

Menurut Pakar Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Dr Mohd Rusdi Abdullah, daripada purata 800 kes kecederaan yang berkait dengan aktiviti sukan yang dirawatnya di hospital itu setiap tahun, hanya 10% melibatkan atlet profesional manakala selebihnya “penggemar sukan hujung minggu atau yang kurang bersedia untuk aktiviti lasak.”
“Saya mengendalikan kira-kira 800 kes setahun dengan purata kira-kira 30% daripada pesakit itu memerlukan pembedahan, manakala selebihnya memerlukan rawatan konservatif (bukan pembedahan) seperti fisioterapi, suntikan, sokongan dan pengambilan ubat. Biasanya kami akan cuba kaedah bukan pembedahan terlebih dahulu, tetapi jika tiada tanda pemulihan maka kami akan memilih pembedahan bergantung kepada tahap parah dan faktor lain.
“Selalunya, penggemar sukan hujung minggu tidak melatih badan mereka untuk aktiviti sukan lasak. Jadi, otot mereka tidak mantap, tidak ada aktiviti memanaskan badan atau regangan yang sesuai, peralatan sukan tidak mencukupi atau tidak betul, serta tidak memakai kasut yang sesuai,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara eksklusif di SJMC di sini.
Sarjana dalam bidang Pembedahan Ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mempunyai lebih dari sedekad pengalaman dalam amalan ortopedik itu menegaskan, regangan, pemanasan dan penyejukan badan adalah sama pentingnya dengan melakukan aktiviti untuk mencegah kecederaan.
Lakukan dengan serius
“Kita hendaklah memastikan otot bersedia sepenuhnya sebelum melakukan sebarang pergerakan pantas dan melibatkan banyak tekanan. Jika tidak, gerakan secara tiba-tiba dan pantas melibatkan badan dan anggota badan yang lain boleh menyebabkan kecederaan pada tisu atau otot. Selain bersiap sedia, pemanasan badan juga membantu mengoptimumkan fungsi jantung dan peredaran darah, meningkatkan fungsi paru-paru untuk pengoksigenan mencukupi untuk tisu, mengawal selia hormon, keseimbangan, fleksibiliti sendi dan kesediaan mental,” tambah Dr Mohd Rusdi.
Selepas melakukan aktiviti fizikal, penyejukan badan penting untuk merehatkan otot dan memulihkan fungsi kardio-pernafasan bagi mengembalikan fungsi badan kepada keadaan asalnya. Ia juga boleh mengurangkan risiko kesakitan otot selepas bersenam, kata pakar bedah yang berpengalaman membuat fellowship di pusat perubatan ortopedik dan sukan terkenal di Jerman, Itali dan Amerika Syarikat.
Berusia 40 tahun, beliau yang berkepakaran dalam bidang “Arthroscopy and Sports Surgery”, berkata kecederaan sendi lutut terutama yang melibatkan “Anterior Cruciate Ligament” (ACL) dan “Ligament Collateral Medial” (MCL) adalah kecederaan sukan yang paling biasa berlaku di Malaysia.
Kecederaan sukan lain yang melibatkan sendi bahu, belakang, siku, pinggul serta ligamen pergelangan kaki (koyakan kecil atau keseluruhan) menyebabkan ketidakstabilan dalam pergerakan dan kesakitan kronik
”Terdapat lebih daripada 7 ligamen penting pada lutut. Sendi lutut adalah bahagian yang sering mendapat kecederaan bagi kebanyakan sukan, bukan hanya dalam bola sepak atau futsal malah dalam sukan-sukan berasaskan pergerakan tangan seperti bola keranjang dan bola baling kerana mereka masih menggunakan lutut untuk lari dan berpusing-pusing, “ kata bekas Pakar Bedah Ortopedik Hospital Kuala Lumpur, dan Felo Arthroscopic and Sports Surgery itu lagi.
Mengenali jenis-jenis kecederaan
“Sebagai contoh, kecederaan yang melibatkan ACL berlaku apabila bahagian tubuh atau anggota badan lain terseliuh teruk akibat serangan berbahaya, hilang keseimbangan, pelanggaran kepala atau tindakan memusing secara mengejut. ACL bertindak sebagai penstabil untuk sendi lutut dan membantu menentang mana-mana sendi daripada tekanan dan dislokasi,” kata Dr Mohd Rusdi.
Beliau menjelaskan bahawa pemain bola sepak dan futsal menghadapi risiko kecederaan lutut, terutamanya ACL dan “meniscus”. Ini sering berlaku kerana permukaan gelanggang futsal yang anti licin di mana kaki tetap berpijak di permukaan gelanggang manakala pada waktu sama badan pula membuat pusingan mengejut atau jatuh ke lantai.
Langkah pencegahan kecederaan adalah sangat penting untuk membolehkan atlet terus mengambil bahagian dalam sukan serta permainan. Mereka dinasihatkan supaya mempunyai pengetahuan saintifik mengenai cara untuk memberi respons kepada kecederaan mereka, rakan sepasukan atau lawan mereka.
“Mereka sepatutnya tahu cara menangani kecederaan seperti kaki patah, contoh meletakkan ais, pembalut dan splin; dan memberi bantuan CPR (resusitasi kardiopulmonari) dalam keadaan yang boleh menyebabkan kematian. Rawatan kecemasan awal amat penting untuk menyelamatkan nyawa atau mencegah keadaan yang lebih teruk ketika berlaku kecederaan atau kecemasan, terutamanya yang melibatkan jantung, pernafasan atau otak,” katanya.
Dr Rusdi menekankan kepentingan bagi para atlet untuk mempunyai pengetahuan sains dan nutrisi makanan, memahami fungsi tubuh sendiri, penggunaan peralatan dalam latihan dan persaingan, memilih kasut yang sesuai agar dapat mencegah kecederaan selain mengamalkan disiplin yang baik sebagai seorang atlet.
Masih percaya ubat alternatif
Menyentuh soal cabaran dalam merawat kecederaan sukan di negara ini, Dr Rusdi berkata meskipun Malaysia salah sebuah negara terbaik di Asia untuk perubatan dan pembedahan sukan, kepercayaan terhadap ubat alternatif seperti ubat tradisional dan ‘bomoh’ masih wujud, yang mungkin secara negatif mempengaruhi hasil rawatan.
“Kadang-kadang pesakit akan mencuba ubat alternatif terlebih dahulu dan hanya datang kepada kami apabila kecederaan menjadi serius atau tidak dapat diperbaiki, sementara yang lain pula akan mencuba kedua-dua rawatan. Mereka harus lebih berdisiplin dan meletakkan kepercayaan kepada ahli profesional perubatan,” katanya.
Dr Rusdi yang lulus ijazah MBBS dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIUM) pada 2002 memperolehi fellowship dalam Orthopedic Sports Medicine di Technical University of Munich (TUM), Jerman pada 2015, Arthroscopy and Knee Surgery, Instituto Ortopedico Rizzoli, Bologna, Itali (2014) dan OA Trauma Surgery, BIDMC-Harvard Medical School, Massachusetts, USA (2017 ).