

Dalam kes Nhaveen kita tidak hanya terkesan dengan serangan fizikal yang dialami pelajar lelaki itu, lebih mendukacitakan ialah serangan seksual yang dihadapinya.
“Pelajar itu dipercayai diserang secara seksual di mana duburnya dimasuki dengan objek tumpul, sama ada kayu atau botol, namun ia bukan sodomi,” petik kenyataan Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar.
Adakah membuli secara seksual sesuatu yang baharu atau perbuatan yang sememangnya sudah lama wujud?
Soal maruah dan malu

“Dalam kebanyakan situasi, mangsa sendiri tidak sedar mereka mangsa buli secara seksual dan menganggap ia norma.
Mangsa hanya membuat laporan apabila buli menjadi parah mencapai tahap mencabul, meraba dan sebagainya,” kata Rahim kepada FMT Ohsem.
Pengawasan beliau mendapati ramai yang terjebak dalam gejala membuli secara seksual disebabkan faktor personaliti impulsif dan agresif.
Individu yang mempunyai keagresifan impulsif tinggi cenderung melakukan perkara yang berkaitan dengan seksual dan juga kekerasan (fizikal),” katanya.
“Selain itu, faktor luaran seperti filem yang ditonton memberi pengaruh kuat kepada diri misalnya yang berunsurkan kandungan seksual tinggi, filem lucah yang ada elemen ‘fetish’, berelemen dominasi, ‘ragging’ dan dera menjadi faktor pencetus untuk mempraktikannya,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, pakar psikologi dari Universiti Sabah Malaysia (UMS), Prof. Madya Dr. Balan Rathakrishnan yang ditemui FMT Ohsem, pula berkata, buli secara seksual berlaku kerana pembuli itu membenci atau tidak menyukai seseorang lazimnya kerana orientasi seks mangsa.
Tak suka orientasi seks mangsa
“Apabila wujud kebencian kerana orientasi seksual (lembut, tidak maskulin) seseorang rakan atau kenalan, pembuli cenderung menyerang mangsa secara fizikal dan seksual sehingga dibunuh. Kes ini banyak berlaku di luar negara, di Malaysia masih terkawal,” kata Balan.
Tambahnya, buli secara seksual ini juga dikaitkan dengan homofobia iaitu serangan ke atas golongan homoseksual, sama ada berlaku kerana tidak selesa dengan golongan itu, tidak suka atau bertujuan menunjukkan kuasa (dominasi).
Buli seksual dilakukan untuk memalukan seseorang dengan menggunakan pendekatan seksual. Contohnya, memalukan seseorang dengan memberikan komen tentang bentuk badan, menggunakan isyarat berbaur seksual terhadap mangsa dan perbuatan yang dikaitkan dengan gangguan seksual termasuk rogol.
Dalam banyak kes buli, serangan seksual ini melibatkan sesama jantina mahupun berbeza.
Sikap dominasi
Dr. Rahim menjelaskan, pelaku merasakan diri mereka lebih hebat dan berkuasa berbanding mangsa bagi kes terhadap wanita manakala bagi mangsa lelaki biasanya melibatkan mereka yang bersifat lembut, ‘nerd’ atau kurang maskulin.
Beliau mendalami isu ini dari aspek pelaku dan mangsa lelaki berkata, pembuli berkemungkinan tiada niat seksual tetapi sekadar mendominasi mangsa dan menunjukkan dirinya lebih hebat (macho, maskulin, lelaki tulen).

Dr. Balan juga mengingatkan membuli secara seksual merupakan tingkah laku yang melencong dan jenayah tidak kira tahap buli yang dilakukan, sama ada secara lisan atau fizikal.
Menurut laman web BullyingUK.com, perbuatan membuli secara seksual juga melibatkan perbuatan seperti di bawah:
- menggelar seseorang dengan nama seksual yang bertujuan menghina atau menjatuhkan maruah dan menyebarkan khabar angin mengenai jantina seseorang.
- memberi komen atau kenyataan yang tidak baik mengenai rupa paras dan tubuh badan seseorang.
- menyentuh tanpa kebenaran atau memaksa seseorang melakukan sesuatu (aksi seksual) dengan cara mengugut termasuk menggunakan nama cinta.
- Memaksa seseorang menghantar mesej berbaur seks misalnya gambar dan aksi atas nama cinta.
- Berkongsi material berkaitan seks dengan seseorang dan memaksa atau memujuk untuk menerimanya.
- Dalam keadaan ekstrem, buli seksual membabitkan perbuatan menyeksa secara seksual, sodomi, cabul dan rogol.