
Siri setem pertama untuk tahun 2018 oleh Pos Malaysia menggunakan tema anjing.Pendekatan itu diambil khas untuk menampilkan peranan haiwan tersebut dalam bidang perkhidmatan dan penguatkuasaan di mana ia digambarkan dalam tugas mengesan, mengawal dan memandu.
Justeru ia akan menggunakan tema, “Haiwan Dengan Pelbagai Peranan-Anjing Kerja” dan boleh didapati di pejabat pos seluruh negara mulai esok.
Ketua Unit Setem dan Filateli, Diyana Lean Abdullah mengesahkan setem itu akan mengetengahkan kepentingan anjing melaksana tugas manusia.
“Anjing membantu manusia dalam pelbagai khidmat seperti mencegah jenayah, mengesan bahan tersembunyi dan membantu individu cacat penglihatan.
“Setiap satu berharga 60 sen dan memaparkan lakaran anggota bomba bersama anjing jenis Border Collie, polis dengan anjing jenis Belgian Shepherd serta orang buta dipimpin anjing Golden Retriever,” katanya seperti yang dipetik Harian Metro.
Buat masa ini 200,000 keping setem dengan tema tersebut dicetak untuk setiap reka bentuk setem, 30,000 helai Sampul Surat Hari Pertama (FDC), 25,000 lembaran mini dan 1,800 helai folder.
Kesemua ini tidak akan dicetak semula selepas koleksi tamat, jadi siapa cepat mereka sahaja yang berpeluang mendapatkannya.
Lembaran mini dijual pada harga RM5.30 setiap satu, produk filateli lain seperti FDC dan risalah percuma boleh didapati pada harga 55 sen setiap satu.
Folder pula berharga RM6.35 setiap satu dan set lengkap siri setem ini dijual pada harga RM58.10 setiap satu.
“Kami juga akan terbitkan setem sempena hari perayaan Tahun Baru Cina berjudul ‘Setem Ku Ucapan’, boleh didapati di Pejabat Pos dengan harga RM21.20,” katanya lagi.
Namun, ini bukan kali pertama Pos Malaysia menggunakan haiwan untuk tema setem. Pihaknya pernah mengeluarkan setem bertema “Haiwan Peliharaan Kanak-kanak” dan setem menggunakan imej haiwan pupus sebelum ini.