

Ia seperti menunjukkan rakyat negara itu bukan sahaja tidak menyukai lagu tersebut, tetapi berasa benci terhadap pemerintahan junta tentera sejak rampasan kuasa 2014.
Lagu ciptaan ke-4 Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha yang bertajuk Diamond Heart (jangan keliru dengan lagu Lady Gaga) sempena sambutan Hari Kekasih dikritik kerana liriknya dikatakan seperti orang mahu berpisah.
“Adakah kamu tahu senyumanmu kebahagiaanku?” dan “Tidak kira betapa penat dan sukar, marilah berpegangang tangan,” menerima lebih 27,000 “dislike” dan sekitar 1,000 “like” di laman YouTube sejak dimuat naik Jumaat lalu.
Junta Thailand memerintah negara itu melebihi tempoh dijanjikan menyebabkan rakyat terus tertanya-tanya bilakah tampuk pemerintahan akan diserahkan semula kepada rakyat menerusi sistem demokrasi.
Bertindak balas kepada lagu itu, ramai mempersoal isu tersebut dengan menekankan mereka lebih memilih untuk mendengar tarikh pilihan raya berbanding lagu nyanyian Prayut.
“Manusia dengan hati berlian sejati tidak akan menipu hari demi hari dan merampas kuasa daripada wanita,” tulis pengguna Twitter, @noonchuckyai.
Dia terus-terang merujuk pimpinan tentera Prayut yang merampas kuasa daripad perdana menteri wanita pertama Thailand, Yingluck Shinawatra.
Korus lagu itu menggesa rakyat Thailand, “Jadikan hati kamu berlian sejati dan jangan ditewaskan.”
Jurucakap junta, Atisith Chainuvati berkata, lagu yang dinyanyikan oleh seorang pegawai tentera, tiada kaitan dengan Hari Kekasih sebaliknya hanya menunjukkan sokongan Prayut kepada rakyat.
“Saya berpendapat lagu itu menunjukkan kesediaan Prayut memberi sokongan kepada rakyat yang berbuat kebaikan untuk negara,” katanya.
Prayut pertama kali mencipta lagu sebaik selepas menumbangkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi, bertajuk Kembalikan Kegembiraan Kepada Thailand.