Enggan belikan shawarma, wanita Arab ceraikan suami

Enggan belikan shawarma, wanita Arab ceraikan suami

Sameeha berkata suaminya itu juga mengira baki roti di rumah sebelum keluar ke tempat kerja bagi mengawasi jumlah roti yang dimakan olehnya.

Shawarma adalah sejenis roti yang menggunakan daging kambing, ayam, atau lembu yang dicampur sayuran sebagai inti. (Gambar Google)
Shawarma adalah sejenis roti yang menggunakan daging kambing, ayam, atau lembu yang dicampur sayuran sebagai inti. (Gambar Google)
fmt-ohsem-inside-article1

Setiap hari ada sahaja kes perceraian yang dilapor berlaku di Arab, tetapi yang lebih menarik apabila setiap perceraian dianggap semakin pelik dan kompleks.

Baru-baru ini seorang wanita Mesir menceraikan suami yang baru dikahwini 40 hari selepas mendapati lelaki itu terlalu berkira untuk membelikannya shawarma, sejenis makanan berintikan daging dan dibungkus dengan roti tortila.

Kata lelaki itu, makanan tersebut sangat mahal dan wanita itu cuba mengeksploitasi kewangannya.

Menurut laporan Masrawy, Sameeha baru sebulan lebih berkahwin lelaki yang dikenali selama 2 bulan mengikut adat yang diuruskan keluarga itu, dia mengambil keputusan menamatkan rumah tangganya selepas tidak tahan dengan perangai kedekut suaminya itu.

“Pada minggu pertama perkahwinan, dia memberitahu tidak suka keluar kerana ia hanya merugikan wang.

“Selepas 40 hari duduk di rumah, saya merayu supaya dibawa keluar. Kami tak pernah keluar ke mana-mana selepas berkahwin. Dia bagaimanapun bersetuju.

“Tetapi sewaktu berada di luar, saya meminta suami untuk membelikan shawarma, tetapi dia enggan. Dia berkata akan hanya membelikan jus, itu sahaja. Dia berkata saya cuba mengeksploitasi kemewahannya dengan memaksa membelikan kedua-dua roti shawarma dan jus,” katanya.

Tambah wanita muda itu, suaminya juga mengira baki roti di rumah sebelum keluar ke tempat kerja bagi mengawasi jumlah roti yang dimakan olehnya.

Akhirnya, perbalahan “shawarma” mencetus keputusan Sameeha menamatkan perkahwinan sekali gus keengganannya untuk meneruskan hidup bersama seorang lelaki yang sangat kedekut.

“Dia gila. Saya tak boleh hidup dengan lelaki seperti ini,” katanya.

Berita perceraian “shawarma” ini viral di media sosial dan kini sedang menunggu giliran untuk dibicarakan di mahkamah Mesir.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.