
Ratchadapong Prasit, 23, dari Thailand sudahpun melalui 30 pembedahan plastik sejak 2 tahun lepas dan akui akan terus menambah angka pembedahan ini pada masa akan datang.
Kelihatan jauh sekali berbeza dari diri asalnya, dia kini mahu dikenali dengan nama Minho, bersempena nama artis popular K-Pop dari Korea, Choi Min-Ho.
Selepas mengubah wajahnya, Minho memiliki pengikut dan peminat yang ramai di laman sosial.
Popularitinya bertambah selepas memuat naik gambar dirinya sebelum dan selepas melalui 30 pembedahan plastik.
Dalam satu temuramah dengan media tempatan, Minho mendedahkan pembedahan tersebut dilakukan di bahagian dahi, hidung, dagu dan mulut.

Dia juga akui menerima pelbagai suntikan sekitar mata dan hidung. Menariknya, semua prosedur itu dilakukan di Thailand dan bukan di Korea Selatan seperti pemahaman kebanyakan orang.
Dia mengambil keputusan mengubah wajahnya selepas diri lamanya, Ratchadapong Prasit, tidak membawa apa-apa kebahagiaan dalam cinta mahupun kerja.
Tambahnya, ungkapan “kecantikan dalaman lebih penting” tidak berhasil bagi dirinya.
Dia pernah memohon kerja di panggung terkenal di Pattaya sebanyak 7 kali, tetapi ditolak.

“Apabila saya mula menjual kasut kepada pelancong asing, saya dapat mengumpul duit banyak dan ambil keputusan menggunakannya untuk pembedahan memperbaharui diri saya,” katanya.
Bagaimanapun, sebelum melakukan prosedur bernilai 300,000 baht (RM37,000), Minho banyak melakukan penyelidikan.
“Apa yang penting ialah mencari hospital bereputasi dengan doktor yang berkemahiran. Mereka yang mahu melakukan pembedahan, kena baca dan fahami segala maklumat dan menghubungi perunding perubatan perofesional sebelum mengambil sebarang keputusan,” nasihat Minho.
Dia yang bersedia dan sanggup melakukan pelbagai perkara kepada dirinya termasuk berpakaian seperti wanita berkata tidak kisah mengenai tanggapan orang lain terhdap dirinya, asalkan dia bahagia.