
Bukan mudah untuk seseorang membuat persediaan selepas kematian terutamanya upacara pengebumian.Seorang lelaki dari Wisconsin, Amerika Syarikat ini ada persediaan yang unik di mana dia mahu dirinya dan ahli keluarga dibekukan supaya dapat dihidupkan semula suatu hari nanti, apabila sains dan teknologi mampu berbuat demikian.
Pelik bukan?
Dennis Kowalski, 49, sanggup membayar AS$140,000 (RM570,585) kepada syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu, Institut Cryonics untuk dia, isteri dan 3 anak lelakinya.
Dia yang merupakan paramedik dan presiden Institut Cryonics yakin perkembangan sains dan teknologi suatu hari nanti mampu menghidupkan semula manusia yang sudah meninggal dunia.
Institut Cryonics mengawet tubuh badan dalam suhu rendah selepas kematian dengan harapan ia boleh diguna semula pada masa depan.
Proses tersebut dilakukan serta-merta selepas seseorang itu diiktiraf mati secara sah. Tubuh badan disejukkan dan dialihkan ke ibu pejabat Institut Cryonics di Michigan.
Di sana, darah dalam tubuh digantikan dengan solusi anti-beku dan disimpan dalam bilik penyejuk berudara.
Bagi bayaran $28,000 (RM114,058) mayat seseorang dialihkan dalam bekas storan khas untuk disimpan sehingga teknologi hidupkan semula ditemui.
“Saya mendaftar kira-kira 20 tahun lalu selepas mendapat tahu mengenainya ketika masih remaja lagi. Selain diri sendiri, isteri serta anak juga sudah mendaftar.
“Walaupun mereka (anak) masih muda dan tidak memikirkan lagi mengenai kematian, tetapi kita tidak boleh ambil ringan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam hidup ini,” katanya.
Sehingga ke hari ini, syarikat itu menyimpan 160 mayat manusia dan 100 bangkai haiwan kesayangan yang dibekukan.
Syarikat itu menjadi perhatian ramai di AS mahupun seluruh dunia tahun lalu selepas seorang pelajar Britain yang juga pesakit kanser berusia 14 tahun menang kes dirinya untuk dibekukan.
Dia yang hanya dikenali sebagai JS membawa kes ke mahkamah untuk membolehkan mayatnya disimpan di pusat terbabit.
Buat masa ini, pakar dan sainstis akui belum ada teknologi yang mampu membawa balik nyawa seseorang yang sudah meninggal dunia.