
Pokok bunga Vinca yang juga dikenali sebagai Kemunting Cina atau Rose Pantai sering menjadi pilihan suri rumah kerana warnanya yang menarik selain tahan lama bagi menyerikan halaman rumah agar sentiasa kelihatan cantik.
Menyedari potensi yang ada pada bunga hiasan itu, seorang pengusaha pusat semaian dan anak pokok, Mohd Hisham Md Isa, 44, dari Simpang Empat dekat sini mengorak langkah menjadikan ia tanaman utama di samping membekal anak pokok buah-buahan termasuk Tin sejak setahun lalu.
Tinjauan Bernama di premis itu baru-baru ini mendapati pokok bunga Vinca yang terdapat dalam pelbagai warna menjuntaikan bunganya di dalam pasu yang digantung tersusun rapi sebelum dijual dengan harga RM15 sepokok kepada pengunjung.
Katanya dia kini mampu menghasilkan hingga 10,000 pokok bunga itu berbanding sebelum ini pada permulaan dengan hanya menanam 500 pokok setelah mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung premisnya itu.
Beliau berkata idea mengusahakan tanaman itu timbul setelah melihat sambutan luar biasa terhadap Pokok bunga Vinca ketika menghadiri sebuah pameran di Thailand.
“Sebaik pulang saya mula mengkaji dan mendalami ilmu mengenai tanaman itu. Alhamdulillah dengan modal yang ada, saya bina sendiri tempat pelindung hujan dan sediakan rak gantung serta membeli benih dalam talian dari Holand kerana benih di sana bermutu tinggi,” katanya.
Mohd Hisham berkata penjagaan pokok bunga itu tidak begitu rumit, sekadar memerlukan baja dan pencahayaan mencukupi selain mempunyai ilmu untuk mengusahakan tanaman pokok bunga itu hingga menunjukkan hasil.
“Rata-rata pembeli yang singgah di premis saya adalah dari seluruh pelusuk negeri ini, Perlis, Pulau Pinang dan Perak yang tertarik dengan sifat warnanya yang terang dan menarik untuk digantung di hadapan rumah.
“Selain sambutan daripada pengunjung, bunga itu turut mendapat perhatian pihak sekolah, agensi dan jabatan kerajaan bagi menghiasi premis masing-masing. Hingga kini, terdapat 9 warna yang mencuri tumpuan pembeli antaranya merah tua, merah jambu, pic, putih dan ungu,” katanya.