

Sebaliknya ia jauh menyimpang dari persepsi umum yang rata-rata menekankan konsep heroism.
Shubh Mangal Saavdhan menceritakan kisah seorang lelaki yang bakal berkahwin dan perkahwinan itu diatur keluarga tetapi dia pula berdepan masalah disfungsi ereksi (mati pucuk).
Menurut penganalisis filem Bollywood, subjek seperti ini semakin trending dalam industri perfileman di India. Watak protagonis ditunjukkan tanpa apa-apa “perhatian istimewa” berbeza dengan kebanyakan filem.
“Tiada lagi dialog heroic, aksi pergaduhan yang luar biasa atau perwatakan lelaki macho, berbadan tegap dan kacak,” petik penganalisis dalam satu laporan AFP.
Bulan lepas, tayangan filem Toilet: Ek Prem Katha menceritakan perjuangan seorang lelaki membina tandas di sebuah perkampungan tipikal di pedalaman India dan cabarannya dalam mendidik komuniti itu menggunakan tandas menerima respon membina daripada penonton.
Tidak ketinggalan filem subjek berkaitan penyakit “sembelit” dalam filem Piku pada 2015 lakonan Deepika Padukone dan Amitabh Bachchan yang turut menerima reaksi positif walaupun di luar persepsi am.
Tahun depan, 1 lagi filem mengetengah isu kemasyarakatan, “Padman” lakonan Akshay Kumar, Sonam Kapoor dan Amitabh Bachchan bakal ditayangkan. Ia mengisahkan usaha seorang lelaki yang menghasilkan tuala wanita kos rendah untuk mendidik dan menggalak wanita di perkampungan menggunakannya untuk rasa selesa dan selamat.
Penonton terima hero tidak sempurna
Pengarah Shubh Mangal Saavdhan, R S Prasanna berkata dia kini berani tampil dengan subjek dianggap tabu oleh masyarakat konservatif India, masyarakat yang enggan mengakui lelaki sebagai subjek lemah.
“Saya ingin membikin sebuah filem cinta di mana cinta berlaku selepas berkahwin,” kata Prasanna yang juga pelakon filem Tamil dan berkahwin atas dasar cinta dengan pelakon, Sneha.
“Ia mengenai pasangan yang berkenalan menerusi pengaturan keluarga, cuba bernakal-nakalan sebelum kahwin dan sedar si lelaki hadapi masalah seksual yang serius.
“Kita semua tahu ia boleh membawa kepada masalah besar dalam sesebuah perkahwinan dan bagaimana situasi itu dikendalikan dalam perkahwinan yang diatur oleh ahli keluarga,” katanya.
Shubh Mangal Saavdhan dibikin semula daripada filem asalnya sebuah filem Tamil yang ditayangkan pada 2013, “Kalyana Samayal Sadham” juga arahan dan lakonan Prasanna.
Shubh Mangal Saavdhan dibintangi Ayushmann Khurrana sebagai watak utama, lelaki muda yang menghadapi masalah disfungsi ereksi dan Bhumi Pednekar, pasangan yang memberi sokongan moral kepada bakal suami supaya dia boleh pulih dari masalah tersebut.
“Inspirasi untuk filem ini wujud selepas saya menjadi suami yang menjaga rumah sementara waktu manakala isteri saya bekerja.
“Kebanyakan wanita di kejiranan saya memandang rendah kemampuan saya kerana sebagai ketua keluarga, saya hanya duduk di rumah, memasak dan membersihkan rumah. Komuniti ini tidak boleh menerima kehidupan bukan bersifat patriarki,” kata Prasanna.
Prasanna menggantikan situasi dirinya menghadapi “disfungsi” kewangan kepada subjek “disfungsi ereksi”, watak lelaki dalam filemnya.
Ia mengetengah mesej, perkahwinan bukan hanya mengenai kepuasan seks atau “menjadi lelaki di atas katil” tetapi bagaimana si lelaki dan pasangannya saling menyokong sesama mereka di sebalik kekurangan.
Menariknya, filem yang dianggap tabu ini diluluskan pihak penapisan tanpa sebarang babak dipotong dan menerima sijil tontonan umum dan dipimpin ibu bapa untuk tontonan kanak-kanak.
“Terdapat perbezaan yang halus antara nakal dan lucah, ikhlas dan mual, saya percaya kami tidak melampaui batas itu.
“Saya gembira melihat anjakan citarasa penonton yang mula menghargai filem dengan subjek mengenai tandas, sembelit, tuala wanita dan disfungsi ereksi,” tambah Prasanna.