
Pelbagai bentuk barangan seramik atau tembikar hasil tangan Cheah Yeow Seng yang dipamerkan di Pameran Seramik ‘My Clay Soul’ baru-baru ini jelas menunjukkan kepakaran beliau dalam bidang diceburinya lebih 40 tahun.Lebih 100 hasil seramik termasuk cawan, pasu, patung dan piring dengan pelbagai perincian dipamerkan. Ada yang harganya boleh mencecah ribuan ringgit.
Pakar seni seramik ini turut menggunakan elemen alam untuk hasil tembikarnya bagi melengkapkan satu-satu siri atau koleksinya.
Contohnya, “Matcha Chawan” berwarna hijau jed dipamerkan dalam kotak khas. (Perkataan “matcha” biasanya merujuk kepada teh hijau dalam bentuk serbuk).
“Matcha Chawan” adalah hasil yang paling memuaskan hati saya selepas membuat lebih 200 cawan tanah liat.
“Mesej ingin saya sampaikan menerusi cawan ini ialah kehijauan alam sekitar yang bergunung-ganang yang perlu dilindungi masyarakat sejagat,” kata Cheah, 60 tahun.
Pameran Seramik itu adalah pameran solo pertama yang beliau adakan untuk memberi peluang kepada pencinta seni tembikar serta masyarakat melihat sendiri antara koleksi hasil kerja tangannya selama ini.
Pameran selama 2 minggu itu (3- 8 Jun lepas) diadakan di Wisma SGM, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Lulusan Kuala Lumpur College of Art ini juga giat mengetengahkan pelbagai karya berasaskan tanah liat tempatan bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa termasuk Asia, Jepun dan Jerman.
Beliau juga aktif memperjuangkan seni seramik menerusi penyelidikan dan pembangunan, program pertukaran dan residensi budaya untuk seni halus.
“Hanya jauhari yang mengenal manikam”.
Peribahasa Melayu ini tepat sekali untuk diri Cheah kerana meskipun ada hasil karya tembikarnya yang tidak sempurna, beliau tidak sewenang-wenangnya membuang barang tembikar itu.
“Ada dalam kalangan karya saya berbengkang-bengkok serta tidak sempurna dari segi bentuknya. Saya tidak akan membuang karya-karya ini malah akan mengubahsuai menjadi sebuah karya yang unik,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, memang ada hasil seni yang tidak sempurna tetapi ada kecantikan dalam ketidak sempurnaan itu.
“Saya tak akan buang hasil seni yang sedemikian kerana masih ada pelanggan yang gemarkan ceramik yang unik sedemikian.
“Kami boleh bentuk semula tembikar yang tak sempurna ini. Ada yang membentuk semula tembikar seperti ini beberapa kali sehingga mereka mendapat hasil yang diidamkan,” tambahnya.
Beliau turut menggalakkan pelajarnya melakukan yang serupa.
Sehubungan itu, Cheah berkata sebelum melakukan sesuatu kerja seni, seseorang itu mesti jelas dengan apa yang hendak dilakukan.
Keadaan itu perlu dikekalkan sepanjang masa ketika menghasilkan kerja tangan tembikar berkenaan.
“Cara ini sudah tentu tidak akan menyebabkan pembaziran dan menunjukkan ada yang ambil berat akan kerja anda,” katanya.
Berbeza dengan artis seni seramik yang menggunakan campuran tanah liat dari luar negara, Cheah bertekad menggunakan tanah liat tempatan bagi menghasilkan karya.
Kebanyakan tanah liat yang digunakan adalah jenis porselin dan ‘stoneware’ yang banyak didapati di Rawang, Selangor yang juga tempat kelahirannya.
“Saya rakyat Malaysia dan negara ini mempunyai tanah liat yang cukup bagus, tahan dengan cuaca dan suhu di negara ini. Jadi saya lebih suka gunakan tanah liat kita sendiri,”katanya.
Bagi Cheah, menghasilkan seni seramik umpama membuka satu lembaran baharu dalam hidupnya dengan menggunakan deria sentuhan dan perasaan pada ketika itu.
“Ketika proses pembentukan hasil seramik, kekuatan pada tangan dan bentuknya sangat bergantung kepada perasaan ketika itu dan tumpuan penuh harus diberikan bagi menghasilkan bentuk yang diinginkan.
“Seni arca seramik kontemporari memberi kepuasan berbeza kerana adakalanya karya itu tidak menjadi seperti yang diharapkan namun, ia membentuk produk akhir yang tidak dijangka,” jelasnya.
Katanya setelah tanah liat dibancuh, ia akan dibentuk mengikut rekaan yang diinginkan oleh pengarca sebelum dibakar dalam ketuhar khas bagi mengukuhkan strukturnya.
“Proses itu memakan masa 5 hari ke seminggu sebelum diwarna mengguna warna khas seramik. Selepas itu barulah dibakar semula bagi mengekalkan permukaan arca,” katanya.
Proses pembakaran turut mengambil masa 4 hingga 5 hari untuk satu koleksi seramik yang dimuatkan secara bertingkat dalam ketuhar pada suhu 900-1,000 darjah Celsius.
Menurut Cheah, pada zaman purba, nenek moyang sudah berpuas hati sekiranya dapat menghasilkan sebuah mangkuk tembikar.
“Lama kelamaan mereka mula terasa ada sesuatu yang tidak lengkap, jadi mereka mula melukis mengenai apa yang mereka lakukan untuk hidup mereka.
“Contohnya, mereka yang tinggal berhampiran laut akan melukis gambar ikan, moluska laut, ombak dan banyak lagi untuk menambah nilai estetik barangan tembikar yang dihasilkan,” katanya.
Menurut beliau, dalam seni tembikar yang paling penting ialah kegunaannya kemudian nilai estetik boleh ditingkakan untuk menambah kreativiti.
“Kita ambil contoh di Malaysia yang mempunyai pelbagai kumpulan etnik dengan gaya hidup yang berlainan. Ada yang makan dari pinggan, ada yang makan sup atau minum teh dari mangkuk dan banyak lagi contoh,” katanya.
Bagi Cheah, menghasilkan seni seramik seperti memulakan satu episod baru dalam kehidupannya.
“Menerusi perasaan dan sensasi, saya berkomunikasi dengan hati nurani saya. Setiap hasil kerja saya mencerminkan kehidupan saya sendiri.
“Untuk itu setiap hasil kerja saya disimpan dan dinilai berdasarkan kecantikan serta ketidaksempurnaannya,” kata beliau.