
Fesyen itu menjangkaui imaginasi dan kreativiti, kadang kala terlebih elemen eksentrik sehingga memaksa kita menerimanya walaupun sudah hilang “citarasa” sebenar.
Sama seperti minggu fesyen di London, England baru-baru ini yang mana memaparkan rekaan luar jangkaan seperti skirt lilo, baju kondom dan kasut berimejkan muka Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, “trumpetto”.


Edwin Mohney, pereka siswazah Saint Central Martins yang tampil dengan karya ikonik itu rupanya seorang pereka New York yang sangat popular di Instagram menerusi koleksi surrealistnya itu.
Ekoran itu, pelbagai jenis pakaian kondom Mohney muncul di Minggu Fesyen London.
Bagaimanapun, pakaian yang dipamerkan tidak memberi penekanan pada bahagian lengan atau bahu, bahkan ditutup sepenuhnya dan yang pasti, tidak boleh digunakan lebih daripada kepentingan pentas, atau karnival.
Reka bentuk “unik” seperti ini dibuat terhad untuk melindungi badan sahaja.
Beberapa rekaan lain Edwin yang diilhamkan daripada kondom juga dilengkapi skirt berbentuk gelembung dan penutup transparen yang berbentuk seperti alat kontraseptif.
Selain itu, turut dipamer ialah pakaian berbentuk kolam mudah alih yang digunakan sebagai pakaian sepenuhnya di atas model yang sebenarnya sekadar menyangkutnya pada bahagian leher.
Idea unik tetapi luar dugaan Edwin ini menerima pelbagai respon netizen, termasuk menyatakan kekeliruan terhadap reka bentuk pelik.

Ada yang menyatakan Edwin mungkin mengalami kebuntuan idea sehingga tidak dapat mereka pakaian untuk keperluan harian yang praktikal.
“Seolah-olah dia kehabisan idea-idea praktikal!” tulis pengguna Twitter.
Bagaimanapun, ada juga yang bertindak balas secara berjenaka.
“Saya fikir skirt lilo ini akan dijual di pasaran.”
Tidak ketinggalan kasut “trumpetto” yang turut mendapat perhatian meluas di minggu fesyen itu.
Ramai yang akui rekaan kasut itu bukan satu reka bentuk paling estetik dalam pasaran fesyen dan jelas ia tidak boleh digunakan untuk kehidupan seharian.
Bagaimanapun, jika rekaan ini dihasilkan sebagai usaha untuk meningkatkan kempen kebangkitan dunia fesyen, maka “trumpetto” mungkin berjaya sebagai rekaan eksentrik.