
India memang tidak sepi dengan kisah tokoh agama dan pendeta yang mempunyai ramai pengikut serta kaitan politik. Ada beberapa daripada mereka akhirnya dilanda kontroversi dan ada juga yang dikecam setelah dipuja dan dipuji.Banyak hospital sekolah dan kegiatan mengutip derma di seluruh pelusuk India dikendalikan oleh tokoh berkenaan serta kelompok penganut kepercayaan tertentu (kultus).
Bagaimanapun ada juga cerita individu yang menggunakan pelbagai helah, antaranya atas nama keagamaan, meditasi dan yoga untuk mengumpul kemewahan, melakukan salah laku seksual serta jenayah dan gila kuasa.
Pada 25 Ogos lepas, negeri utara India, Haryana menyaksikan insiden keganasan selepas ketua sekta Dera Sacha Sauda, Gurmeet Ram Rahim Singh didapati bersalah merogol 2 orang penganut wanitanya.
Seramai 38 orang dilaporkan terbunuh, kira-kira 200 orang cedera dan beratus-ratus orang ditangkap selepas penyokong ketua sekta itu merusuh sambil mendakwa ketua mereka yang ramai memanggilnya “Pita-ji” (ayah), tidak bersalah.
Diberi gelaran “Guru Mengerlip” (kerana kegemaran memakai pakaian dengan pelbagai hiasan), pengikutnya termasuk ahli politik tertinggi, ahli sukan, bintang filem dan jutawan.
Berikut adalah beberapa orang tokoh agama atau pendeta India:-
Sathya Sai Baba
Baba meninggal dunia pada 2011 pada usia 84 tahun. Hero kriketnya Sachin Tendulkar menitiskan air marta sambil melutut di tepi keranda kacanya yang mengandungi jenazah tokoh berkenaan. Pengikutnya percaya beliau boleh melakukan perkara-perkara ajaib. Berpangkalan di kampung halamannya Puttaparthi di selatan India, beliau didakwa dapat mengandakan objek kecil seperti jam tangan dan cincin serta “vibhuti” (abu suci). Rasionalis menuduh beliau menipu.
Rambut kembangnya dilaporkan mencetus aura mistik. Baba ini memiliki pusat spiritual “ashram” di lebih 100 buah negara. Sathya Sai Baba dilahirkan pada 1926 dan diberi nama Sathyanarayana Raju. Pada 1940 beliau mengisytiharkan beliau adalah jelmaan semula seorang pendeta bernama Sai Baba dari Shirdi, bandar di negeri barat, Maharashtra.
Gurmeet Ram Rahim Singh
Berpangkalan di bandar Sirsa, Haryana, Rahim Singh adalah ketua sekta Dera Sacha Sauda. Sekta ini menjelaskan ia “pertubuhan kebajikan sosial dan spiritual yang menganjurkan semangat kemanusiaan”. Rahim Singh menikmati kemudahan perlindungan keselamatan yang biasanya diberi kepada individu yang berisiko paling tinggi seperti ahli politik serta pemimpin kerajaan tertinggi.
Beliau menyampaikan khutbahnya dari sebuah pentas yang kelihatan seperti set penggambaran filem. Beliau mempunyai koleksi kereta mewah termasuk Lexus, Mercedes, Audi dan BMW. Biro Pusat Siasatan (CBI) India menghabiskan masa bertahun-tahun menyiasat tuduhan yang dibuat ke atas Rahim Singh itu.
CBI bertindak selepas menerima surat yang ditulis oleh seorang ‘sadhvi’ mengenai salah laku seksual yang didakwa dilakukan di ibu pejabat ketua agama itu. Dilahirkan dalam keluarga Jat Sikh di Rajasthan pada 1967, Ram Rahim Singh dilantik sebagai ketua Dera pada usia muda 23 tahun. Menurut laporan, sewaktu ulang tahun kelahirannya yang ke-50, Ram Rahim memotong kek yang beratnya lebih daripada 5 tan.
