Baby Shark bakal ganti lagu viral Gangnam Style

Baby Shark bakal ganti lagu viral Gangnam Style

Lagu yang sedang mencipta gelombang bukan sahaja mendapat sambutan kanak-kanak malah dewasa dan selebriti antarabangsa menjadikannya viral tak tentu hala.

baby-shark-doo-dooo-dooo-dooo
fmt-ohsem-inside-article1Okay, kita ada lagu viral baharu yang mungkin bakal menggantikan populariti Gangnam Style!

“Baby Shark doo doo doo doo doo doo, baby shark doo doo doo doo doo doo doo,” lagu ini mungkin belum popular di Malaysia tetapi tak lama lagi sampailah memandangkan ia sedang viral dan dijadikan lagu untuk saling mencabar di negara jiran, Indonesia.

Lagu yang sedang mencipta gelombang viral ini bukan sahaja mendapat sambutan kanak-kanak malah dewasa dan selebriti antarabangsa, menyebabkannya viral tak tentu hala.

Lagu dengan hashtag #BabySharkChallenge ini tersebar di Indonesia pada awal Ogos lalu tetapi mula mendapat perhatian serius selepas selebriti dan bekas model Playboy, Amanda Cerny menyanyi dan menari mengikut rentak lagu itu dalam program Indonesia’s Tonight Show.

Lagu ini sebenarnya sebahagian daripada lagu portal pendidikan kanak-kanak oleh syarikat Pinkfong, dari Korea Selatan, di bawah produk SmartStudy.

Tetapi ia menjadi popular di Korea Selatan selepas disampaikan oleh artis K-pop seperti Girls’ Generation, Red Velvet dan Blank Pink dalam konsert mereka selain program televisyen.

Kini ia tersebar luas di Asia Tenggara bukan hanya sebagai lagu viral malah netizen saling mencabar untuk berlakon dan menyanyi mengikut rentak lagu tersebut.

Siri asal “Baby Shark” dilancarkan pada akhir 2015, viral di Youtube bermula tahun lepas dan menjadi siri paling popular dengan 700 juta tontonan menjelang bulan Julai 2017.

Ia kini dipercayai sudah mencapai 800 juta tontonan dan terus meningkat. Aplikasi telefon pintarnya pula direkod antara 10 aplikasi paling banyak dimuat turun di Korea Selatan, Bangladesh, Singapura, Hong Kong dan Indonesia.

Langganan YouTube meningkat 3 kali ganda di Indonesia dan meningkat kepada 165% di Asia.

Jadi, bagaimana dengan anda di Malaysia? Dah dengar ke belum? Dah ada orang cabar anda? Masa kita tak mungkin jauh, dalam beberapa hari lagi sampailah!

Laporan Forbes menjangkakan, lagu ini bakal menjadi viral terbesar selepas “Gangnam Style, oleh artis Psy yang kini menghampiri 3 bilion tontonan. Masih jauhlah tetapi mana tau, segalanya boleh berlaku dalam sekelip mata.

Menurut Pinkfong pula, 65% daripada perolehan digital untuk syarikat itu datang dari luar Korea dan ia menjangka perolehan itu meningkat menjelang 30% akhir tahun ini.

“Kira-kira 85% daripada 800 juta tontonan lagu ‘Baby Shark’ datang dari pasaran antarabangsa dan ia semakin meningkat,” kata Pengarah Komunikasi dan Pemasaran syarikat itu, Jamie Oh, kepada Forbes.

Oh, FMT Ohsem turut menjumpai lagu parodi Baby Shark versi kartun Upin Ipin.

https://www.youtube.com/watch?v=KmcWtZaMjLg

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.