
Orang ramai di India sering menerima pelbagai teks pesanan telefon mudah alih supaya mewujudkan pautan akaun bank mereka dengan kad pengenalan biometrik 12 digit.Jika pesanan itu bukan daripada pihak bank, maka ia pasti daripada pembekal perkhidmatan telekomunikasi yang mengingatkan para pelanggan agar memautkan nombor telefon mudah alih kepada pengenalan (ID) unik dikenali “Aadhaar”.
Sekiranya mereka memberikan nombor Aadhaar kepada pihak bank dan operator telefo mudah alih, maka kemungkinan juga pembekal perkhidmatan lain yang meminta nombor ID mereka.
Kerajaan mahukan lebih daripada 1.3 bilion penduduk India supaya memiliki Aadhaar (bermaksud “asas” dalam Bahasa Hindi), menjadikannya skim kad pengenalan terbesar di dunia. Pangkalan data itu diuruskan oleh Unique Identification Authority of India (UIDAI) dan pada awal 2017, seramai 1.11 bilion mendaftar di bawah skim ini.
Ramai juga yang enggan berkongsi maklumat peribadi mereka — butiran asas peribadi bersekali cap jari dan imbasan iris (iris scan) — untuk Aadhaar, yang mana dianggap sebagai satu program pengawasan berdasarkan jumlah maklumat yang dikumpulkan dalam sistem repositori pusat.
Memandangkan pembekal perkhidmatan utama di sektor awam dan swasta menegaskan agar pelanggan memiliki kad Aadhaar, orang ramai tidak mempunyai pilihan.
Orang ramai yang mahu membuat transaksi kewangan melebihi 50,000 Rupee (kira-kira RM3,000) perlu menunjukkan kad Aadhaar mereka.
ID berkenaan juga dipautkan kepada kad nombor tetap (PAN) yang dikeluarkan oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri dan akan digunakan untuk memfailkan urusan cukai.
Kini sudah menjadi kebiasaan bagi hospital, sekolah, utiliti, majikan dan pelbagai pembekal perkhidmatan untuk meminta Aadhaar individu sebagai bukti identiti mereka.
Mahkamah Agung pada bulan Ogos mengisytiharkan hak privasi adalah hak asas. Keputusan mahkamah itu tidak secara langsung menyebut Aadhaar tetapi dianggap penting berikutan penggunaan ID biometrik yang semakin meluas, malah merangkumi lebih banyak aspek kehidupan rakyat.
Rakyat India gembira dengan keputusan itu, dan berharap ia akan melindungi mereka daripada sebarang pelanggaran privasi mereka.
“Hak privasi adalah sebahagian daripada Perkara 21 (Perlembagaan India) yang melindungi kehidupan dan kebebasan. Rakyat bimbang data yang dikumpul dan diperoleh di bawah Aadhaar oleh kerajaan disalahgunakan dan adalah menjadi tugas kerajaan untuk meyakinkan warganegara data itu selamat dan kerahsiaannya tidak akan dikompromi di mana-mana peringkat,” kata peguam yang berpangkalan di Mumbai, Tanveer Nizam.
S. Sethu Mahendran, seorang peguam Mahkamah Agung, berkata keputusan mahkamah itu akan memberi kesan “yang lebih mendalam” terhadap bagaimana data peribadi dikumpul dan diurus oleh kerajaan.
Apa yang penting adalah pelaksanaan keputusan Mahkamah Agung dengan menyeluruh, katanya, sambil menambah: “Kebimbangan saya adalah bagaimana negara akan melaksanakannya, mereka akan dapati ada kelemahan.”
Menurut laporan, pemilikan ID adalah mandatori untuk menerima pelbagai skim kebajikan sosial. Ia diperlukan untuk mendaftar kelahiran, kematian, perkahwinan, dan untuk memperoleh pasport, lesen memandu atau kad pengundi. Terdapat rancangan untuk menyah aktifkan semua nombor telefon mudah alih yang tidak disahkan dengan Aadhaar.
“Itu sangat keterlaluan, semuanya dipautkan,” kata Mahendran. Seorang gadis berusia 11 tahun membunuh diri pada September di sebuah kampung di negeri Jharkhand setelah pihak pengurusan berkaitan didakwa memberhentikan subsidi bijirin makanan kerana kad bekalan makanan keluarganya tidak dipautkan dengan kad Aadhaar.
UIDAI berkata, penggunaan Aadhaar mengurangkan kos untuk mengenalpasti identiti orang ramai selain menawarkan ketelusan dalam melaksanakan skim kebajikan dan pengagihan subsidi.
Antara kritik mengenai sistem itu adalah kebimbangan jika berlaku kebocoran data atau penyalahgunaan maklumat. Terdapat beberapa kes pelik dan lucu yang mendedahkan kelemahan Aadhaar. Pada 2015, seorang lelaki ditangkap kerana memperoleh kad Aadhaar untuk anjingnya dengan maklumat seperti nama, gambar dan tarikh lahir.
WikiLeaks baru-baru ini menerbitkan laporan yang mendakwa Central Intelligence Agency (CIA) Amerika menggunakan alat pengintipan yang dibangunkan oleh sebuah syarikatnya untuk mendapatkan data Aadhaar. Pihak kerajaan memberi jaminan pihaknya sangat berwaspada terhadap perlindungan privasi dan keselamatan pangkalan data serta menolak kemungkinan berlaku sebarang kebocoran data.
“UIDAI menggunakan salah satu teknologi kerahsiaan yang paling maju di dunia dalam penghantaran dan penyimpanan data. Hasilnya, dalam tempoh sejak 7 tahun yang lepas, tidak ada laporan penyalah gunaan atau kebocoran data penduduk daripada UIDAI,” kata agensi kerajaan itu pada Mac.