Aerobik mampu perlahankan penuaan otak

Aerobik mampu perlahankan penuaan otak

Kualiti atau kemampuan operasi otak menurun seiring usia, selepas usia 40 tahun, fungsi otak berkurangan 5% setiap dekad.

aerobik
Akhir-akhir ini isu berkaitan kesihatan banyak dikaitkan dengan cara hidup. Maklumlah, bekerja di pejabat atau mana-mana kedudukan yang selesa, kurang berjalan, memudahkan penyakit menyelinap masuk.

Oleh itu, kita sentiasa diingatkan mengamalkan gaya hidup sihat, khususnya mengamalkan senaman 3 kali seminggu, 20 minit setiap kali. Bukan itu sahaja, akhir-akhir ini pelbagai acara seperti larian, aerobik, zumba, yoga dan sebagainya dianjurkan oleh pelbagai pihak dalam menyokong seruan gaya hidup sihat.

Sambil menyertai acara sukan ini, sambil itu kita menjaga stamina, tingkatkan metabolisme dan kesihatan secara keseluruhan.

Satu kajian di Australia membuktikan sukan berkaitan olahraga termasuk aerobik bukan sahaja baik untuk kesihatan malah turut meningkatkan kecerdasan otak.

Kajian National Institute of Complementary Medicine Australia, Western Sydney University serta Division of Psychology and Mental Health University of Manchester di United Kingdom mengkaji kesan aerobik pada bahagian hipokampus iaitu bahagian memori dan fungsi lain yang berkaitan.

Hakikatnya, kualiti atau kemampuan operasi otak menurun seiring usia. Kajian membuktikan selepas usia 40 tahun, fungsi otak berkurangan 5% setiap dekad.

Oleh itu, penyelidik mengkaji 737 responden dan mendapatkan keputusan kemampuan otak mereka sebelum dan selepas melakukan aerobik.

Kajian itu mengambil kira pelbagai aspek antaranya kesihatan, gangguan kognitif ringan (alzheimer) dan mereka yang didiagnos dengan penyakit mental (depresi dan skizofrenia).

Responden yang mengambil bahagian pula terdiri daripada usia 24 hingga 76 tahun, puratanya berusia 66 tahun.

Selain senam aerobik, responden turut melakukan acara olahraga lain seperti stationary cycling, berjalan, dan lari treadmill. Latihannya dipelbagaikan bagi tempoh 3 hingga 24 bulan dengan kekerapan 2 hingga 5 sesi setiap minggu.

Hasil kajian yang disiarkan dalam jurnal NeuroImage menunjukkan penglibatan dalam olahraga secara signifikan meningkatkan ukuran hipokampus bahagian otak kiri manusia.

Malah, ia menjadi kajian paling tepat untuk membuktikan manfaat senaman terhadap kesihatan otak.

“Ketika terlibat dalam sukan olahraga, otak menghasilkan zat kimia dikenali sebagai brain-derived neurotrophic factor (BDNF). Zat ini mencegah penurunan kualiti otak yang dikaitkan dengan peningkatan usia,” kata ketua penyelidik, Joseph Firth seperti yang dipetik dari laman Science Daily.

Menurut Firth, datanya menunjukkan peningkatan ukuran hipokampus yang mana sekali gus melambatkan proses penurunan kualiti otak.

Ia juga membantu mencegah gangguan neurodegeneratif seperti alzheimer dan demensia.

Jelas, senaman terbukti sebagai kaedah penjagaan kesihatan mental kerana menjaga ukuran otak dan bermanfaat di masa tua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.