahkan dapat membantu meningkatkan pendapatan petani, penternak menerusi aktiviti pelancongan tanaman, perikanan dan sebagainya,” katanya.

Agro pelanconggan terbesar

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Mardi Maeps Sdn Bhd (MMSB), Norafizah Rahman berkata konsep yang diperkenalkan oleh House Of Kambing memenuhi matlamat MOA untuk memperkasakan taman ekspo Maeps sebagai pusat agro pelancongan utama negara.

Tidak mahu lagi sekadar dikenali sebagai lokasi penganjuran Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) semata-mata, pihak pengurusan Maeps kini gigih mempromosikan premis berkenaan sebagai antara pilihan destinasi agro pelancongan negara.

“Maha hanya berlangsung 2 tahun sekali dan kemudian tidak ada apa-apa aktiviti dilakukan di taman Maeps. Sayanglah, kerana dengan keluasan tanah 130 hektar dan mempunyai pelbagai kemudahan tetapi tidak dihidupkan dan dimanfaatkan.

“Oleh itu, MOA menerusi MMSB komited menghidupkan Maeps untuk dikunjungi sepanjang masa. Untuk ini, kami mempunyai 8 laman yang diusahakan bersama rakan strategik MMSB dan agensi kerajaan berkaitan untuk pelbagai aktiviti agro pelancongan,“ katanya.

Lapan laman berkenaan ialah Laman Herba, Laman Padi, Laman Nanas, Laman Sayur, Laman Perikanan, Laman Ternakan, Laman Jentera dan Laman Florikultur.

Pengunjung ke laman berkenaan turut diberi peluang melakukan pelbagai aktiviti yang diadakan di setiap laman selain boleh mengikuti kursus pertanian, perternakan yang dianjurkan.

“Hanya di bawah satu bumbung, Maeps boleh diibaratkan sebagai satu destinasi yang padat dengan pengetahuan serta pengisian ilmu mengenai penternakan dan pertanian berkonsepkan interaktif bagi menarik minat generasi muda.

“Maka, tidak menghairankan apabila Malaysia Tourism Council (MTC) mengiktiraf Maepssebagai Pusat Agro Pelancongan Terbesar negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.