
Seorang pemilik haiwan peliharaan eksotik memasang iklan di sekitar Kuala Lumpur selepas kura-kura peliharaannya hilang Jumaat lalu.Pemiliknya, Deena Azmi, 25, dikatakan memasang 6 iklan ‘bunting’ dan 15 poster memaklumkan kehilangan kura-kuranya bernama Tomato di sepanjang jalan sekitar Keramat.
Gambar poster dan ‘bunting’ yang kini viral di laman sosial menyentuh hati netizen selain penduduk sekitar yang akui ia menunjukkan kasih sayang pemilik terhadap kura-kura itu.
Iklan dipasang sejak Selasa lepas itu disangka gurauan pada awalnya, tetapi sangkaan itu berubah selepas membaca keterangan diberikan dan perkongsian dalam laman sosial.
“Hello setiawangsa and keramat friends, kalau ada nampak kura-kura around area keramat/ setiawangsa. Kura kura sebesar saiz bola sepak. Please pm Deena Azmi . Last seen Friday .
Mohon jasa baik rakan rakan. Thank you. Yang duduk area Datuk Keramat/Setiawangsa mohon share..,” tulis pengguna Facebook, Rizuan Nazari yang dipercayai kenalan Deena.
Mengikut laporan Mstar, kura-kura jantan seberat 3 kilogram, bersaiz separuh sebiji bola sepak, bernama Tomato itu diperlihara keluarga Deena sejak 2 tahun lalu atas pemberian seorang rakan.
“Pada hari Tomato hilang, saya di tempat kerja. Saya hanya menyedari kehilangan Tomato pada sebelah malam.
“Mungkin kerana pintu pagar dibuka terlalu lama pada petang itu sebab ada tetamu datang, Tomato terlepas keluar dari kawasan rumah,” katanya seperti yang dipetik portal online tersebut.
Dina, seorang pegawai penyelidikan, membiarkan kura-kura itu bebas di kawasan rumah bagi menggalakkan tumbesaran sihat, namun, tidak sangka ia boleh terlepas keluar dan hilang.
Ketika mencari, Deena diberitahu, seorang penunggang motosikal menjumpai kura-kuranya dekat jalan di kawasan kejiranannya dan menyerahkan kepada pengawal tetapi ditolak pengawal itu kerana sedang bertugas.
Lelaki itu kemudiannya dikatakan beredar membawa kura-kura sekali.
Menyedari perbuatan lelaki itu mungkin untuk menyelamatkan kura-kura, Deena berharap dia dapat ditemukan dengan haiwan peliharaanya dalam masa terdekat.
“Setakat ini, 5 orang menghubungi kami memberitahu mereka ternampak Tomato. Mereka semua cerita yang hampir sama, nampak Tomato berjalan dekat kawasan kejiranan antara pukul 3.00 dan 4.00 petang Jumaat tu,” katanya lagi.
Kalau selama ini kita hanya melihat maklumat kehilangan kucing dan anjing, kehilangan haiwan eksotik kura-kura ini mendapat perhatian yang agak meluas dalam kalangan penduduk setempat dan netizen yang nampaknya mula berkongsi makluman tersebut.