Amalan khurafat Pulau Besar ‘dijual’ secara terang-terangan

Amalan khurafat Pulau Besar ‘dijual’ secara terang-terangan

Pulau Besar menyediakan khidmat 'ustaz jadian' memperdaya pengunjung Islam mahupun bukan Islam memohon hajat menerusi doa dan air jampi yang didakwa mampu menyembuh pelbagai penyakit.

pulau-besar-pemujaan
fmt-ohsem-inside-article1

Bagaikan tiada berpenghujung, Pulau Besar terus dijadikan tempat melakukan kegiatan yang terpesong daripada aqidah dan syariah Islam.

Bernama yang membuat tinjauan di pulau yang terletak kira-kira 15 kilometer arah tenggara tanah besar Melaka baru-baru ini melihat pengunjung yang tanpa rasa segan melakukan kegiatan pemujaan.

Terdapat juga beberapa tempat pemujaan baru seperti Keramat Ular dan Keramat Harimau dijadikan sebagai lokasi pemujaan memohon hajat, menyembah dewa (bagi yang bukan Islam), bertapa (bagi pengamal ilmu persilatan) dan kegiatan yang terpesong jauh daripada ajaran agama Islam.

Dalam masa yang sama ada segelintir penduduk tempatan yang mengaut keuntungan seolah-olah ‘menjual kekufuran’ daripada kegiatan khurafat dengan menjual alat yang diguna untuk acara keagamaan seperti kalungan bunga, colok, air bunga mawar dan kelapa.

Malah ada juga yang menjual barang-barang lama dan objek yang dianggap mempunyai keramat seperti batu permata, batu geliga, cincin lama, keris lama dan lain-lain dengan harga yang agak tinggi.

Lebih menyedihkan penulis mendapati terdapat khidmat ‘ustaz jadian’ bermodalkan kopiah, kain serban dan tongkat memperdaya pengunjung Islam mahupun bukan Islam memohon hajat menerusi doa dan air jampi yang didakwa mampu menyembuh pelbagai penyakit.

Sekitar pemerhatian penulis, ‘ustaz jadian’ itu mengambil upah antara RM30 hingga RM50 untuk setiap perkhidmatan yang diberikan kepada pengunjung.

Jual barang sekadar cari makan

Penulis menemui seorang pemuda berusia dalam lingkungan awal 20-an yang hanya ingin dikenali sebagai Mamat menjual bunga di hadapan Keramat Ular.

“Saya jual bunga untuk tambah punca pendapatan sahaja, lagipun ramai orang datang ke sini. Minta maaf bang, saya memang tidak percaya dengan benda-benda karut ini.

“Kebanyakan yang beli bunga bukan orang Islam yang mahu ke Keramat Ular. Tak ramai orang Islam yang beli bunga kerana mereka membawa air botol sendiri untuk menjampi air penawar sendiri atau bertapa di Keramat Harimau atas sana,” katanya.

Tidak jauh dari situ, kelihatan beberapa orang remaja berumur dalam lingkungan belasan tahun menjual batu dan cincin yang didakwa keramat daripada Perigi Nenek Kebayan di pulau itu.

Salah seorang remaja yang hanya ingin dikenali sebagai Ramli berkata ramai juga pengunjung yang membeli batu dan cincin yang ditemuinya dalam perigi Nenek Kebayan terutama pada musim cuti sekolah dan hari minggu.

“Saya jual batu dan cincin untuk cari duit lebih kerana saya dari keluarga susah dan tidak ada orang yang ingin membantu kami sekeluarga. Duit ni saya guna untuk buat belanja persekolahan dan tambang ulang alik menaiki feri ke Melaka,” katanya.

pulau-besar

Kecewa nasihat tinggal nasihat

Di sebuah masjid di pulau itu, penulis berkesempatan menemu bual seorang penduduk Pulau Besar yang hanya ingin dikenali sebagai Haron.

Berusia dalam lingkungan 60an, Haron jelas kecewa dengan apa yang berlaku walaupun pihak berkuasa agama pernah mengambil tindakan sebelum ini.

