
Seorang ibu tidak mengenali anaknya sendiri selepas dia melalui sesi pembedahan kosmetik yang mengubah terus penampilan wajahnya.Pekerja kilang dari Thailand, Noppajit Monlin, menjalani siri pembedahan plastik tersebut menerusi program ”Let Me In Thailand”, rancangan televisyen popular Korea, edisi Thailand.
Lelaki berusia 22 tahun itu berdepan masalah penampilan kerana rahangnya senget, kulit muka berjerawat penuh dan jeragat selain berminyak dan mata sepet.
Malah keadaan rahangnya juga menyebabkan dia tidak dapat mengunyah dengan baik. Justeru program tersebut menawarkan Noppajit untuk melalui “make over” menerusi pembedahan pembetulan rahang, dahi dan kelopak mata di Korea Selatan.
Tambahan itu, Noppajit juga diberikan suntikan botox kelenjar air liur untuk memperbaiki lelehan berlebihan serta rawatan kulit untuk menghilangkan kecacatannya pada permukaan wajahnya itu.
Lelaki yang sering mengasingkan diri daripada rakan sekerjanya termasuk sentiasa makan bersendirian ketika waktu rehat, kini kelihatan seperti model ala Korea.
Noppajit akui impiannya menjadi seorang lelaki baharu dengan fizikal yang berbeza dengan dirinya sudah tercapai.
Satu klip video merakam detik Noppajit bertemu ibunya dikongsi di mana wanita itu langsung tidak dapat mengecam lelaki itu sehinggalah dia terpaksa memeriksa parut di tangan anaknya bagi memastikan lelaki itu adalah Noppajit.
“Saya sangat merinduinya, ini bukan lakonan,” kata ibu Monlin sambil menangis kepada kamera menceritakan mengenai anaknya.
“Ibu masih ingat saya? Pandanglah saya,” kata Monlin.
“Kamukah ini? Betulkah ini kamu?,” tanya ibunya.
Bukan itu sahaja, Noppajit juga berjanji akan menjadi lelaki yang sama dengan terus mengekalkan hubungan cintanya bersama wanita transgender yang dikenalinya sejak 3 tahun dulu.