IOC cungkil bakat pelajar OKU

IOC cungkil bakat pelajar OKU

IOC memberi penekanan kepada satu pembentukan komuniti inklusif dengan menggalakkan pergaulan serta jalinan hubungan lebih baik antara OKU dan individu normal.

OKU_student
Kanak-kanak OKU sebenarnya amat bakat dan ibu bapa serta masyarakat perlu menyokong kemampuan mereka (Gambar IOC)
fmt-ohsem-inside-article1“Saya suka bercerita dan pernah menjadi juara pertandingan cerita bahasa Inggeris mewakili sekolah peringkat daerah negeri Selangor.

“Saya juga aktif berlakon teater serta membuat sendiri skrip drama kanak-kanak kerana saya sangat suka dengan budak kecil dan ingin melihat mereka gembira. Biasanya, untuk prop persembahan saya cenderung mengekspresikan pendekatan lebih warna-warni, ceria untuk menarik perhatian mereka.”

Lancar sahaja jawapan yang diberikan Nursuraya Mohd Nazri, 14, ketika diminta menceritakan perihal dirinya semasa pertemuan dengan Bernama baru-baru ini.

Sesiapa sahaja yang berpeluang bertentang mata dengan gadis berkulit cerah yang penuh berkeyakinan diri ini, pastinya akan berasa kagum. Namun di sebalik wajah yang gembira, sebenarnya ada kepahitan dalam hidup Nursuraya.

Anak gadis yang dilahir dan dibesarkan di Shah Alam, Selangor ini pernah menjadi mangsa buli di sekolah semata-mata kerana menghidap penyakit disleksia.

Kisah pahit dibuli, diejek rakan sekolah

“Dua tahun dahulu, Nursuraya bukanlah seperti yang dilihat hari ini. Anak saya seorang yang pendiam di sekolah sedangkan di rumah banyak bercakap. Dia juga sangat sensitif, pemarah dan tidak mempunyai keyakinan diri tinggi ketika di khalayak ramai.

“Dia sering dibuli di sekolah. Rakan-rakannya memanggil dia bodoh, malas dan lembab dalam semua perkara, sehinggakan beratur di perhimpunan sekolah pun jadi isu.

“Semuanya, semata-mata dia berada dalam kelas disleksia di sebuah sekolah kebangsaan,” kata ibu Nursuraya, Wan Nurshamliza Wan Mohd Samsuddin, 40 tahun.

Sebagai penghidap disleksia, Nursuraya mengalami masalah kesukaran membaca, menulis, mengeja dan mengira. Ini berpunca daripada gangguan saraf yang dihadapinya walaupun pada masa sama dia mempunyai daya pemikiran normal.

Keadaan itu menyebabkan anak sulung daripada 3 beradik ini agak ketinggalan berbanding pelajar lain. Perasaannya semakin tertekan apatah lagi, apabila gagal dalam semua mata pelajaran yang diambilnya.

“Hanya 3 subjek sahaja ditawarkan untuk kelas disleksia iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Sains. Untuk subjek lain, dia perlu memasuki kelas aliran teras bersama rakan normal lain.

“Bagaimanapun, selama 4 tahun Nursuraya mengalami ‘stagnant development’ kerana sangat sukar untuk memahami dan mudah lupa dengan apa yang dipelajari. Antara satu sebabnya, adalah masalah bahasa kerana bagi individu disleksia bahasa Inggeris adalah lebih mudah buat mereka selain teknik pengajaran berlainan,” kata Wan Nurshamliza.

Rakan-rakan yang membuli Nursuraya bukan sahaja melemparkan kata-kata menghina termasuk “bodoh”, malah ada juga yang bertindak membuang beg sekolahnya. Mereka juga pernah menyembunyikan kasut sekolahnya di belakang tong sampah bahkan ada yang mengugut dia membayar RM5 sekiranya ingin berkawan dengan mereka.

Nursuraya sememangnya tidak tahan lagi dibuli sehingga saban hari dia akan meninggalkan nota di tepi katil ibunya, merayu diberhentikan sekolah.

Bilik darjah inklusif buka ruang baharu

Bagaimanapun, semuanya berubah apabila Wan Nurshamliza mengambil keputusan untuk membawa anaknya mengikuti satu program komuniti yang dikenali sebagai ‘Inclusive Outdoor Classroom’ (IOC) sejak tahun 2016 atas nasihat seorang rakannya yang turut serta menyertai program berkenaan.

Satu persatu perubahan ketara dapat dilihat pada diri Nursuraya. Dia bukan sahaja semakin berani tampil ke depan, bahkan tidak lagi kekok untuk bercakap. Wan Nurshamliza juga melihat anaknya semakin berkeyakinan dan pencapaian akademiknya juga semakin memberangsangkan.

Semua ini adalah hasil daripada pelbagai aktiviti anjuran IOC yang memberi penekanan kepada satu pembentukan komuniti inklusif dengan menggalakkan pergaulan serta jalinan hubungan lebih baik antara Orang Kelainan Upaya (OKU) dan individu normal, banyak membantu perkembangan anak ini.

