Netizen sedia beli lukisan Ultraman pelajar vokasional khas

Netizen sedia beli lukisan Ultraman pelajar vokasional khas

Lukisan Amsyar menarik perhatian guru dan netizen yang menganggap kemahiran itu luar biasa, ditambah pula dengan tulisan Jepun.

ultramanpic

Seorang guru kagum dengan bakat anak muridnya yang mampu menterjemah pengetahuannya mengenai watak Ultraman.

Nurul Izani Ainun Ahmad Zani, 30 dalam satu muat naik status di laman Facebook miliknya akui terpegun dengan kemahiran pelajarnya yang mempunyai masalah pembelajaran bagaimanapun melukis salahsilah keluarga Ultraman dengan begitu sempurna.

“Student saya punya gigih lukis segala mak datuk moyang Ultraman.

“#Ultraman #cikgukomputer @ Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok Sg Petani Kedah #pelajarmasalahpembelajaran #specialneedsstudent – Nunia,” tulis guru itu dalam muat naik gambar lukisan anak muridnya.

Lukisan pelajar bernama Muhammad Amsyar Anas Ramlee, 18 dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok Sungai Petani, Kedah bukan sahaja menarik perhatian guru tetapi netizen yang menganggap kemahiran itu luar biasa, ditambah pula dengan tulisan Jepun, dipercayai nama watak Ultraman.

ultramanpic1
Ketika dihubungi FMT Ohsem, guru tersebut akui gembira dengan respon netizen yang menyambut baik bakat Amsyar termasuk tawaran individu yang sedia membeli semua koleksi hasil lukisannya.

“Tetapi Amsyar tak mahu jual. Dia kata bila dah habis belajar, dia akan melukis yang baharu dan menjualnya,” kata guru itu.

Nurul Izani memberitahu beliau selalu terserempak dengan lukisan adiwira bersaiz besar Amsyar tetapi lukisan terbaru pertama kali beliau lihat dalam saiz kecil dan dalam jumlah banyak serta lengkap.

“Maka, saya pun minta kebenarannya untuk ambil gambar dan kongsi di Facebook,” katanya.

Gambar asal yang dikongsi dalam Facebook guru itu 2 hari lepas menerima lebih 4000 “likes” serta dikongsi lebih 6000 kali.

Tambah guru itu lagi, Amsyar merupakan seorang pelajar yang baik dan terdapat ramai lagi pelajar keperluan khas dengan masalah pembelajaran tetapi berbakat dalam bidang masing-masing.

ultraman-2
“Ada yang pandai meniru suara, pandai menyanyi, bersukan dan sebagainya.

“Jadi saya minta masyarakat supaya tidak menyisih malah lebih terbuka menerima potensi pelajar khas ini. Mereka juga boleh berjaya jika diberi peluang sewajarnya,” kata Nurul Izani yang baru setahun mengajar di sekolah itu.

Beliau dengan pengalaman mengajar selama 6 tahun sebelum ini mengajar di sekolah vokasional pendidikan khas di Shah Alam.

Netizen tidak putus-putus memuji bakat Amsyar selain terkejut dengan penelitian setiap gambar yang dilukisnya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.