Rampal
Rampal adalah pengasas pergerakan sosio-spiritual di Haryana. Sektanya mengenakan pelbagai larangan termasuk mengunjungi kuil dan memuja berhala. Polis menyerbu kediaman beliau pada November 2014 dan menangkapnya selepas beliau enggan hadir di mahkamah untuk menjawab tuduhan bersubahat membunuh, mencetuskan keganasan dan menghina mahkamah. Dilahirkan dan diberi nama Rampal Singh Jatin, beliau mendakwa pengganti spiritual pujangga abad ke-15, Kabir dan beliau dikenali di kalangan pengikutnya sebagai Saint Rampal Ji Maharaj.
Asaram Bapu
Ceramah tokoh spiritual tokoh Asumal Sirumalani disiar secara langsung di televisyen. Beliau menentang kecenderungan masyarakat India dan golongan remaja terlibat dalam kegiatan seksual atas nama cinta.
Beliau juga menentang pengaruh Barat dan pernah mengesyorkan supaya tarikh 14 Feb ditukar sebagai “Hari Meraikan Ibu Bapa” dan bukan Hari Valentine.
Dikenali di kalangan pengikutnya sebagai Asaram Bapu, pendeta berumur dalam lingkungan 70an itu ditangkap pada 2013 selepas seorang remaja belasan tahun mendakwa beliau merogolnya atas helah untuk membebaskannya daripada “rasukan syaitan”. Remaja itu belajar di sekolah yang dikendalikan oleh Yayasan Asaram di negeri bahagian tengah Madhya Pradesh. Beliau dan pengikutnya menolak tuduhan berkenaan.
Swami Nithyananda
Swami Nithyananda ditangkap pada 2010 selepas video seks yang menunjukkan beliau melakukan hubungan seks dengan 2 orang perempuan tersebar. Pusat spiritual Nithyananda yang terletak kira-kira about 20 kilometer di luar bandar selatan Bangalore diserang orang ramai yang berang selepas skandal itu didedahkan. Nithyananda meletak jawatan sebagai ketua organisasi Dhyanapeetam (Pusat Meditasi) dan berkata “Saya membuat keputusan untuk mengasingkan diri untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan.” Pemimpin berusia 40 tahun itu mendakwa dirinya mempunyai kuasa luar biasa.
Ashutosh Maharaj
Beliau mengasaskan Divya Jyoti Jagrati Sansthan (Divine Light Awakening Mission), organisasi untuk “sosio-spiritual-budaya dan bukan untuk mengaut keuntungan.” Ashutosh Maharaj meninggal dunia pada Januari 2014, tetapi pengikutnya menyimpan jasadnya di dalam peti penyejuk beku di pusat spiritualnya di Punjab. Mereka percaya beliau masih hidup dan hanya berada dalam keadaan meditasi. Seorang lelaki yang mendakwa beliau anak lelaki pendeta itu mengemukakan petisyen untuk menguruskan jenazah ayahnya. Menurut lelaki itu, Ashutosh Maharaj dilahirkan sebagai Mahesh Jha di negeri Bihar pada 1946.
Chandraswami
Chandraswami, dikenali sebagai orang yang amat berpengaruh di kalangan perdana menteri, raja dan selebriti. Beliau meninggal dunia pada Mei 2017 ketika berusia 66 tahun. Beliau dilaporkan rapat dengan bekas perdana menteri P.V. Narasimha Rao. Namanya juga dikaitkan dengan siasatan ke atas pembunuhan bekas perdana menteri Rajiv Gandhi.
Dilahirkan pada 1948, beliau adalah anak lelaki kepada seorang ceti Rajasthan dan nama sebenarnya ialah Nemi Chand Jain. Beliau pernah disiasat atas tuduhan menipu seorang ahli perniagaan berketurunan India dan tuduhan berkait kewangan.