
Pasangan suami isteri harus mengutamakan beberapa perkara dalam mengukuhkan perhubungan mereka. Antaranya dengan memupuk rasa saling percaya, komunikasi dan pastinya, cinta atau kasih sayang.
Tetapi dalam realiti kehidupan sebenar ia juga berkait rapat dengan memenuhi kepentingan hidup dengan mementingkan soal anak, kewangan, masa depan, serta rohani keluarga yang dibina.
Namun itu semua gambaran besar dalam membina sebuah hubungan dan keluarga.
Menurut seorang pakar hubungan dan kekeluargaan dari New York, Irina Firstein, banyak perbuatan kecil dalam rutin harian yang mampu memberi pengaruh besar pada sesuatu hubungan istimewa.
Di bawah kami senaraikan beberapa tips mudah mengeratkan lagi keintiman suami isteri.
1. Ciuman dan sentuhan
Ia tidaklah bermakna perbuatan itu harus berakhir dengan hubungan kelamin. Perlakuan ini boleh berlaku secara spontan untuk menunjukkan kasih sayang. “Sentuhan sensual tidak semestinya berakhir dengan kegiatan seks, sentuhan di sini adalah sejenis sokongan yang menyenangkan,” kata Irina.
2. Bukan sekadar ‘hi’ dan ‘bye’
Hubungan suami isteri bukan sekadar mengungkapkan “hi” bila berjumpa dan “bye” bila berpisah. Tunjukkan gerak badan lebih istimewa. Misalnya peluk pasangan anda sebelum ke kerja atau apabila pulang ke rumah. “Ucapkan salam dan saling berpelukan. Perkara seperti ini boleh ‘mengikat’ pasangan untuk rasa dicintai dan berasa kewujudan mereka penting,” tambah Irina.
3. Jauhkan gajet
Mungkin sesuatu yang sukar apatah lagi gajet menjadi sebahagian keperluan tugas. Ingat, pasangan anda lebih penting daripada siapa sahaja di alam maya. Gunakan masa anda bersama secara berkualiti dan tunjukkan kepentingan itu. “Anda harus berada di sisi pasangan anda secara ‘real’ dan bukan ala kadar,” pesan Irina.
4. Kenang-kenangan
Setiap perkara atau insiden harus direkodkan supaya ia akan menjadi kenangan terindah bersama. Baik kejadian kelakar, romantis, filem yang ditonton bersama, bau minyak wangi, atau apa sahaja yang saling menarik perhatian untuk menjadi kenangan berdua.
5. Beriadah, berekreasi dan bersukan bersama
Anda juga mahu menjadi pasangan yang sihat bukan? Walaupun sekadar berjalan bersama-sama di awal pagi, sudah cukup bagus untuk hubungan anda itu. Kalau boleh bersukan atau berekreasi bersama itu lebih baik. Journal of Personal Psychology juga menyatakan pasangan yang berpeluh bersama akan kekal bersama.
6. Tidur bersama
Sekali lagi, ini bukanlah bermakna ia perlu membabitkan aktiviti seks. Pada kebanyakan masa seseorang daripada pasangan terbiasa tidur di atas sofa kerana menonton televisyen sehingga larut malam sementara seorang lagi tidur lebih awal di bilik. Sebaiknya rancang waktu tidur dan masuk tidur bersama. Kajian menunjukkan keintiman wujud apabila pasangan mempunyai jadual tidur sama. Jangan lupa memberi ciuman selamat malam, tidur bersentuhan atau berpelukan.
7. Ketawa bersama-sama
Mungkin kedengaran tidak masuk akal tetapi secara psikologi, ketawa bersama boleh memberi kepuasan dan kebebasan kepada pasangan. Kajian University of Kansas mendapati semakin kerap seseorang wanita ketawa ketika berada di sisi seorang lelaki, semakin tinggi kemungkinan dia menjalin hubungan romantik. Apa lagi, tonton Youtube dan komedi-komedi stand up dan ketawa bersama-sama dengan pasangan anda.
8. Kirim pesanan kejutan
Selalukah anda hantar pesanan? Kalau biasanya ia mengenai rutin rumah tangga seperti, “Beli susu waktu balik”, “Siapa ambil anak petang ini”, “Belikan surat khabar” dan sebagainya, sesekali ubahlah gayanya. Beri kejutan kepada pasangan anda menerusi mesej berunsur kasih sayang. Jangan risau, tak perlu kirim puisi atau sajak, hanya ucapkan perasaan cinta anda kepadanya pun sudah memadai. Tips lain ialah puji kecantikan, masakan, pakaian yang dipakai dan sebagainya.