

Pada 30 Jan lepas seorang pengguna akaun Facebook dengan nama Jeff Jerry meluahkan rasa kekecewaannya serta mempersoal akan keperluan golongan pekerja menyumbang melalui potongan gaji bulanan untuk satu lagi skim sedangkan mereka sudahpun mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Status Facebook beliau antaranya menyatakan: “Nampak macam sedap-sedap sahaja nak potong gaji kita ni. Walaupun RM5.50, SOCSO pun potong, ini pun potong jugak, kayooo (kaya) lah kau!” menjadi tular dalam media sosial.
Sehingga akhir Februari, hantaran (posting) itu dikongsi sebanyak 21,644 kali, mendapat lebih 8,500 ‘like’ dan lebih 8,200 komen. Ia tidak termasuk siaran di portal-portal dalam talian yang memaparkan ‘screenshot’ status Facebook beliau.
Beliau berbuat demikian kerana merasa pelaksanaan Sistem Insurans Pekerja (SIP) yang dikelolakan oleh Perkeso berkuatkuasa 1 Jan, 2018 hanya membebankan golongan pekerja.
Hakikatnya, SIP menyediakan bantuan kewangan segera untuk membela nasib pekerja-pekerja yang diberhentikan, dan seterusnya membantu mereka meningkatkan kemahiran melalui skim-skim latihan serta mencarikan pekerjaan baharu.
Pentingnya SIP pada waktu getir
Mengimbau kembali ketika berlakunya kegawatan ekonomi pada 1980-an, akhir 1990-an dan seterusnya krisis kewangan pada 2008, ramai pekerja kehilangan sumber pendapatan tanpa sebarang pampasan atau bantuan kewangan jangka pendek untuk membantu mereka sehingga mendapat pekerjaan lain.
“Malah, syarikat-syarikat besar seperti Perwaja Steel dan Mega Steel membuang pekerja secara mendadak. Kebanyakan pekerja itu tidak mendapat sebarang pampasan. Kasihan mereka,” kata Ketua Pegawai SIP Datuk Mohd Sahar Darusman dalam sesi temubual eksklusif bersama Bernama.
Berdasarkan pengalaman ini, nyata sejumlah dana diperlukan untuk membantu golongan pekerja yang hilang pekerjaan secara tiba-tiba.
“Bila dibuang kerja, mereka pasti marah. Hari ini pada tahun 2018 kita bersyukur keadaan ekonomi masih stabil. Walaupun senario tahun 1980-an atau lewat 1990-an tidak mungkin berlaku, masih ada yang akan hilang pekerjaan atas pelbagai sebab, justeru memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan sebelum mendapat pekerjaan baharu,” kata Mohd Sahar.
Perlu diingat, daripada 6.6 juta pekerja, hanya 400,000 yang dilindungi kesatuan sekerja. Pekerja yang diwakili kesatuan akan lebih terbela dan hak mereka dilindungi kerana mempunyai suara yang kuat untuk berunding dengan majikan bagi memastikan pekerja-pekerja yang dibuang kerja mendapat keadilan.
SIP diamalkan negara maju
Dalam menjaga kepentingan golongan pekerja, Perkeso memulakan kajian ‘Tabung Bantuan Kehilangan Pekerjaan’ ke arah pembentukan SIP pada 2009 iaitu selepas negara berhadapan krisis ekonomi pada 2008.
Menurut Mohd Sahar, walaupun idea ini mendapat sokongan golongan pekerja ketika mula dicadangkan, ia sebenarnya mendapat bantahan daripada pihak majikan.
Selepas pelbagai proses pembentangan, kajian semula dan penambahbaikan, rang undang-undang SIP diluluskan di Parlimen, serta mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong dan diwartakan pada 28 Dis, 2017.
Tambah Mohd Sahar, negara lain juga menggunakan pendekatan serupa SIP sejak awal lagi. Antara negara yang mempunyai sistem bantuan kehilangan pekerjaan adalah Amerika Syarikat, Jepun, Perancis, Jerman, China, Kanada, Korea Selatan, Thailand, Argentina, Bahrain dan Vietnam.
Di Amerika Syarikat dan Argentina, hanya majikan perlu membuat caruman manakala bagi negara lain, majikan dan pekerja mencarum ke dalam tabungan khas. Setiap negara mempunyai peratusan caruman majikan dan pekerja yang berbeza.
Contohnya, di Perancis golongan pekerja mencarum 2.4% manakala majikan mencarum 4%. Di Jerman pekerja dan majikan masing-masing mencarum 1.5%. Di Kanada pula pekerja mencarum sebanyak 1.83% dan majikan mencarum 2.56%.
Di Malaysia, majikan dan pekerja, masing-masing mencarum hanya 0.2%. Kadar caruman bagi pekerja yang berpendapatan bulanan tidak melebihi RM1,000 adalah RM1.90 sebulan. Caruman maksimum dihadkan ialah RM7.90 berdasarkan gaji RM4,000 dan ke atas.
Ini bemakna seseorang pekerja yang mencarum antara RM22.80 hingga RM94.80 setahun boleh mendapat pembelaan berbentuk bantuan kewangan antara RM800 hingga RM3,200 pada bulan pertama mereka kehilangan pekerjaan.
Walaupun SIP hanya berkuatkuasa kira-kira 2 bulan lebih sehingga kini, nilai bantuan kewangan yang diperuntukkan adalah RM600 sebulan selama 3 bulan, walaupun mereka mungkin belum banyak menyumbang. Ini kerana pampasan yang dibayar adalah daripada dana pemula berjumlah RM136 juta, yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk menggerakkan SIP, bukannya caruman.
