Apa pilihan fesyen baju raya anda?

Apa pilihan fesyen baju raya anda?

Meskipun citarasa setiap orang berbeza namun busana bertona pastel terus menjadi pilihan pengguna.

Min-Luna
fmt-ohsem-inside-article1Ledakan dan evolusi fesyen yang memperlihatkan busana raya tidak lagi terhad kepada yang tradisional sahaja.

Baju raya kini lebih moden dengan pelbagai gaya, corak serta fabrik, selain tambahan elemen glamor terutamanya hasil rekaan pereka muda tempatan.

Jika 2 tahun tahun lalu, trend ‘peplum’ tiba-tiba sahaja meletup dan popular di kalangan wanita terutamanya mereka yang berusia di bawah 35 tahun, namun kini fesyen ala Saloma; cekak di bahagian pinggang dan kembang di bawahnya itu bagaimanapun perlahan-lahan hilang tarikannya.

Lelaki juga tidak ketinggalan, tahun lalu menyaksikan ramai yang memilih jubah moden dan kurta ‘slim fit’ berbanding baju melayu tradisional.

Wanita memilih kurta kerana bebas bergerak

Bagaimana pula untuk tahun ini? Fesyen bagaimana yang memenuhi pasaran?

Bagi penata gaya selebriti yang dikenali dengan nama jolokan Min Luna, tahun ini terlalu banyak rekaan baju raya yang mengetengahkan ropol dan ‘bell sleeves’, serta perhiasan batu-batuan yang terlampau sarat untuk wanita.

Namun ada juga yang berfikir di luar kotak, dengan memperkenalkan set kurta sama ada yang ringkas atau rekaan yang kelihatan mewah, khusus untuk golongan itu.

“Bagi saya tahun ini tidak banyak sangat yang baru dan rekaannya agak bosan serta berulang, malah ada sesetengah pereka fesyen memilih untuk mengolah rekaan tahun lepas dengan hanya menukar warna.

“Tetapi ada juga rekaan bijak seperti set kurta yang sebenarnya sesuai untuk cuaca yang panas dan juga memudahkan pergerakan bagi mereka yang berasakan susah bergerak apabila memakai baju kurung,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di majlis anjuran Carousell baru-baru ini.

Min Luna berkata meskipun citarasa setiap orang berbeza namun busana bertona pastel terus menjadi pilihan, selain persalinan yang tampak mahal dan mewah walau harganya murah.

“Wanita mencari busana yang menampakkan mereka cantik dan manis, harga yang murah, ikut tema warna keluarga, mudah dipakai dan sebab itu warna pastel yang banyak laku.

“Setiap fesyen baju kurung yang dicari juga bergantung kepada lokasi atau majlis yang dihadiri. Mungkin ada kurung moden ringkas, ada yang glamor dan banyak perincian seperti tampalan bunga serta manik dan mungkin juga set kurta atau ‘crop top’ . Ia sebenarnya bergantung kepada individu tersebut,” katanya.

Melihat kepada palet tona warna yang terhad di pasaran, beliau bekerjasama dengan pereka fesyen terkenal Khoon Hooi dengan memperkenalkan variasi kurung moden dibarisi dengan warna pastel baru seperti ‘watermelon sorbet’, ‘coral’ dan ‘raspberry’.

Baju Melayu moden untuk lelaki

Bagi lelaki pula, Min Luna berkata, selain kurta dan jubah, Baju Melayu moden yang dijual tanpa set seluar juga menjadi pilihan untuk tahun ini.

Dengan cara itu, Baju Melayu boleh digayakan dengan seluar ‘khakis’ atau ‘slack’ mengikut warna pilihan.

“Seperti kurta, ramai pereka yang mengeluarkan ‘top’ sahaja sama ada yang berlengan pendek atau panjang. Sekarang tidak semestinya kena pakai satu set. Kalau hendak pakai satu set Baju Melayu sepanjang bulan Syawal mungkin kelihatan pelik, jadi dengan trend baharu ini, mereka boleh bergaya terus,” katanya.

Beliau berkata busana yang nampak cantik di badan personaliti tempatan juga antara daya penarik orang ramai untuk membeli persalinan yang digayakan individu tersebut.

“Apabila personaliti yang disukai memakai busana rekaan pereka tempatan dan dilihat cantik walaupun rekaan tersebut agak berlainan, orang akan beranggapan fesyen jenis itu menjadi ikutan dan semua orang nak pakai.

“Cuba kalau guna model ‘mat salleh’, sambutannya tidak akan sama,” katanya.

Bagaimana pula dengan pilihan orang ramai? Tradisional atau moden?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.