Polis Mesir ada tugas lebih berat, tangkap penjual bola Sisi

Polis Mesir ada tugas lebih berat, tangkap penjual bola Sisi

Kementerian dalam negerinya memuatnaik foto menunjukkan penjual jalanan ditangkap bersama beberapa beg guni permainan Sisi's ball pelbagai warna.

Polis-Mesir-tangkap-penjual-bola-Sisi-flag
fmt-ohsem-inside-article1Polis Mesir kini berjuang sekeras-kerasnya menentang penjual alat permainan kanak-kanak.

Seramai 41 orang penjual alat permainan jalanan akhirnya ditahan kerana menjual Sisi’s balls, semuanya kerana nama permainan yang seolah menyindir Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

“Negara ini mempunyai maruah yang harus dilindungi,” petik kenyataan seorang jurucakap polis yang enggan dikenali.

Malah kementerian dalam negerinya pula memuatnaik sebuah foto yang menunjukkan penjual jalanan yang ditangkap bersama beberapa beg guni permainan Sisi’s balls pelbagai warna.

Gambar yang tular di media sosial itu bagaimanapun diturunkan semula selepas menerima kecaman netizen, khususnya rakyat negara itu.

“Berjuang kuat terhadap pengganas, pihak berkuasa menahan beberapa pengganas yang mempromosi Sisi’s balls. Panjang umur pasukan polis yang tidak cekap,” tulis seorang netizen.

Seorang pekedai menjual alat permainan itu pula berkata, “Ia hanya alat permainan dan bukan risalah politik.”

Sisi’s balls ialah sejenis alat permainan berbentuk 2 bebola diikat pada sejenis tali berbunyi ”klak” apabila dipukul sesama bola.

Ia pernah popular pada era 60 an dan 70an sehingga diharamkan kerana boleh mencederakan kanak-kanak.

Bagaimanapun permainan itu kembali ke pasaran dan menerima sambutan luar biasa daripada kanak-kanak.

Oleh kerana namanya, Sisi’s balls, ia menjadi lebih popular khususnya sebagai bahan jenaka dalam kalangan netizen.

Seorang penjual, Ahmed memberitahu akhbar tempatan, dia menjual lebih 3,000 alat permainan itu dan menempah 2,000 lagi sejak sesi sekolah dibuka semula pada September lalu.

“Ia sangat murah dan mempuyai permintaan tinggi daripada pelajar sekolah,” katanya yang menjual permainan itu pada harga 5 pound Mesir iaitu kira-kira AS$0.30 (RM1.23).

Ahmed menutup perniagaan pada hari serbuan, menyebabkan dia tidak ditangkap tetapi resah memikirkan stok alat permainan yang akan sampai dari China tidak lama lagi.

“Kalau ia dilarang, saya tidak tahu apa yang harus dilakukan terhadap permainan ini. Mungkin saya kena bakar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.