Kebaikannya adalah walaupun belum menerima caruman daripada majikan dan pekerja, SIP mula membayar pampasan kepada pekerja terjejas mulai Januari 2018.

SIP beri perlindungan sosial
“SIP menambah baik perlindungan keselamatan sosial berhubung kehilangan pekerjaan di bawah undang-undang buruh sedia ada. Meskipun ada pampasan ‘Employment Termination and Lay-Off Benefits’ (ETLB) yang tersedia apabila pekerja kehilangan pekerjaan, seringkali bayarannya terlambat.
“Lebih buruk lagi, ada yang tidak mendapat sebarang pampasan langsung apabila majikan melarikan diri, syarikat mengalami likuidasi ataupun muflis. Ini menimbulkan masalah kepada golongan pekerja,” tambah Mohd Sahar.
Manakala liputan pampasan ETLB hanya tertakluk kepada pekerja dengan gaji bawah RM2,000, SIP pula memberi perlindungan kepada setiap pekerja tanpa had gaji sekali gus membolehkan nasib lebih ramai golongan pekerja terbela sekiranya dibuang kerja.
Melalui SIP pampasan akan dibayar oleh Perkeso selepas menerima aduan daripada pekerja yang terlibat dan selepas membuat pengesahan kes pemberhentian kerja.
Dengan bantuan ini, setidak-tidaknya pekerja yang terjejas akan tetap mempunyai wang saku untuk menampung perbelanjaan diri dan keluarga. Aktiviti berbelanja ini akan terus merangsang ekonomi, menjadikan ekonomi negara kekal stabil meskipun menghadapi situasi sukar.
Penerima SIP kongsi pengalaman
Bayangkan, anda sebagai pekerja yang sudah bertahun-tahun bekerja dengan tekun, pada suatu hari anda dipanggil oleh pihak pengurusan hanya untuk memberitahu anda diberhentikan kerja. Apakah perkara pertama yang terlintas di fikiran anda? Pasti anda akan bimbang bagaimana anda akan menyara keluarga, bukan?
Itulah yang berlaku kepada Shahrul Nizam Mustafa, 40, yang kehilangan pekerjaan pada 2 Jan lepas setelah berkhidmat sebagai operator mesin selama 14 tahun di sebuah kilang percetakan di Batu Caves, Selangor.
Meskipun mendapat pampasan, Shahrul Nizam terkapai-kapai mencari hala tuju baharu dan keadaan menjadi sukar memandangkan beliau tidak berpendidikan tinggi, isteri tidak bekerja dan mempunyai 5 anak termasuk bayi berumur 5 bulan. Beliau bimbang memikirkan masa hadapan diri dan keluarga.
Selepas membuat aduan kepada Perkeso pada 3 Jan, beliau menerima bayaran pertama SIP berjumlah RM600 pada 10 Jan.
“Masa membuat aduan itu, Perkeso bertanyakan bila dan kenapa saya diberhentikan kerja. Mereka juga bertanya jika saya diberhentikan dengan cara yang betul dan sama ada saya diberi pampasan.
“Bayaran SIP yang diterima saya gunakan untuk bayar yuran bas sekolah serta keperluan sekolah anak memandangkan sekolah baru dibuka. Selebihnya diguna untuk tanggungan makan kami sekeluarga,” kata Shahrul Nizam yang mempunyai 3 anak yang masih bersekolah.
Bukan itu sahaja, kira-kira seminggu kemudian Perkeso berjaya mendapatkan pekerjaan baharu untuk beliau dengan bidang tugas yang tidak jauh berbeza daripada pekerjaannya sebelum ini.
Pekerja bermanfaat daripada dana SIP
Sehingga Februari tahun ini, 1,336 orang dari seluruh negara menerima pampasan SIP, dengan Selangor mencatatkan jumlah penerima tertinggi.
“Kita kena terima kenyataan iaitu setiap hari pasti akan ada orang yang hilang pekerjaan. SIP memberi ruang kepada kita untuk menyediakan fasiliti bagi membantu golongan ini. Kadang-kadang kita terkilan bila dengar orang buat cerita buruk mengenai SIP tanpa menyemak fakta dengan tepat.”
“SIP ditubuhkan untuk kebaikan golongan pekerja. Walaupun setakat hari ini liputan bantuan masih terhad kepada golongan yang kehilangan pekerjaan, keadaan mungkin akan berubah dan boleh berkembang pada masa hadapan. Siapa tahu suatu hari nanti SIP boleh berkembang sehingga dapat memberi bantuan kelahiran, penempatan lokaliti pekerjaan dan bantuan lain seperti yang ada di negara-negara maju?” kata Mohd Sahar.
Di negara-negara maju, program SIP berkembang dan melalui pelbagai proses perubahan yang memberi manfaat lebih besar kepada golongan pekerja sesuai dengan perkembangan semasa. Contohnya, Korea Selatan melalui pindaan akta sebanyak 28 kali sejak SIP diperkenalkan di negara itu pada tahun 1995.
Pada masa ini SIP di Malaysia menawarkan faedah berbentuk kewangan dan bukan kewangan. Bantuan kewangan termasuk elaun mencari pekerjaan, elaun ganjaran bekerja semula awal, elaun pendapatan berkurangan, elaun latihan serta yuran latihan bagi pekerja yang mahu menimba kemahiran baharu untuk masuk semula ke pasaran pekerjaan. Faedah bukan kewangan adalah penempatan pekerjaan dan kaunseling kerjaya.
Maklumat lanjut mengenai SIP boleh layari laman sesawang Perkeso www.perkeso.gov.my/sip atau dengan menghubungi talian SIP di 03-42645360.