Wanita Arab makin tak terima poligami

Wanita Arab makin tak terima poligami

Ramai wanita Arab mula memfailkan cerai sebaik mendapat tahu suami berkahwin lain selepas sedar Islam itu sendiri tidak membenarkan perkahwinan atas sebab nafsu.

Free Malaysia Today
Wanita Arab semakin berpendidikan dan mengenali hak mereka termasuk berkaitan isu agama yang selama ini didominasi lelaki. (Gambar Alraby)
Seorang isteri yang teruja dengan lawatan kerja luar negara suaminya merancang mengadakan jamuan kejutan bersama ahli keluarga dan rakan.

Malangnya si isteri, seorang wanita Arab pula mendapat kejutan selepas mendapati lawatan suaminya sebenarnya untuk perkahwinan ke-2.

Ketika membuka bagasi suami untuk mengemas baju, dia terlihat sijil perkahwinan suaminya dengan seorang wanita Morocco, mendedahkan lawatan suaminya bukan untuk tujuan kerja tetapi kahwin baru.

Ekoran itu, segala rancangan terpaksa dibatalkan, malah si isteri meninggalkan rumah suaminya dan memfailkan perceraian.

Menurut aktivis wanita di Arab, Reema kepada Stepfeed, walaupun Islam membenarkan suami berkahwin 4 pada satu-satu masa, ia masih menjadi debat dalam kalangan kaum Hawa di negara itu.

“Dalam Islam berkahwin lebih seorang isteri hanya dibenarkan dalam keperluan tertentu. Wanita masa kini mula mempersoal dan enggan menerima perlakuan itu,” katanya.

“Wanita kini berpendidikan dan berpengetahuan tinggi terhadap hak mereka,” tambahnya.

Reema berkata, ramai wanita Arab mula memfailkan cerai sebaik mendapat tahu suami berkahwin lain selepas sedar Islam itu sendiri tidak membenarkan perkahwinan atas sebab nafsu.

“Dulu lelaki boleh menipu wanita menggunakan nama Islam untuk berkahwin 4 dan si wanita tidak mampu mencabarnya. Kini kami boleh mendapat jawapan untuk semua itu memandangkan wanita sekarang berpendidikan,” ujarnya.

Wanita Arab semakin enggan menerima poligami apatah lagi lelaki memberi alasan bosan atau menggunakan nama Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.