
Bersedialah untuk kedatangan penyanyi dan chef televisyen terkenal Hong Kong, Nicholas Tse dan chef selebriti Kanada berdarah Itali, David Rocco ke Malaysia pada 23 Januari ini.Mereka berdua akan berganding dalam siri rancangan masakan, “Chef Selebriti: Timur vs Barat”.
Menurut laporan Sin Chew Daily, kedua-dua chef selebriti itu akan menjelajah seluruh Asia bagi penggambaran musim pertama rancangan tersebut yang diterbitkan Fox Networks Group Asia.
Antara lokasi penggambaran dirancang ialah lokasi di bawah Sunway Group, iaitu Sunway City dan The Banjaran Hotsprings Retreat di Ipoh.
Rancangan ini akan meletakkan Tse mewakili Timur dan Rocco mewakili Barat bersaing menyediakan hidangan asli dipilih oleh chef tempatan.
Nicholas Tse adalah penyanyi dan pelakon terkenal di Hong Kong sejak lewat 1990an. Antara filem lakonannya ialah Young and Dangerous: The Prequel (1998), Time and Tide (2000), New Police Story (2004), Jade Goddess of Mercy (2003), A Chinese Tall Story (2005), McDull, The Alumni (2006) dan banyak lagi.
Rocco pula terkenal mengacara rancangan masakan David Rocco’s Dolce Vita dan bukunya David Rocco’s Dolce Vita, Made in Italy, and David Rocco’s Dolce Famiglia.
Pada tahun 2013, dia melawat India untuk penggambaran 2 tahun rancangan David Rocco’s Dolce India. Rancangan itu sangat berjaya sehingga dimainkan di lebih 150 buah negara menerusi saluran National Geographic Network.