

Kepelbagaian budaya, gaya hidup dalam masyarakat pelbagai bangsa memerlukan kita saling bertoleransi. FMT Ohsem ada beberapa petua dan panduan untuk anda ambil kira apabila mengunjungi kediaman rakan berbangsa Cina pada hari kebesaran dan pada bila-bila masa.
1. Menawarkan hadiah
Ingat, bila menawarkan sesuatu hadiah, pastikan ia diberikan menggunakan kedua-dua tangan. Ia menunjukkan tanda hormat dan keikhlasan anda. Hadiah seperti pen berharga khususnya yang diukir dianggap hadiah sangat bernilai. ·
Jangan sekali-kala menawarkan hadiah seperti:
- jam (dinding atau tangan) kerana ia seperti mengingatkan sudah tiba masa untuk kematian
- topi berwarna hijau kerana simbolik isteri tidak setia
- payung kerana membawa makna perpisahan
- gunting atau objek tajam yang bermakna hubungan tersebut akan “dicantas”
- sapu tangan yang membawa maksud kesedihan atau kecelakaan
- buah pir kerana mempunyai bunyi sama dengan perkataan cerai dalam bahasa Mandarin
- bunga berwarna putih atau kuning kerana lazimnya digunakan pada majlis pengebumian
2. Warna
Warna memainkan peranan penting dalam budaya dan kepercayaan kaum Cina. Apabila memilih bungkusan hadiah, gunakan warna seperti kuning dan merah. Elakkan terus warna hitam dan putih, coklat atau kelabu. Kuning, emas, bayangan merah dipercayai membawa tuah untuk kaum Cina.
3. Adab di meja makan
Penggunaan sepit atau “chopsticks” bukan sekadar peralatan makan tetapi penggunaanya mempunyai signifikan tersendiri. Sekiranya sepit tidak digunakan ketika makan, jangan sesekali mencucuk secara menegak pada nasi. Ia menandakan sumpah kecelakaan atau kematian. Sepit juga tidak boleh diletakkan dalam mangkuk sebaliknya di atas mangkuk atau tempatkan sahaja di tepi.
- Ketika di meja makan, beri laluan kepada tuan rumah makan dahulu.
- Menghirup atau makan dengan bunyi sebenarnya digalakkan sebagai menghargai makanan tersebut. Ia juga bermakna anda menikmati makanan yang sedap.
- Sewaktu sesi toast (minum ucap selamat), ketuk meja 2 kali dan berdiri sekiranya anda berada di majlis rasmi.
- Jangan tinggalkan pinggan anda kosong sebaliknya tinggalkan sedikit baki tanda berterima kasih menyediakan makanan lebih daripada mencukupi.
- Jangan licinkan makanan dihidangkan.
4. Hal ehwal berkaitan niaga
- Terima dan beri kad nama menggunakan kedua-dua belah tangan
- Baca kad tersebut di hadapan pemiliknya tanda anda menghargai dan mengesahkan semula.
- Jangan guna kad nama untuk tujuan menulis nota, ia disifatkan kurang sopan.
- Jangan tulis nama seseorang menggunakan dakwat merah, kerana warna merah biasanya digunakan untuk menulis nama orang sudah meninggal dunia dan di kubur.
5. Angka/Nombor
Ingat, nombor-nombor ini berperanan penting dalam kebudayaan Cina. Ia terdiri daripada nombor tuah dan kombinasi dan tarikh yang harus dielak, misalnya.
- 4 : Membawa bunyi ”mati”, maka dianggap tidak baik. Ini adalah nombor yang dielakkan langsung oleh budaya Cina.
- 6 : Nombor bertuah menandakan restu, kelancaran dan penambahbaikan.
- 8 : Menandakan kekayaan dan tuah baik.
- 9 : Bermakna sesuatu yang kekal selamanya digunakan dalam perhubungaan.
- 73 : Bermakna “pengebumian”
- 84 : Bermakna “kemalangan”
Ini antara pantang larang dalam budaya dan kepercayaan bangsa Cina, mungkin ada yang sudah tidak diamalkan, namun jangan ambil lewa.
Hargai dan hormati kepercayaan rakan-rakan dan kenalan berbangsa Cina sebagai tanda toleransi.