

Pelbagai cara kreatif dilakukan untuk menjana duit pada zaman ini. Bagi seorang lelaki, dia “mengusahakan” idea baharu dengan menjadi “pencuri lebuhraya” dan membuka satu peluang bisnes tersendiri.
Maksudnya, lelaki ini bukan merompak atau mencuri barangan milik orang di lebuhraya, sebaliknya bertindak mencuri lebuhraya itu sendiri selepas mendapati ia dapat menjana duit.
Anda jangan pula mencuba perbuatan ini kerana lelaki ini sudah pun ditahan pihak polis dan bakal dihadapkan di mahkamah.
Menurut laporan The South China Morning Post, penduduk kampung Sankeshu di wilayah Jiangsu sangsi dengan kehilangan lebuhraya yang digunakan oleh kenderaan besar dan bertindak melapor insiden itu kepada pihak polis tempatan.
“Jalan konkrit sepanjang 800 meter hilang dalam masa 1 malam. Di sebalik khabar angin jalan itu sedang diperbaiki, penduduk memilih untuk membuat laporan polis dan mendapati ia rupanya ‘dicuri’,” petik berita itu.
Panggilan itu dibuat 24 Januari lepas dan hasil siasatan polis berjaya menangkap Zhu dalam beberapa hari selepas itu.
“Polis mendapati Zhu menggunakan khidmat operator untuk menggali dan memunggah konkrit tersebut sebelum dipindahkan ke kilang simen. Menurut Zhu, simen tersebut mempunyai permintaan tinggi dan membuka peluang niaga baharu,” kata laporan itu lagi.
“Kenapa tidak? Jalan ini tidak digunakan oleh sesiapa. Jadi saya membuat duit dengan mengitar semula jalan itu,” kata Zhu ketika disoal siasat mengenai perbuatannya.
Setiap 500 tan simen konkrit dibeli pada harga 5,000 yuan (RM3,092).