
Bermula dengan lagu Negaraku diubah suai hinggalah filem Banglasia yang disekat siaran, serta beberapa hasil seni lain antara sebab kerjaya selebriti dan Youtuber bernama Namewee terus terkenal, semuanya kerana kontroversi negatif.Selepas lagu Negaraku yang diubah suai dipertikai sehingga di Parlimen, filemnya Banglasia disekat tayangan, beberapa hasil seni dikecam menghina Islam dan Malaysia, kini Wee Meng Chee tampil dengan video lagu baharu.
Entah apa pula menanti pemuda berasal dari Muar dan berpendidikan di Taiwan itu selepas lagu ini dapat perhatian umum.
Semalam, Namewee menyiarkan klip video bertemakan Tahun Baru Cina menggunakan simbol zodiak anjing.
Seperti biasa, tidak lari dari kontroversi, lagu baharu itu juga berbaur sindiran.
Menyindir siapa atau apa, anda tentukan sendiri.
“Anjing di setiap negara menyalak dengan berbeza. Paling istimewa tentu sekali dari Malaysia (Awak tolong saya, saya tolong kamu)… Jadi dari mana jua anda, beritahu saya bagaimana anjing di negara anda menyalak?” tulisnya dalam kiriman status video berkenaan semalam.
Dalam tempoh itu, video ini sudah dikongsi lebih 700 kali di Facebook dan ditonton hampir 240,000 kali di Youtube miliknya.
Lagu itu dirakam di kawasan lapang berlatarkan bangunan kediaman Perdana Menteri di Putrajaya menampilkan beberapa orang penari membuat aksi bertopengkan muka anjing.
Namewee yang duduk di atas kerusi di tengah-tengah, menyanyi menyerupai cara anjing menyalak di setiap negara sambil menyindir cara anjing Malaysia menyalak, “Mari mari wang wang”.
Di akhir klip, kedengaran bunyi kereta peronda, lalu penari dan Namawee berlakon seolah-olah melarikan diri dari kawasan itu.