Siap siaga New Delhi hadapi pemimpin negara Asean

Siap siaga New Delhi hadapi pemimpin negara Asean

Memperketat tahap keselamatan, berdepan kesesakan, penutupan ruang udara dan pencemaran antara isu yang diketengah dalam menghadapi pemimpin Asean.

tpp-asean-danang
fmt-ohsem-inside-article1Persiapan sedang rancak dibuat di New Delhi, ibu negara India untuk menyambut kedatangan pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada penghujung Januari ini.

Ketua negara dan kerajaan Asean itu hadir untuk menyertai Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India yang dijadual berlangsung di New Delhi pada 25 Jan dan sudah tentunya ia melibatkan langkah-langkah keselamatan yang ketat.

Pemimpin Asean itu juga dijangka menyaksikan sambutan perarakan Hari Republik pada 26 Jan yang menandakan hari India mendokong perlembagaan baru negara ini pada 1950.

Perarakan tahunan itu adalah hari yang bersejarah untuk New Delhi. Orang ramai serta pegawai kerajaan dijangka membanjiri kawasan sambutan acara berkenaan untuk melihat pelbagai acara perbarisan termasuk oleh anggota tentera India yang akan mempamerkan kekuatan pasukan tentera serta pelbagai kumpulan kebudayaan dari seluruh benua itu.

Jutaan lagi rakyat dijangka menonton sambutan Hari Republik yang dipancarkan menerusi kaca televisyen.

Sambutan tahun ini dilihat lebih istimewa untuk Delhi kerana buat pertama kalinya begitu ramai ketua kerajaan akan hadir di Hari Republik ini sebagai tetamu kenamaan.

Beberapa acara yang berkait dengan sidang kemuncak Asean-India dijangka turut diadakan. Ratusan pegawai asing, ahli perniagaan serta wartawan dijangka menyertai acara berkenaan.

Ketua kerajaan Asean akan turut mengadakan mesyuarat berasingan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi.

New Delhi mempunyai pengalaman menjadi tuan rumah beberapa acara besar tetapi ibu negara yang mempunyai 20 juta penduduk ini masih perlu memastikan kawalan keselamatan yang ketat tidak diambil mudah.

India yang sentiasa mahu menjaga imej baiknya sudah tentu mahu memastikan tetamu asingnya kembali ke negara masing-masing dengan membawa kenangan manis.

Leftenan Gabenor Delhi, Anil Baijal minggu lepas meninjau persiapan untuk sidang kemuncak Asean-India itu dan dilaporkan meminta pegawai yang berkeaan memastikan kawasan sekitar Red Fort yang bersejarah itu diperindahkan.

Pihak berkuasa juga diberitahu supaya menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi di sekitar tapak warisan memandangkan “kawasan berkenaan akan menjadi pusat tarikan untuk tetamu antarabangsa.”

Badan-badan perbandaran juga diminta menjalankan “kerja-kerja pembersihan serta kecantikan” di lokasi utama.

Orang ramai menjangka akan berlaku kesesakan lalu lintas dan pihak berkuasa membuat lencongan trafik. Penduduk Delhi sudah biasa dengan sekatan jalan raya untuk latihan Hari Republik dan bagi memastikan keselamatan laluan perarakan.

Bagaimanapun, tahun ini dengan kehadiran ketua kerajaan asing, kesesakan yang lebih teruk boleh dijangka berlaku.

“Mungkin pergerakan trafik di satu-satu jalan tertentu akan tersekat 4 atau 5 kali. Keadaan itu boleh memberi kesan kepada keseluruhan pergerakan lalu lintas, “ ketua polis trafik, Dependra Pathak dipetik sebagai berkata.

Trafik udara juga dijangka menerima kesan daripada persiapan Hari Republik dengan ratusan penerbangan domestik mungkin dibatalkan untuk latihan lintas hormat pesawat tentera udara India.

“Menjadual semulakan penerbangan bukan lagi pilihan kerana kami tidak mempunyai ruang kosong. Jika kami cuba melakukannya, ia akan hanya mengganggu jadual keseluruhan hari,“ kata seorang pegawai lapangan terbang Delhi, merujuk kepada penutupan ruang udara selama satu jam hingga 90 minit setiap hari.

Satu masalah yang mungkin tidak ada penyelesaiannya ialah pencemaran udara yang teruk di Delhi.

Ketua kerajaan Asean yang biasa menghirup udara segar akan berdepan dengan ujian paru-paru ketika menyaksikan perarakan Hari Republik yang diadakan di lapangan terbuka.

Kualiti udara Delhi merosot jika berlaku cuaca berkabus. Diharapkan ruang udara Delhi akan dihindari pencemaran pada acara perarakan Hari Republik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.