“Kami mendapati perkembangan minda, rohani, fizikal yang sangat positif dalam diri Nursuraya selepas dia aktif dalam pementasan teater dan aktiviti IOC. Ini kerana, dia merasakan dirinya dihargai dan diterima masyarakat.

“Di IOC, tidak ada istilah sindrom down, autisme, disleksia atau individu normal kerana semuanya dilayan sama rata sebagai seorang manusia. Ini membuatkan Nursuraya sangat gembira dan tahap pelajarannya semakin baik, “ katanya.

Menurut beliau, pada semester lepas, Nursuraya memperolehi A untuk Matematik dan B untuk subjek Biologi kerana dia mengambil silibus Cambridge di sebuah pusat home school.

“Individu disleksia ini cerdik sebenarnya tetapi memerlukan teknik pengajaran berlainan. Bagaimanapun, agak menyedihkan kerana masih ada segelintir besar masyarakat menganggap mereka bodoh disebabkan kurang pengetahuan mengenai disleksia. Sedangkan sudah ramai individu disleksia berjaya seperti Richard Branson dan sebagainya,” kata Wan Nurshamliza.

Celik mata masyarakat

Diasaskan oleh seorang pensyarah separuh masa, Anne Sivanathan pada Jan 2016, IOC mempunyai matlamat besar untuk mewujudkan satu komuniti inklusif tanpa ada istilah diskriminasi terhadap OKU.

Pelbagai aktiviti IOC yang diadakan melibatkan kanak-kanak istimewa dan individu normal seperti bersukan, bergaul, berlakon sekali gus dilihat sebagai langkah terbaik untuk menghapuskan mentaliti negatif terhadap OKU.

Program komuniti yang sudah bergerak selama 2 tahun ini ternyata memberi manfaat bukan sahaja kepada ibu bapa anak OKU, individu istimewa itu, bahkan turut mencelikkan mata masyarakat normal untuk lebih memahami golongan berkenaan.

Pengalaman ini dikongsi oleh seorang surirumah, Esther Lau, 44 tahun.

“Malu saya nak cerita tetapi IOC banyak menyedarkan saya. Sebelum ini, kalau ternampak siapa sahaja individu OKU saya akan bawa anak lari kerana takut mereka akan menyerang kami.

“Saya buat begitu sebab saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai mereka. Tetapi, selepas menyertai IOC saya mula sedar, anak OKU ini sangat istimewa.

“Mereka berbakat besar dengan cara tersendiri. Program kesedaran komuniti inklusif seperti ini penting dan perlu diperbanyakkan lagi bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk lebih memahami golongan tersebut,” katanya.

Menariknya, Esther turut sama membawa ketiga-tiga orang anaknya untuk turut serta dalam aktiviti projek komuniti ini walaupun mereka bukan OKU.

Wanita ini mahu memberi pendedahan awal kepada anaknya supaya tidak mempunyai pandangan negatif terhadap golongan istimewa ini seperti yang dilakukannya sebelum ini.

“Saya selalu ingatkan anak supaya jangan pandang hina dan takut berkawan dengan individu OKU. Bagi saya amat penting untuk ibu bapa memainkan peranan sewajarnya supaya tidak ada lagi diskriminasi terhadap OKU,” katanya.

Cetusan idea IOC

Menjelaskan lebih lanjut, Anne, 46, berkata beliau mendapat idea untuk menubuhkan IOC berdasarkan pengalamannya melihat rakan-rakan yang mempunyai anak OKU terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan dalam membesarkan anak mereka khususnya pandangan masyarakat.

Sebagai seorang ibu, beliau berasa masalah itu sangat dekat di hatinya dan mengambil keputusan untuk membantu ibu bapa yang berkenaan menerusi penubuhan IOC.

“Walaupun saya tidak mempunyai anak istimewa tetapi berkawan dengan komuniti ini banyak mendedahkan saya mengenai permasalahan mereka.

“Paling menyedihkan, apabila saya mendapati masih ramai lagi di luar sana yang tidak memahami anak istimewa ini serta menganggap mereka sebagai golongan terasing.

“Ini yang kita cuba ubah di IOC. Kami mendidik sukarelawan IOC yang kebanyakannya mahasiswa universiti serta individu normal untuk memahami golongan ini dan menerima mereka sebagai ahli masyarakat menerusi aktiviti yang diadakan bersama ,” katanya.

Program yang hanya dilaksanakan 2 kali sebulan iaitu pada setiap hari Sabtu minggu pertama dan ketiga di iM4U Sentral, Puchong, ini mendapat sambutan menggalakkan serta ada permintaan untuk dibuka luar Kuala Lumpur.

“Setakat ini, IOC mempunyai keahlian seramai 60 orang dan masih ada lagi 50 orang dalam senarai menunggu. Kami tidak dapat menerima semuanya kerana kekangan kewangan dan keluasan tempat.

“Sekiranya ada pihak sudi membantu, kami amat mengalu-alukan,” katanya yang boleh dihubungi menerusi Facebook IOC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.