

Mengubah sikap generasi muda Cina terhadap pengambilan sup sirip ikan yu bermakna berkuranglah hidangan tersebut dari kad menu jamuan.
Menurut laporan WildAid, makanan istimewa itu khususnya menjelang Tahun Baharu Cina bukan satu-satunya ancaman terbesar kepada ikan yu.
Ketua Pegawai Eksekutif WildAid, Peter Knights berkata, kempen kesedaran melibatkan selebriti berprofil tinggi dan larangan kerajaan terhadap makanan berasaskan sirip ikan yu membawa kepada 80% pengurangan permintaan di tanah besar China antara 2010 dan 2014.
“Generasi muda Cina sudah tidak memilih sup sirip yu sebagai makanan utama Tahun Baharu namun ia tidak mencukupi,” katanya.
Chen Xin berusia 27 tahun yang bekerja untuk majalah fesyen, misalnya mengakui sup ikan yu boleh memberi kesan kepada ekosistem.
Jadi dia mahupun kenalannya sudah tidak memesan makanan itu.
Namun, ancaman yang lebih besar adalah memburu spesis ikan yu yang mengagalkan usaha melindunginya.
Hidangan sup sirip yu masih dikesan di 31 dari 33 hotel kasino dan 70% jamuan perkahwinan di Macau.
Di Hong Kong, 98% restoran masih menawarkan makanan itu, termasuk restoran rantaian terbesarnya, Maxim.
Negara seperti Thailand juga didapati berlaku peningkatan permintaan terhadap sup sirip ikan yu.
“Walaupun tingkah laku pemakanan pengguna di tanah besar China berjaya diubah, sup sirip yu masih boleh menjadi menu utama di restoran di Hong Kong dan Taiwan serta meningkat di negara lain seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Macau,” kata Knights.
Sup ikan yu adalah masakan tradisional masakan Cina, dihidangkan di restoran Cina di seluruh dunia selama beberapa dekad. Hidangan mahal ini dianggap simbol prestij dan sering dimakan semasa acara perayaan seperti Tahun Baharu atau jamuan perkahwinan.
Wildaid turut mendedahkan trend baharu yang mengancam hidupan air itu adalah produk minyak hati ikan yu atau squalene, ramuan paling popular dalam dunia kosmetik dan suplemen kesihatan.
Squalene didapati dalam produk kosmetik seperti serum, pelembap dan pil Omega-3.
Kira-kira 3 juta ikan yu ditangkap setiap tahun untuk produk minyak, menurut organisasi pemuliharaan Perancis, Bloom.
Penyelidikan WildLifeRisk 2014 mendedahkan 600 ikan yu paus diproses untuk mengekstrak suplemen kesihatan Omega-3 di sebuah kilang di wilayah Zhejiang timur China dalam tempoh setahun.
“Squalene adalah seperti ramuan ajaib dalam rangkaian penjagaan kecantikan masa kini,” kata seorang pengguna berusia 26 tahun yang mengikuti trend kecantikan dan kulit wajah, Lily Chen.
Jelasnya produk minyak kulit yang mengandungi squalene antara produk paling kerap disyorkan oleh blogger kecantikan.
“Tetapi saya tidak pernah sedar squalene diekstrak dari ikan yu secara kejam,” katanya.