
Usia tentu sekali bukan penghalang bagi kebanyakan insan yang berjuang semampu mungkin untuk merealisasikan impian mahupun menempa nama dalam sesuatu lapangan.Sama juga bagi warga emas, Staf Sarjan (B) Nasir Abas dari Kedah, walaupun usianya menjangkaui 63 tahun tetapi beliau terus menyertai pelbagai larian jarak jauh.
Antara larian jarak jauh inisiatif sendiri dan yang paling dikenali ialah larian perlawanan akhir Piala Malaysia, dari Alor Setar ke Shah Alam dan pulang.
Menurut laporan Harian Metro, Nasir berlari dari Stadium Darulaman di Alor Setar ke Stadium Shah Alam, Selangor sebelum pulang semula ke Alor Setar meliputi jarak 436km sejak 3 musim Kedah memasuki acara final Piala Malaysia bermula 2015.
Bagaimanapun, bagi pesara tentera yang pernah berkhidmat di Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (JLJ) itu, ia bukanlah larian pertama mahupun terawal kerana beliau sudah melibatkan diri dalam larian maraton sejak 1997.
Bezanya, larian sempena Piala Malaysia melibatkan negeri Jelapang Padi yang mana lebih terkenal dan dekat di hati masyarakat setempat biarpun hanya sekali (2016), Nasir pulang dengan senyuman kemenangan negerinya.
“Saya mula berlari jarak jauh selepas Kedah masuk final Piala Malaysia pada 2015. Namun bergiat dalam larian jarak jauh ini 20 tahun lalu iaitu pada 1997 dan ketika itu saya masih lagi berkhidmat dengan ATM.
“Minat terhadap larian jarak jauh dikembangkan dalam acara seperti Larian Bendera bersempena bulan kemerdekaan, Larian Baton dan Larian Obor sempena Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA 2001 dan 2017 serta Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Pulau Pinang (2000), Negeri Sembilan (2004) dan Kedah (2006)” katanya petik akhbar Harian Metro.
Lebih mengujakan ialah kemampuan warga emas ini melakukan larian bersempena bulan kemerdekaan bermula dari 1 Ogos hingga 30 Ogos 2002, melibatkan larian dari Alor Setar ke Rantau Panjang, Kelantan kemudian ke Johor Bahru dan pulang semula ke Alor Setar dengan jarak sejauh 1,754 km.
Penglibatannya itu juga diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records pada tahun itu.
“Tahun berikutnya saya melakukan larian Solo Borneo Run sejauh 2,068km dari Tawau ke Kuching selama 53 hari tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya yang turut berkongsi cabaran merentasi jalan bergunung, berbukit dan merbahaya.
Bapa 4 orang anak ini diharap terus mencetus semangat kepada belia khususnya mereka yang berminat dalam acara larian.