
Pada usia hampir 90 tahun apakah agaknya perancangan anda? Kalau dipanjangkan usia, kita pasti memilih untuk berehat dan melayan karenah cucu-cicit.Tetapi berbeza dengan nenek ini, beliau bukan sahaja mempunyai perancangan besar malah sanggup menggadai harta demi “rancangannya” itu.
Jiang Bin, 88, dari Hangzhou, China memilih untuk menjual rumah kediamannya untuk melancong ke seluruh dunia.

Selain itu, dia juga pernah melawat Perancis, Afrika Selatan, Thailand dan Amerika Syarikat.
Menurut laporan Qianjing Evening News, hobi melancong Jiang Bin bermula selepas bersara pada 2009. Sejak itu, beliau melawat sedozen negara dan mengikuti perjalanan penuh mencabar sebagai pelancong.
Bagaimanapun, ekoran kekangan kewangan untuk meneruskan impiannya berjalan-jalan ke seluruh dunia, nenek tersebut memilih untuk menjual kediamannya di Hangzhou tahun lalu.

Jiang Bin kini tinggal di kompleks apartmen pesara semasa tidak berjelajah dan lebih menarik lagi, warga emas ini meluangkan kebanyakan masa di WeChat dan melayari internet apabila berehat di rumah.
“Dia juga cuba belajar dan menggunakan perkataan dan bahasa yang digunakan oleh belia zaman ini untuk kekal relavan dengan mereka.
“Kakitangan apartmen tersebut juga menyifatkan Jiang Bin warga emas yang ‘muda di hati’,” petik akhbar itu.
Jadi, apakah lokasi pelancongan seterusnya bagi nenek ini? Katanya dia merancang ke Jepun dan terus berjelajah mengisi pasport dengan cop imigresen negara-negara yang belum dilawati.