

Buat masa ini kampung yang terletak di Timur Jakarta memiliki 12 pasangan anak kembar, 10 daripadanya kembar seiras.
Menurut laporan ABC News, perkampungan Perumnas Klender ini terkenal dengan kelahiran kembar pada tahun 1990 apabila merekod 6 pasangan kembar di satu lorong.
Kini, 12 pasangan kembar dikesan tinggal dalam lingkungan kawasan 6,000 meter persegi.
Ketua kejiranan kawasan itu, Andang Subaryono berkata, angka kembar pada tahun 2014 adalah 19 pasangan, namun berkurangan selepas ada yang meninggal dunia dan berpindah ke tempat lain.
“Kini ada 12 pasangan dan tiada sesiapapun daripada mereka bersaudara,” katanya.
Kembar, Athyyah Alya dan Athyyah Kamila Aziza kelihatan serupa dan memakai baju yang sama.
Malah, cara kanak-kanak 12 tahun ini bercakap kepada wartawan ABC News juga tidak banyak berbeza.
“Kami lahir dan membesar di perkampungan ini dan gembira menjadi perhatian. Macam selebriti,” kata Athyyah Kamila.
Manakala kembar Riky dan Riko Prawoto, 17 juga membesar di perkampungan sama, dibesarkan oleh pakcik dan makcik mereka.
Mereka salah satu daripada 3 lagi pasangan kembar di lorong jalan yang sama.
“Lorong ini pula dikenali lorong kembar,” kata pakcik remaja lelaki itu, Setijoko.
“Ini rezeki dan restu dari Tuhan,” tambahnya.
Rico dan Riky juga menyifatkan diri mereka sebagai bertuah. “Kami ketawa bersama, bersusah pun bersama dan berseronok bersama,” kata Rico.
Wujud persoalan jika ada faktor yang menyebabkan perkampungan itu “kaya” dengan kelahiran anak kembar.
Bagaimanapun belum ada apa-apa kajian dijalankan untuk menyokong atau merungkai persoalan itu.
“Ia hanya kebetulan. Tiada mitos, bukan disebabkan air,” kata Andang.
Malah ibu kepada kembar, Fani dan Fina, 4 tahun, Asmina juga tidak percaya kepada kepercayaan karut.
“Saya gembira ramai yang seperti mereka,” katanya.