
Berita mengenai keadaan kesihatan penyanyi, Elyana yang kini menghidapi kanser Limfoma Tahap 4 pastinya mencairkan hati setiap orang.Ekoran pendedahan itu baru-baru ini menerusi rancangan realiti GegarVaganza, Elyana terus dihujani pelbagai ucapan supaya dia kembali sembuh dan sihat meneruskan kerjaya dan impian dalam bidang nyanyian.
Tidak kurang, rakan-rakan artis yang turut bersama memberi sokongan kepada Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal.
Sejak penyakitnya dilaporkan pada 27 November lalu, Elyana dilapor menerima ramai yang pengikut di laman sosial namun tidak ketiggalan mereka yang menyerangnya secara tidak berhati perut.
Ini kerana dalam satu muat naik status Instagram semalam, wanita berusia 30 tahun meluahkan kekesalan terhadap sesetengah pihak yang masih tidak memahami kesukaran yang dilalui akibat penyakitnya itu.
Elyana bagaimanapun tidak menujukan status itu kepada sesiapa secara khusus. Status itu disertakan dengan gambar dia berada di atas katil hospital mendapatkan rawatan.
Tulisnya: “Terima kasih kerana menghina wanita ini. Terima kasih juga kepada yang mendoakan dia cepat mati.Terima kasih juga yang mengambil kesempatan. Terima kasih kerana menuduh saya inginkan perhatian. Terima kasih juga kepada yang menuduh tanpa bertanya cerita sebenar. Terima kasih kepada anda yang mengatakan saya berbohong. Terima kasih untuk anda yang gembira apabila saya sering dimalukan di khalayak ramai.
“Terima kasih semua.. Tak apa lah..mungkin anda belum lagi merasa apa yang saya rasa selama ini. Saya juga sama seperti anda semua manusia biasa, tidak kuat.. punya keinginan, punya cita-cita, ingin merasa sihat tanpa menahan sakit. Tapi ini takdir saya. Saya terima.
“Kita semua akan mati. Bukan pesakit Kanser sahaja. Saya harap kita jaga amalan kita sendiri. Jika tidak ada apa-apa yang baik untuk dikatakan, ditulis dan di lakukan, lebih baik diam.”
Ia diakhiri dengan kenyataan, “Saya Elyana Pesakit Kanser Stage 4????”.
Susulan status itu, ramai pengikut Instagram Elyana memesan supaya kekal kuat menghadapi hari-hari mendatang dan tidak menghiraukan mereka yang bersikap menghina.
https://www.instagram.com/p/BcmbXTcBXVD/?hl=en&taken-by=elyanaofficial