

Ingat lagi tak hasil kerja seorang jurugambar professional yang melakar semula pakaian Nasi Lemak Miss Universe Malaysia sekadar menggunakan Adobe Photoshop selepas pakaian asal menerima kecaman netizen?
Jurugambar yang sama, Rafil Thazali semalam mengambil satu lagi peluang membuat lakaran semula logo Visit Malaysia 2020 yang turut menerima reaksi positif netizen.
Rekaan yang dimuat naik sekitar pukul 9.15 malam semalam menerima penghargaan netizen yang tertarik dengan kreativiti dan penggunaan warna minimal serta idea di sebalik hasil kerjanya itu.
Rafil yang berasal dari Subang Jaya dan memiliki studio sendiri di Shah Alam merupakan jurugambar fesyen, korporat dan komersial.
Dalam muat naik logonya, Rafil menulis, “Pesta logo #VisitMalaysia2020 masih hangat, so i decided to join in the fun and made my version. It’s a combination of graphic and photo manipulation. Warna tak semeriah design rakan2 lain but i have my reasons. Hope korang suka my attempt here! #LogoVisitMalaysia2020.”
Ketika ditanya, Rafil berkata dia tampil dengan lakaran logonya tersendiri susulan rekaan logo asal dilanda kontroversi.
“Saya cuma mahu berkongsi kepakaran saya, itu sahaja. Saya buat sekadar suka-suka kerana keghairahan saya terhadap seni dan bukan bersaing dengan imej asal,” jelasnya yang turut memberi keterangan mengenai setiap lirikan dalam logonya.
Rafil juga berkata dia hanya mengambil masa 3 jam untuk mereka logo tersebut selain mencuba rekaan itu pada produk merchandise.
Namun, Rafil bukan satu-satunya pereka atau netizen yang tampil dengan rekaan logo Visit Malaysia 2020.

Media sosial bagaikan menjadi platform perang logo apabila masing-masing mahu menunjukkan kepakaran dan bakat mereka dalam bidang kreativiti ini.
Di Facebook, Grafik Malaysia misalnya, beberapa rekaan logo dikongsi sejak logo asal diperkenalkan.
Menurut pengendalinya, ia dikongsi untuk tatapan umum, selain membuktikan kemampuan artis grafik tempatan dalam menghasilkan kerja kreatif menggunakan sumber terhad.
“Ini bukanlah logo yang terbaik tetapi mereka semua (pereka grafik) telah lakukan yang terbaik
“Kita tak kata logo-logo ni lebih baik dari logo rasmi, tetapi ini adalah cara mereka bersuara, mengatakan logo rasmi Visit Malaysia 2020 yang baru sahaja dilancarkan adalah tidak sesuai atau dalam erti kata lain, lemah.
“Kami mengalu-alukan semua pereka grafik Malaysia untuk hantar logo Visit Malaysia 2020 ciptaan sendiri kepada kami untuk kami siarkan (viralkan) dalam album ini. Hanya perlu attach logo anda di ruangan komen atau inbox kami,” petik FB Grafik Malaysia lewat petang semalam.
Sekarang mari kita lihat antara logo yang dikongsi Grafik Malaysia dan hasil usaha individu dalam menunjukkan bakat kreatif mereka.

Terdahulu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz dikritik pengguna media sosial sebaik logo mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 dilancar pada 26 Januari di Chiang Mai, Thailand.
Walaupun menerima kritikan, Nazri berkata logo itu untuk pelancong asing dan bukannya untuk dalam negeri, jadi beliau tidak kisah dan peduli dengan kritikan tersebut.