
Masih segar di minda, apabila 10 tahun dahulu ketika saya pertama kali bertemu dan menemuramah wanita kecil molek bernama Geetha Ammasee, seorang DJ stesen radio THR Ragaa.Selepas itu, kami sering berjumpa tetapi pada pertemuan singkat dan tidak banyak yang diperkatakan kecuali berkaitan kerja atau temuramah lain.
Geetha ternyata banyak berubah, perubahan pada fizikal dirinya berlaku seolah-olah masa diundur semula, dia kelihatan jauh lebih muda dari dirinya 10 tahun lalu.
Tetapi dari segi aspek lain dia menjadi lebih matang dan yang pasti, lebih baik. Wanita dari Taiping itu menjadi wanita Malaysia pertama yang diberi keutamaan berlakon sebagai watak utama dalam filem Tamil di India.
Daripada pengacara TV tempatan kepada penerbit, heroin Kollywood
Impian memegang watak utama dalam filem Kollywood oleh peserta industri filem tempatan bukan mudah, tetapi Geetha berjaya membuka pintu yang selama ini ditutup rapat. Mungkin selepas ini kita boleh melihat lebih ramai bakat tempatan di layar perak membawa watak utama atau penting.
Walhal, itu juga harapan Geetha ketika ditemui FMT Ohsem baru-baru ini.
Perjalanan hidupnya dalam arena hiburan tempatan seolah direstui. Geetha mula berjinak di televisyen sekadar cuba-cuba sebagai pengacara. Dia kemudian beralih angin ke stesen radio sehinggalah ke hari ini dia tidak mahu beredar dari konti yang mengajar erti kehidupan dunia hiburan dan terus kekal merapatkan dirinya dengan peminatnya.
Dia tidak suka duduk diam di studio, maka sambil berekspresi di corong radio, wanita yang dijulang dengan nama ”Punnagai Poo” Geetha ini, turut mencuba nasib dalam bidang perfileman dengan memilih menjadi penerbit filem Tamil di Kollywood, Tamil Nadu, India.
Umpama mengambil risiko besar, mungkin kerana restu orang tua, perjalanannya menjadi lancar apabila satu persatu filem yang diterbitkan itu berjaya, blockbuster hit atau pulangan yang seadanya baik.
“Percubaan pertama sama ialah menerbit 2 filem tempatan, tetapi saya rugi besar apabila pengarahnya lari. Jadi saya lepaskan niat itu. Namun apabila rakan saya di Tamil Nadu, juga seorang pengarah muda yang mula menapak nama, Vishnu Varthan mendekati saya dengan jalan cerita saya tawarkan diri menjadi penerbit,” kata Geetha mengenang langkah pertamanya ke Chennai, ibu kota Kollywood.

Dari situ, filem pertamanya Arinthum Ariyamalum (2005), menerima sambutan luar jangkaan dengan 175 hari tayangan di pawagam. Bergerak pada momentum itu Geetha terus menerbit filem seterusnya Kundakka Mandakka; Pattiyal; Narthagi, sebuah doku-drama mengenai transgender serta Oru Nadigaiyin Vaakkumoolam sebuah filem mengenai liku gelap perjalanan hidup seorang pelakon wanita.
Menariknya, Geetha turut berlakon watak kecil dan penting dalam 2 filem terakhir sehinggalah mengambil cabaran lebih besar sebagai heroin dalam filem Tamil, Kaaval yang turut diterbitnya. Seterusnya, dalam filem terbaru filem genre seram-komedi, Sangu Chakkaram yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang.
Watak heroin pertama Geetha bagaimanapun diserlahkan dalam filem hit komersial tempatan Maindhan (2014) terbitan Astro Shaw diarahkan CK Kumeresan ”Gerak Khas”.
“Pada kebanyakan masa, peluang itu datang pada diri saya, jadi saya berusaha untuk menggunakannya sebaik mungkin. Mujur, setakat itu semuanya berjalan baik,” katanya.
Sebagai mengiktiraf lakonannya memegang watak ‘heroin’ dalam filem Kaaval dan terbaru, Sangu Chakkaram, Geetha turut dirai dengan anugerah pelakon Malaysia pertama berlakon dalam watak utama/heroin di India oleh Malaysian Book of Records (MBR).
“Memang bukan mudah untuk berlakon di sana kerana negara itu sendiri dilimpahi dengan bakat-bakat luar biasa dalam bidang lakonan mahupun krew teknikal. Tambahan pula jarak dan perjalanan lama memisahkan kita daripada kekal dalam pasaran filem India.
“Bagaimanapun apabila saya didekati untuk melakonkan watak utama, saya tidak mahu menolak. Ia peluang keemasan bagi kita, selaku artis Malaysia,” katanya yang pernah membawa rakyat Malaysia untuk berlakon watak sampingan dalam filemnya.

Kini Geetha sedang menanti filem Tamil tempatan yang dilakonkan bersama-sama geng RJ radionya, Acham Thavir.
Berhubung kritikan dan ”lamaran” diterima dari penonton India, Geetha akui ia menunjukkan dirinya diterima penonton dan mereka sebenarnya menghargai keberadaan dirinya dalam industri itu.
“Bila saya menerima pujian, maka saya juga kena terima kritikan. Dan kritikan membina membuatkan saya lebih baik, manakala kritikan berunsur kecaman mematangkan saya,” katanya ringkas.
Mungkin mantera itu yang terus memperbaiki wanita ini dalam bidang lakonan dan menempa nama baik dalam industri Kollywood khususnya bagi filem Sangu Chakkaram yang terus menerima review positif di India.
Geetha membawa sebagai watak utama dalam filem itu iaitu sebagai seorang ibu kepadakenak-kanak perempuan dan hantu.
“Dua tahun lepas pengarah filem Sangu Chakkaram menghubungi saya untuk melakonkan watak hantu dalam filem itu. Saya ke India selepas terima tawaran itu. Saya pun tak pernah tanya mengapa terpilih.
“Saya cuma diberitahu, mereka perlukan seorang pelakon dengan ekspresi mata yang bagus. Mungkin kerana mata bulat saya,” katanya sambil ketawa.
Apa pun, Geetha terus membuktikan kemampuannya apabila filem seram komedi itu bukan dibikin secara calang-calang malah membabitkan banyak elemen aksi lagak ngeri dibantu elemen grafik.
“Saya puas hati kerana dapat menyiapkan filem itu, dan ia sedang bermain dengan sambutan luar jangkaan di India. Di Malaysia ia masih ditayangkan dan saya juga cuba mempromosi semungkin boleh,” katanya.