Sambil beristighfar dan mengeluh panjang, beliau bukan sahaja kecewa dengan kegiatan khurafat pengunjung ke Pulau Besar tetapi juga sikap sesetengah penduduk pulau itu yang bersekongkol serta meraih keuntungan daripada kegiatan berkenaan.

“Dah banyak kali saya memberi nasihat, tak kira India atau Melayu, Islam atau Hindu agar tidak menyembah kubur dan menunaikan hajat (membayar nazar) di sini dengan kata-kata nasihat serta menerangkan hukumnya daripada segi Islam namun tidak diendahkan,” kata Haron.

Menurut beliau, bukan hanya orang tempatan yang datang ke pulau itu sebaliknya pada sebelah lewat malam ada beberapa orang luar daripada negara jiran menaiki bot turut menziarahi kubur Sultan Al-Ariffin yang terletak bersebelahan dengan Masjid Pulau Besar.

“Biasa kebanyakan pengunjung dari negara jiran terdiri daripada pengamal ilmu persilatan. Mereka berzikir di tepi kubur dari lewat malam hingga ke awal pagi dan meninggalkan tempat ini sebelum azan subuh,” katanya.

Haron berkata daripada pemerhatian beliau pengunjung ke Pulau Besar atas beberapa termasuk menziarahi kubur Sultan Al-Ariffin dan kubur lama seperti yang disyariatkan dalam Islam tanpa amalan khurafat dan bagi tujuan perubatan dengan melakukan amalan khurafat.

Ada juga yang datang yang datang untuk memohon hajat dengan melakukan acara berbentuk keagamaan secara bersendirian atau menguna khidmat individu yang mengelar diri mereka sebagai ustaz.

Di samping itu, Pulau Besar juga dijadikan sebagai tempat bertapa atau melengkapkan sesi perguruan silat.

Beliau berkata antara lokasi yang sering menjadi tumpuan pengamal ajaran khurafat ialah kubur Sultan Al-Ariffin, kubur tujuh beradik, Gua Yunus, Keramat Ular, Keramat Harimau dan kubur Nenek Kebayan.

Penguatkuasa tak boleh ambil lewa

Salah seorang pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Musa berkata beliau kerap datang beribadah di Masjid Pulau Besar kerana keadaan tenang di pulau itu dan jauh daripada hiruk pikuk kota raya Kuala Lumpur, tempat tinggalnya.

“Saya datang ke sini bukan sebab percaya benda karut dan khurafat tetapi hanya sekadar iktikaf di masjid dan ziarah kubur Sultan Al-Ariffin,” katanya.

Musa berkata sebagai pengunjung tetap Pulau Besar beliau turut melahirkan rasa kesal kerana kegiatan khurafat masih berleluasa dan berharap penguatkuasaan tegas dapat dilakukan untuk membenteras kegiatan khurafat di pulau ini.

“Selagi pihak berkuasa tidak melakukan penguatkuasaan dengan menempatkan pegawai penguatkuasa di situ, selagi itulah Pulau Besar tidak akan bebas daripada belenggu amalan khurafat,” katanya.

Pesara kerajaan itu berkata beberapa bulan lepas beliau pernah lihat kelibat pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) merekod nama pengunjung ke kubur Sultan Al-Ariffin yang terletak bersebelahan Masjid Pulau Besar.

“Tengok sahajalah di tepi kubur tu (kubur Sultan Al-Arifin) tanpa malu Pak Lebai bertasbih di leher duduk bersila baca jampi pada air galian, bunga dan minyak atar untuk dijual kepada mereka yang berhajat.

“Walaupun ada papan tanda amaran JAIM melarang aktiviti khurafat, dia langsung tak kisah malah terus melakukan kegiatan itu secara terang tanpa rasa takut merosakan akidah orang Islam dan bukan Islam yang datang ke sini.

“’Saya pernah beberapa kali menegur dengan cara yang baik namun saya dimaki, malah ada yang ajak untuk bertumbuk pula. Siapalah saya untuk menegur mereka namun hati saya pedih dan mata sakit bila lihat orang Islam secara terang menghina agama yang suci ini,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.