

Lazim berpendapat masalah senak atau perut kembung berpunca daripada gas yang terkumpul, namun ia juga berhubung dengan isu kesihatan. Antaranya ialah seperti sindrom usus rengsa (irritable bowel syndrome) yang berlaku apabila urat pada usus terlalu aktif, refluks asid serta hemorhoid (buasir).
Bagaimanapun ia tidak semestinya serius dan boleh disebabkan perkara remeh seperti makanan tertentu atau cara pemakanan yang salah.
FMT Ohsem memetik portal perubatan WebMD yang mencadangkan beberapa jenis makanan dan cara pemakanan yang perlu dielakkan jika anda berdepan masalah perut kembung.
Makanan
1. Garam
Garam bukan sahaja menyebabkan masalah berkaitan tekanan darah, tetapi kandungan garam daripada makanan proses yang tinggi meningkatkan gas dalam usus. Jadi periksa label makanan sebelum makan!

2. Tenusu
Salah satu sebab utama menyebabkan pengumpulan gas adalah makanan berasaskan tenusu seperti susu. Ia disebabkan oleh ketidakmampuan perut anda menghadam gula dalam tenusu yang dikenali laktosa. Ia bukan alahan kepada tenusu tetapi elok menghindarinya jika tidak mahu rasa tidak selesa itu.

3. Soda
Soda atau minuman bergas, namanya pun jelas menunjukkan kesan kepada perut anda! Diet soda adalah lebih buruk kesannya kepada perut anda kerana ia mengandungi pemanis tiruan yang sukar dihadam. Kalau nak minum juga, biarkan terbuka sementara gas dibebaskan dahulu.

4. Fruktosa
Kesukaran gula berbentuk fruktosa dihadam dengan mudah menyebabkan gas terkumpul sewaktu proses penghadaman menyebabkan perut kembung. Banyak makanan atau minuman mengandungi fruktosa, jadi berhati-hati dengan kandungan tersebut. Tips – fruktosa hanyalah nama lain bagi gula, sama seperti sirup, sukrosa dan sebagainya.

5. Fodmaps
Fodmaps adalah sejenis karbohidrat yang dihadam pada penghujung usus kecil. Bagi sesetengah orang, ia boleh menyebabkan pembentukan cecair, sakit perut dan kembung perut. Fodmaps didapati dalam buah-buahan, sayuran, gandum penuh dan tenusu tertentu. Antaranya ialah asparagus, bawang putih, pear, mangga, pasta gandum penuh dan roti rai.

Cara makan
1. Makan terlalu pantas
Lebih cepat anda makan, lebih banyak angin yang ditelan. Dan apabila angin tersebut melalui usus, anda akan merasa senak dan kembung perut. Malah anda juga kurang mengunyah makanan ketika makan dengan pantas, sekali gus menyebabkan sistem penghadaman terpaksa mengambil masa yang lebih lama dari sepatutnya. Jadi awasi waktu makan, kunyah dan ambil masa anda.
2. Simptom alahan pada makanan
Pada kebanyakan masa kita tidak alah kepada makanan. Namun sesetengah alahan memberi kesan seperti kembung perut. Mereka yang berdepan alahan gluten atau laktosa akan berhadapan masalah kembung perut. Hubungi doktor anda dan dapatkan nasihat mereka.
3. Haid
Sindrom pra-haid (PMS) boleh membawa kepada masalah kembung perut sebelum didatangi haid. Dari aspek biologi, badan anda akan menahan cecair pada tempoh tersebut. Dalam masa sama ketidakseimbangan hormon juga menyebabkan masalah kembung perut merosot.
4. Berat badan
Kenaikan berat badan juga boleh membuatkan anda merasa kembung perut. Katakan anda naik 5 kg dalam setahun yang lalu, anda akan merasa kembung perut kerana berat yang mengelilingi bahagian perut anda. Berat mengambil ruang dalam perut dan menyebabkan perut anda meregang.