
Untungnya pemilik kucing ini, apabila ia berjaya menjana AS$701,000 (RM2.73 juta) sebagai pampasan saman.Kucing berusia 6 tahun bernama Tardar Sauce ini popular di laman sosial sejak beberapa tahun lepas kerana mempunyai wajah yang unik iaitu sentiasa kelihatan merengus atau masam.
Ekoran itu, pemiliknya Tabatha Bundesen menubuhkan syarikat menjual imej kucing tersebut pada 2013.
Wajah perengus kucing itu dikenali Grumpy Cat Limited yang terus membuka peluang niaga dengan syarikat kopi Grenade.
Bagaimanapun Grumpy Cat Limited terpaksa menyaman Grenade selepas mendapati ia melanggar perjanjian menggunakan imej kucing itu.
Dalam satu laporan AFP, Grenade diberikan hak menggunakan wajah kucing itu untuk menjual minuman kopi ais Grumppuccino sahaja.
Namun, pada 2015 syarikat milik Bundsen mendapati imej kucing itu digunakan dalam produk kopi lain dan baju-T yang mana tidak termasuk dalam perjanjian.
Grenade pula mendakwa Grumpy Cat tidak berpegang pada perjanjian itu hingga tamat dan gagal mempromosikan jenama itu seperti dipersetujui.
Bagaimanapun, keputusan akhirnya berpihak kepada Grumpy Cat apabila mahkamah persekutuan di California memutuskan Grenade melanggar perjanjian.
