
Pakaian tradisional memberi nilai khusus kepada si pemakai, tidak kiralah dalam majlis yang mewajibkan pemakaian sedemikian mahupun dalam mana-mana acara rasmi.
Pemimpin negara tidak ketinggalan mengenakan pakaian tradisional kaum sendiri atau kaum lain sebagai usaha mendekatkan diri dengan rakyat jelata.
Misalnya, dalam sidang tahunan Majlis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR RI) 2017, Presiden Joko Widodo atau Jokowi dan Naib Presiden, Jusuf Kalla tampil segak mengenakan pakaian tradisional, mencuri perhatian netizen dan media antarabangsa.

Presiden Jokowi memakai pakaian adat lelaki Bugis atau Makassar dengan jas tutu (baju), topi di kepala berupa songkok serta seluar atau paroci (seperti kain sarung tenun) yang dikenali “garusu”.
Jas tutu Jokowi berwarna hitam yang disertakan butang berwarna emas serta rantai emas yang digantung di poket kirinya.
Bagi songkok pula, ia dihias dengan benang emas yang dikenali Mbiring.
Sementara itu, Jusuf Kalla mengenakan “jas beskap khas Solo atau Surakarta” iaitu baju putih berbutang dengan baju hitam seakan kot.
Di kepalanya, beliau menyarungkan blangkon sama seperti tengkolok bermotif batik warna keemasan.
Presiden dan naibnya sebelum ini dikatakan tampil ke mesyuarat itu berpakaian tradisional dan kini mereka meneruskan tradisi itu.
Bercakap mengenai pakaian tradisional, FMT Ohsem juga ingin mengenang beberapa pemimpin dunia yang tampil segak dalam padanan tradisional dalam acara antarabangsa mahupun tempatan sehingga mendapat perhatian semua.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak antara pemimpin yang tidak pernah kekok berpakaian tradisional.
Menggunakan peluang dan diversiti majmuk di negara ini, beliau sering tampil dalam pelbagai persalinan tradisional selain baju Melayu. Beliau dilihat mengenakan samfu, jippa atau kurtha dan dhoti (sarung berwarna putih) ketika menghadiri majlis kaum tertentu.

Selain itu, pemimpin dunia lain seperti bekas presiden Amerika Syarikat Barrack Obama, Presiden Russia Vladimir Putin, Perdana Menteri India Narendra Modi, Raja Swaziland Mswati III, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan ramai lagi.
Jom lihat gambar beberapa pemimpin dunia dalam persalinan tradisional negara, budaya dan kaum lain.

