

Mengambil pendekatan tersebut, pengarah teater Norzizi Zulkifli memberi sentuhan unik dalam pementasan semula teater ‘Mak Yong Titis Sakti’ yang bakal berlangsung pada 27 Jan hingga 4 Feb ini.
Norzizi berkata beliau mengadaptasikan penggunaan bahasa Inggeris yang diambil daripada karya komedi romantis ‘A Midsummer Night’s Dream’, tulisan William Shakespeare sebagai suntikan moden dalam teater Mak Yong itu.
“Niat saya ialah apabila membuat persembahan Mak Yong itu, bukanlah mengubah karya itu sesuka hati tetapi apa yang ingin saya sumbangkan ialah bagaimana Mak Yong itu dihidupkan semula atau untuk memastikan ia terus hidup.
“Jadi perlu ada sedikit suntikan kemodenan ataupun kelainan dalam teater tradisional. Kalau tidak teater itu mungkin boleh mati begitu sahaja,” katanya kepada Bernama pada majlis pratonton Mak Yong Titis Sakti di Pentas Seni, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac).
Norzizi yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam pengarahan teater berkata, beliau berani mengambil risiko dengan mengadun dan mencari keserasian isi kandungan karya Mak Yong dan Shakespeare agar ia tidak lari daripada karya asal.
“Cabaran yang paling susah adalah mengadaptasi skrip kerana karya seperti Mak Yong mempunyai watak dan struktur persembahannya tersendiri dan begitu juga dengan naskah Shakespeare yang mempunyai strukturnya sendiri.
“Saya juga perlu mencari penyesuaian penggunaan bahasa Inggeris dalam teater Mak Yong melalui pelakon supaya mesej penceritaan dapat disampaikan kepada penonton,” katanya sambil menambah proses seperti itu mengambil masa kira-kira 3 bulan untuk direalisasikan.
Berlatar belakangkan suasana mistik hutan yang dihuni pari-pari dan makhluk dari kayangan, Mak Yong Titis Sakti mengisahkan konflik cinta iaitu cinta yang sempurna, cinta terlarang dan cinta yang tidak berbalas.
Dalam kisah teater itu, 2 watak perlu menggunakan bahasa Inggeris yang dipegang oleh Elza Irdalynna Khairil Anwar sebagai putera raja Indera Putra dan Safia Hanifah sebagai putera raja Iskandar Muda.
Elza Irdalynna berkata beliau perlu menghafal skrip dalam bahasa Inggeris, selain harus mengekalkan lenggok Mak Yong.
“Saya mempunyai masa 2 minggu untuk menghafal skrip, dari segi sebutan dan lenggok bahasa juga satu cabaran buat saya walaupun mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam teater,” katanya.
Bagi Safia pula, beliau mempunyai cara tersendiri untuk mengingati skrip bahasa Inggeris sambil perlu menghayati wataknya dalam teater itu.
“Apabila nak menghafal skrip berbentuk puisi naskah Shakespeare agak mudah sedikit, cuma ia agak susah apabila watak yang hendak dilakonkan itu memerlukan intonasi yang berbeza-beza. Jadi saya perlu menulis semula skrip itu untuk mudah diingati sambil perlu mengingati setiap babak lakonan dalam teater ini,” katanya.
Teater berdurasi 2 jam itu turut dibintangi 15 pelakon lain antaranya Zamzuriah Zahari, Asrulfaizal Kamaruzaman, Rosdeen Suboh, Shahanaros Shahruddin, Mardiana Alwi dan Ezdianie Hayatie Omar.
Mak Yong Titis Sakti terbitan The Actors Studio (TAS) Seni Teater Rakyat pertama kali dipentaskan di KLPac pada 2009 dan dipersembahkan semula pada tahun ini sebagai pembuka tirai kepada sambutan ulang tahun TAS ke-30 tahun depan.