

Tetapi berbeza dengan kanak-kanak berusia 12 tahun ini.
Mohamad Najmee Rosidi, bertekad menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun sedang dirawat di hospital kerana menghidap barah otot tahap 3.
Pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sarang Tiong, Rompin, Pahang itu menduduki peperiksaan UPSR di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
Najmee dimasukkan ke HUSM pada 17 Ogos lalu selepas mengalami dehidrasi selepas 3 hari menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Rompin, Pahang, lapor Berita Harian.
“Disebabkan penyakit yang dikesan Februari lalu, saya mengambil keputusan melupakan persekolahan kerana perlu berulang alik dari rumah di Rompin ke HUSM di sini bagi menjalani rawatan kimoterapi 3 minggu sekali.
“Walaupun perlu mengulang kaji pada saat akhir, namun saya nekad menduduki UPSR dan tidak mahu memikirkan sangat hal sakit kerana mahu berjaya seperti rakan lain,” katanya kepada akhbar itu.
Kita semua ada banyak perkara untuk diteladani daripada kanak-kanak muda yang sakit ini.
Biarpun pengajiannya tergendala dan berhadapan pelbagai masalah kesihatan, kanak-kanak ini tetap bertekad meneruskan perjuangan akademiknya.
Ternyata kesakitan dialami bukan penghalang baginya dan ianya kualiti yang perlu dicontohi semua orang.
FMT Ohsem mengucapkan selamat menduduki peperiksaan UPSR dan semoga kanak-kanak itu cepat sembuh.