Yayasan Maybank bantu remaja Kemboja urus kewangan

Yayasan Maybank bantu remaja Kemboja urus kewangan

Kira-kira 3,000 pelajar dijangka mendapat faedah di bawah fasa baru itu.

maybank_600
fmt-ohsem-inside-article1Pada 2016, purata 11 belia dilaporkan muflis setiap hari di Malaysia akibat pengurusan kewangan yang lemah.

Pendedahan ini berdasarkan dapatan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia yang menunjukkan seramai 22,663 rakyat Malaysia bawah umur 35 tahun diisytihar muflis antara 2011 dan September 2015.

Kalau hendak diikutkan, isu celik kewangan, terutamanya dalam kalangan belia adalah isu serius yang melanda seluruh dunia pada hari ini.

Semakin banyak negara kini sedar betapa seriusnya isu muflis ini dalam kalangan generasi muda dan usaha sedang dipertingkat untuk mendidik mereka supaya bijak menguruskan kewangan daripada usia muda lagi.

Kemboja adalah sebuah daripada negara berkenaan dan begitu gigih mengambil berat usaha untuk menyemai sebanyak mungkin ilmu mengenai pengurusan kewangan dalam kalangan belianya.

Baru-baru ini negara ini memberi sokongan kepada program Celik Kewangan CashVille Kidz oleh Yayasan Maybank. Dengan sokongan ini, Kumpulan Maybank muncul sebagai institusi swasta asing pertama menerima pengiktirafan seumpama itu oleh Kerajaan Kemboja.

Yayasan Maybank melancarkan program perintis pada Februari 2017, dengan menyasarkan 8 buah sekolah di Phnom Penh. Ini adalah ekoran kejayaan program yang diperkenalkan di Malaysia sejak 2013.

Pada 31 Julai lepas, Yayasan Maybank mengumumkan berakhirnya fasa perintisnya di Kemboja dalam satu majlis yang diadakan di Maybank Tower di Phnom Penh.

Pada majlis itu, Setiausaha Negara Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja, Im Koch,mengumumkan sokongan kementeriannya untuk program berkenaan serta meluluskan rancangan mengembangkannya kepada sekolah rendah kerajaan di Kemboja.

Kira-kira 3,000 pelajar dijangka mendapat faedah di bawah fasa baru itu.

“Program ini memberi sumbangan besar kepada matlamat kerajaan untuk menambah bilangan penyumbang pendapatan golongan pertengahan atas menjelang 2030 di samping menjadikan Kemboja negara maju menjelang 2050.

“Program CashVille Kidz Programme melengkapkan usaha National Bank of Cambodia untuk meningkatkan tahap celik kewangan terutamanya kepada kanak-kanak yang akan menjadi generasi akan datang. Ilmu pengetahuan ini akan membolehkan mereka merancang kewangan masa hadapan mereka secara bijak dan lebih cekap,” katanya.

Menurut Koch, program itu bukan sahaja memfokuskan kepada celik kewangan tetapi juga mencetuskan perbincangan antara ibu bapa dan anak mereka.

Keadaan itu, kata beliau mewujudkan peluang untuk menyebarkan kesedaran dalam kalangan ahli keluarga yang lain.

Beliau percaya celik kewangan dari usia muda adalah kunci kepada pembangunan ekonomi negara yang lebih baik.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Perbankan Pusat National Bank of Cambodia, Chea Serey.

Serey dalam ucapannya berkata program CashVille Kidz adalah contoh baik sumbangan sektor swasta untuk memperhebatkan pendidikan kewangan di Kemboja.

Pendidikan kewangan, katanya adalah amat penting untuk membantu pengguna membuat keputusan yang melibatkan kewangan.

“Memandangkan tahap rendah celik kewangan di Kemboja adalah penting, kita bekerjasama untuk meninggikan tahap celik kewangan, kesedaran dan kuasa pengguna,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin, pada mulanya yayasan itu menyasarkan 800 pelajar dari 8 buah sekolah swasta tetapi bilangan peserta meningkat kepada 984 pada penghujung program.

“Memandangkan sambutan pelajar yang begitu mengagumkan untuk program perintis ini, kami merancang untuk mengembangkannya kepada 20,000 pelajar dari 40 sekolah dalam tempoh 4 tahun akan datang,” beliau berkata dalam wawancara selepas majlis berkenaan.

Fasa kedua dijangka dilancarkan pada 2018, yang melibatkan 12 buah sekolah. Seperti di Malaysia, usia pelajar yang menjadi sasaran ialah antara 9 hingga 12 tahun.

“Apa yang kami rancangkan ialah supaya mereka mempunyai kesedaran kewangan. Usia terbaik untuk mendidik celik kewangan ini antara 9 hingga 12 tahun.

“Kita masih boleh mendidik mereka pada usia yang lebih tua tetapi menjadi lebih sukar apabila mereka berusia belasan tahun kerana tekanan rakan sebaya, tambahan mereka sudah tahu apa yang mereka hendak,” jelasnya.

Beliau berkata National Bank of Cambodia memahami kepentingan program ini sewaktu pihak yayasan mencadangkan program CashVille Kidz dan kemudiannya meluluskannya pada Disember 2016.

Shahril Azuar berpuas hati program berkenaan mendapat sambutan baik sewaktu diperkenalkan dan menyebabkan ia mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan pada Julai.

“Kami amat teruja kerana pihak kami adalah institusi swasta (asing) pertama menerima kelulusan kementerian,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Abdul Farid Alias, Pengerusi Maybank Cambodia, Datuk Johan Ariffin, Ketua Pegawai Eksekutif MoneyTree Asia Pacific Michael Reyes serta ahli Lembaga Pengarah Maybank Cambodia.

Apa itu CashVille Kidz?

CashVille Kidz adalah siri animasi kartun yang diilham dan dihasilkan oleh MoneyTree Asia Pacific. Ia direka untuk mengajar pelajar sekolah akan kepentingan wang sebagai persiapan untuk cabaran kewangan masa hadapan.

Siri animasi itu memfokuskan kepada beberapa pengajaran kewangan daripada pentingnya menabung kepada tabiat berbelanja yang positif serta membuat pelaburan bijak.

Ia adalah juga selaras dengan matlamat Yayasan Maybank untuk memperjuangkan celik kewangan di rantau Asean dengan mendidik pelajar menerusi siri animasi.

Kementerian Pendidikan Malaysia mengiktiraf siri animasi ini dan menerimanya sebagai aktiviti ko-kurikulum tambahan.

Sepanjang 3 tahun lepas, program ini berjaya mendapatkan penyertaan lebih 150,000 pelajar daripada 750 sekolah di seluruh Malaysia.

Yayasan Maybank sentiasa berusaha untuk menyediakan program untuk kepentingan masyarakat di mana Maybank mempunyai operasinya.

Program yayasan memberi tumpuan kepada 6 tonggak utama iaitu pendidikan, pemerkasaan komuniti, kehidupan sihat, seni, kebudayaan dan pelbagaian persekitaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.